Doa Belajar, Doa Penerang Hati Dan Adab Menuntut Ilmu
Apakah lafaz doa belajar, doa penerang hati dan juga apakah adab-adab menuntut ilmu? Artikel ini akan menerangkan kepada pembaca lafaz doa untuk belajar, doa penerang hati berserta adab-adab menuntut ilmu dengan bantuan rumi bagi memudahkan para pembaca
Menuntut ilmu itu wajib bagi semua orang Islam seperti sabda Rasulullah di dalam satu hadis riwayat Ibnu Majah.
Baik dengan cara membaca, belajar depan-depan (talaqqi), dan lain-lain. Semuanya baik belaka. Allah berfirman di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11:
“..nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat..”
Demikianlah betapa pentingnya kita menuntut ilmu. Kita akan diangkat darjat. Sebalik daripada mengambil peluang baik ini, kita juga boleh mendatangkan manfaat pada orang ramai. Ilmu itu dipakai. Bukan untuk disimpan di dalam hati sahaja. Bila ilmu itu dipakai, maka banyaklah perkara boleh selesai.
Hasil semua inovasi yang kita lihat hari ini semuanya bersandarkan kepada ilmu pengetahuan yang berkembang. Jadi, kita kena tahu, apakah doa-doa yang digalakkan untuk dibaca ketika kita menuntut ilmu. Supaya, ilmu itu juga mendapat keberkatan Allah.
1. Doa sebelum mula belajar (Berserta Rumi)
Maksudnya: Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmah-hikmahMu dan limpahkan ke atas kami rahmatMu, ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Setiap hikmah (kebijaksaan) itu daripada Allah. Sebab itu kita perlu minta daripada Sang Pemilik Segala Hikmah. Kita hanya manusia yang kerdil lagi lemah. Kita sentiasa perlukan pertolonganNya untuk membuka jalan-jalan untuk kita selaku manusia mencapai hikmah. Maka, bacakanlah doa belajar ini.
2. Doa Diberi Kefahaman(Berserta Rumi)
Maksudnya: Ya Allah! Tidak ada apa yang mudah selain apa yang Kau mudahkan, jika Kau kehendak, Kau boleh memudahkan yang susah
Ada masa-masa ketika kita belajar itu memang susah nak faham. Mungkin perkataannya, mungkin pemahaman kita agak kurang. Tak apa. Bacalah doa ini supaya Allah permudahkan kita untuk faham ilmu itu.
3. Doa untuk Ingat(Berserta Rumi)
Maksudnya: Rahmat Allah ke atas Baginda Nabi Muhammad. Ya Allah, aku memohon kepadaMu yang menyebut akan kebaikan, mewujudkannya, dan memerintahkan kepadanya, agar kau mengingatkan apa yang telah Syaitan lupakan
Memang sifat manusia itu lemah. Susah nak ingat. Maka, cara nak ubat itu adalah dengan banyakkan belajar serta berdoalah kepada Allah. Doa saja tak boleh juga. Doa bukan untuk bermalasan. Doa bukan untuk sambil lewa. Doa adalah untuk menguatkan dan meluruskan usaha untuk sentiasa berada di atas keberkatan.
4. Doa penerang hati(Berserta Rumi)
Maksudnya: Ya Tuhan, lapangkanlah dadaku, mudahkan tugasku, lepaskan simpulan dari lidahku (tidak halang percakapan/gagap), supaya mereka faham perkataanku
Ayat ini diambil daripada Surah Taha ayat 25-28 yang mana doa ini dibaca oleh Nabi Musa saat menghadapi Firaun.
Doa ini elok dibaca oleh meraka yang nak buat apa-apa pembentangan baik interview untuk kerja, pembentangan disertasi, pembentangan projek dan seangkatan dengannya. Bacalah doa ini.
5. Doa kuat ingatkan(Berserta Rumi)
Maksudnya: Ya Allah, aku pertaruhkan kepadaMu atas apa yang telah kau ajarkan kepadaku, maka kembalikanlah ia jika aku memerlukannya, janganlah Engkau membuat aku melupakannya wahai Tuhan Sekalian Alam
Semua dari Allah, maka kepadaNya jugalah kita memohon agar dikuatkan ingatan di samping usaha yang tak putus-putus untuk menuntut ilmu, memahaminya, menghafalkannya , mencatatkannya justeru mengamalkannya.
Ada beberapa adab menuntut ilmu yang wajar kita ikut supaya proses menuntut ilmu itu diredai oleh Allah, tanpa redaNya, apalah guna ilmu yang setinggi gunung? Adab-adab itu adalah seperti berikut:
1. Bersihkan diri daripada dosa dan akhlak tercela dahulu
Maksiat itu umpama racun dalam diri orang beriman. Jika banyak dia buat maksiat, maka susah untuk dia terus ‘hidup’. Kerana, ilmu itu menghidupkan. Seperti kata Ibnu Abbas RA, ilmu itu cahaya. Maka bagaimana ilmu nak masuk ke dalam jiwa kalau jiwa itu kotor dengan segala dosa dan akhlak yang keji yang menggelapkan?
Bertaubatlah setiap kali nak belajar. Beristighfarlah, mohon ampun daripada Allah. Bersihkan diri daripada dosa dulu. Baru mudah untuk ilmu yang sifatnya cahaya itu nak masuk ke dalam diri kita. Kalau kita belajar dalam keadaan akhlak yang buruk, kelaknya ilmu itu takkan mendatangkan manfaat buat kita. Kerana akhlak kita dulu tidak dijaga.
Takut nanti, ilmu itu boleh diguna untuk kesempatan semata-mata. Kalau nak pastikan ilmu ini bermanfaat atau bawa kebaikan, si ‘penuntut’ ilmu itu sendiri harus bebas daripada segala maksiat dan akhlak buruk.
2. Niat
Kena jaga niat kita. Apa niat kita tuntut ilmu? Adakah untuk claim pada semua orang yang kita ini saja yang paling pandai? Adakah untuk berdebat dengan orang semata-mata sampai nak nampakkan yang orang itu jahil? Adakah untuk mencari salah orang lain? Untuk apa?
Niatkan saja untuk kebaikan. Untuk bawa kebaikan pada semua orang. Kita tuntut ilmu ini supaya memudahkan orang lain dapat akses kepada ilmu yang benar serta boleh mengamalkan yang betul. Itu yang sepatutnya.
Niatkan kerana Allah. Tuntut ilmu ini untuk Allah. Sebab tuntut ilmu ini wajib. Maka ini untuk menunaikan kewajiban yang Allah turunkan kepada semua manusia. Moga-moga keredaan Allah kita dapat kecapi.
3. Berwuduk
Berwuduklah sebelum nak belajar. Selepas kita dah bersihkan hati. Kita juga hendaklah bersih dari sudut fizikal pula. Kebersihan itu penting, ianya sebahagian daripada iman menurut satu hadis Nabi.
4. Bersungguh-sungguh dan sederhana
Jangan bermalas-malasan. Nak belajar, belajar betul-betul. Dengan kadar yang sepatutnya menurut Imam Al-Ghazali di dalam Kitab Al-’Ilm, Ihya’ Ulumuddin.
Bawalah buku nota dan pen untuk mencatat supaya tak lupa.
Jangan tergesa-gesa dalam mendalami ilmu. Jangan hari ini juga nak master. Berperingkatlah dalam menuntut ilmu. Slow-slow.
Imam Al-Ghazali kata menuntut ilmu ini akhirnya, Allah. Untuk mengenalNya. Untuk mendapat keredaanNya. Untuk mengenal Allah ini perlu melalui tingkatan-tingkatannya. Penghujungnya adalah mengenal Allah. Biarlah proses dengan baik.
Apabila kita tak beri masa kepada diri sendiri untuk kuasai betul-betul ilmu itu, nanti kita takkan capai ‘penghujung’nya. Untuk capai ia, haruslah dengan proses yang baik, perjalanan yang tersusun dan matlamat yang jelas.
5. Hormat guru
Hormat guru adalah dengan cara memudahkan mereka. Jangan kita nak sentiasa disuapkan kefahaman oleh guru saja. Sebelum kelas, bacalah dulu buku itu. Kalau tak faham, baru tanya. Kalau masuk kelas saja nak semua guru suap, itu tanda kita tak hormat guru kita yang nak mengajar. Mereka sediakan buku untuk baca, bukan untuk tatap muka depan saja.
Hormat guru dengan cara berkata yang baik-baik kepada mereka. Jangan sesekali sakitkan hati mereka. Keredaan guru terhadap anak murid itu juga keberkatan.
Hormat guru dengan cara memuliakan mereka. Berilah mereka hadiah untuk menggembirakan hati mereka. Bantu mereka jika mereka memerlukan. Jika mereka diam, tanya kalau ada apa-apa yang boleh dibantu.
Diharapkan artikel doa belajar, doa penerang hati dan adab menuntut ilmu in dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada para pembaca
Bacaan Doa yang lain
Rujukan:
- Abdullah, W. S. (2019). Khulasah Faham Ilmu: Kitab Al-‘Ilm Imam Al-Ghazali. Kuala Lumpur: Pertubuhan Pendidikan Futuwwah.
- Al-Ghazali, I. (2015). RIngkasan Ihya’ Ulumuddin. Batu Caves: Al-Hidayah.
- Doa Senjata Mukmin. (2012). Retrieved from hariharimediku
- Raslan, A. A. (n.d.). The Manners of The Knowledge Seeker. Retrieved from Mission Islam
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source