Niat & Cara Solat Sunat Aidiladha (Panduan Lengkap)
Bagaimana untuk melakukan solat sunat aidiladha yang lengkap?
Artikel ini akan membincangkan dari segi rukun berserta bacaaan dan perkara-para yang anda perlu lakukan ketika mengerjakan solat sunat aidiladha.
Maksud Solat Sunat Aidil Adha
Solat Sunat Aidil Adha, terdiri daripada 4 perkataan yang digabungkan menjadi satu. Perkataan tersebut ialah “SOLAT” bermaksud DOA secara bahasa, “SUNAT” iaitu hukum perbuatan yang jika dibuat akan mendapat pahala dan meninggalkannya tidak berdosa.
Manakala “AIDIL” ataupun dalam Bahasa Arab disebut ‘Aid (عيد) bermaksud Hari Raya dan “ADHA” pula bermaksud KORBAN.
Sejarah
Ia dinamakan Hari Raya Aidil Adha kerana merupakan hari kemenangan bagi umat Islam melawan tipu daya syaitan dan meraikan sempena peristiwa Nabi Ibrahim “menyembelih” anaknya Nabi Ismail dalam rangka mentaati perintah Allah swt.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ۞
Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.(As-Saffat: 102)
Solat Sunat Aidil Adha ini dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia pada pagi 10 Zulhijjah pada setiap tahun bersamaan dengan Hari Raya Aidil Adha. Pada Tarikh yang sama, umat Islam juga akan berpusu-pusu melaksanakan ibadah haji di Mekkah sebagai tanda pelaksanaan rukun Islam yang ke-5.
Hukum Perlaksanaan
Para ulama’ telah membahaskan sejauh mana Solat Aidil Adha ini perlu dilaksanakan. Berdasarkan kajian para imam dari mazhab Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali, terdapat beberapa pendapat yang telah ditetapkan oleh mereka sebagai hukum:
- Mazhab Syafi’e: Ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan bahawa hukumnya sunat muakkad yang mana sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan.
- Mazhab Hanafi: Ulama’ mazhab ini berpendapat ianya wajib secara hak bagi sesiapa yang jatuh ke atasnya hukum wajib Solat Jumaat.
- Mazhab Maliki: Para ulama’ Maliki berpandangan ianya sunat bersifat wajib ke atas sesiapa yang memenuhi syarat Solat Jumaat seperti bermukim di suatu tempat. Manakala ke atas wanita pula, hukumnya menjadi sunat pada hak mereka.
- Mazhab Hanbali: Ulama’ mazhab Hanbali berpendapat hukumnya fardhu kifayah. Ianya disandarkan kepada dalil:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang semata-mata kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).” (Al-Kautsar: 2)
Waktu Melakukan Solat
Adapun waktu Solat Sunat AidilAdha bermula lebih kurang 15 minit selepas waktu syuruk tamat ataupun sama dengan kadar ukuran tingginya kedudukan matahari satu panah lembing dari aras tanah.
Ia berlanjutan sehingga sebelum tergelincirnya matahari di tengahari. Dalam perkataan yang lebih mudah difahami, waktu Solat Sunat Aidil Adha adalah sama dengan waktu Solat Sunat Dhuha.
Nota Tambahan:
Di antara Solat Sunat Aidil Fitri dan Solat Sunat Aidil Adha ada sedikit perbezaan masa dalam pelaksanaan. Solat Aidil Fitri disunatkan untuk dilambatkan sedikit bagi memberi ruang kepada manusia untuk menyelesaikan urusan zakat fitrah mereka.
Manakala Solat Aidil Adha disunatkan untuk mendirikannya seawal mungkin. Hal ini kerana memberi ruang kepada proses penyembelihan haiwan korban agar dapat dibuat sebelum matahari terpacak tinggi. Setelah itu, daging-daging yang dikorbankan dapat dibahagikan kepada golongan yang berkelayakan secepatnya untuk mereka turut merasakan kegembiraan seperti orang lain.
Tempat untuk mendirikan solat sunat aidil adha
Para ulama’ dari keempat mazhab juga telah membahas mengenai tempat yang dianjurkan untuk mendirikan Solat Sunat Aidil Adha. Rumusannya, terdapat dua tempat yang dianjurkan:
- Para ulama’ mazhab Syafi’e berpendapat ianya lebih afdhal untuk dilaksanakan di masjid jika ia luas memuatkan jumlah kaum muslimin. Pendapat ini disandarkan kepada masjid tempat lebih bersih dan lebih mulia
- Jumhur (majoriti) ulama’ daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa solat ini hendaklah didirikan di padang (pasir) atau di tempat yang luas kecuali jika terdapat keuzuran yang menghalang seperti hujan. Dalil yang menjadi sandaran bagi pendapat ini adalah:
956 – عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ. (رواه البخاري)
Maksudnya: “Daripada Abu Sa’id Al-Khudhri bahawa Rasulullah SAW keluar pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha ke tempat solat, maka perkara pertama yang dilakukan adalah mendirikan solat. Kemudian baginda berpindah berdiri bersemuka dengan manusia, mereka duduk di dalam saf mereka. Maka baginda memberi peringatan, wasiat dan perintah, jika baginda ingin memendekkan ucapannya, maka dia memendekkannya, atau memerintahkan sesuatu dengan (ucapan)nya. Kemudian baginda berpindah.
(HR. Bukhari, No. 956)
Takbir Ketika Hari Raya
Sebaik sahaja tiba di masjid, kita dianjurkan untuk melaksanakan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid terlebih dahulu sebagai tanda menghormati masjid. Kemudian melaungkan takbir raya dengan semangat bersama Jemaah yang lain sebagai kegembiraan menyambut kemenangan Islam pada hari tersebut.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَر أللهُ أَكْبَر وَِللهِ الْحَمْدُ .
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. La ilahaillallah hu wallahuakbar. Allahu akbar walillahilhamd.
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,Tiada Tuhan melainkan Allah, dan AllahMaha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.
Para makmum mengulang takbir di atas sebanyak tiga kali, kemudian disusuli dengan lafaz takbir di bawah oleh seorang pemimpin takbir:
للهُ أَكْبَر كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهً وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْن .
Allahu akbaru kabirau wal hamdulillahi kasirau wa subhanallahi bukratau wa asila. La ilahaillallahu wala na’ budu illa iyya hu mukhlisi nalahuddina walau karihal kafirun
Allah itu Maha Besar sebesar-besarnya, dan segala puji kepunyaan Allah sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah. Tidak kami sembah melainkan kepada-Nya. Kami dengan penuh keikhlasan melaksanakan agama-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya.
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ
La ila haillallahu wahdah, sodaqa wa’dah, wa nasoro ‘abdah, wa a ‘azajundahu wa hazamal ahzaba wahdah, la ilahaillallahu wallah hu akbar. Allahuakbar walillah hilhamd.
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Dia membenarkan janji-janjiNya, menolong hambaNya dan menguatkan tenteraNya dan menghancurkan kumpulan-kumpulan musuh(Tentera ahzab). Tiada Tuhan melainkan Allah. Dan Allah itu Maha Besar, Allah itu Maha Besar dan untuk-Nya segala pujian.
Nota Tambahan:
Lafaz takbir ini disunatkan untuk dilaungkan bermula malam 10 Zulhijjah (malam raya sehingga Asar 13 Zulhijjah.
CARA SOLAT SUNAT AIDILADHA
Solat Sunat Aidil Adha dan Aidil Fitri memiliki tatacara yang sama. Ia mengandungi 2 rakaat dengan 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali takbir pada rakaat kedua serta khutbah. Solat sunat ini dimulakan dengan:
Rakaat Pertama
1. Niat
Solat dimulakan dengan melafazkan niat berserta menghadap kiblat
Niat untuk imam
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلّهِ تَعَالَى
Usolli sunnata ‘Eiydil Adha rok’ataini imaaman lillahi ta’ala
(Maksud: “Sahaja aku Solat Sunat Aidil Adha dua rakaat menjadi imam kerana Allah Ta’ala”)
Niat untuk makmum
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلّهِ تَعَالَى
Usolli sunnata ‘Eiydil Adha rok’ataini makmuuman lillahi ta’ala
(Maksud: “Sahaja aku Solat Sunat Aidil Adha dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Ta’ala”)
2. Takbiratul Ihram
Mengangkat kedua tangan ke telinga dengan menyebutkan Allahu akbar berserta niat di dalam hati
3. Membaca Doa Iftitah
Baca doa ifittah
4. Mengangkat takbir sebanyak 6 kali dan bertasbih setiap kali takbir dengan bacaan:
سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
Bacaan Rumi:
Subhaanallah walhamdulillah walaa ilaaha illallah wallahu akbar walaa haula walaa quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘aziim.
(Maksud: “Maha suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada kekuasaan dan tiada kekuatan selain dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”)
5. Mengangkat takbir yang ke-7 dan terus membaca surah Al-Faatihah.
Membaca surah al fatihah
6. Membaca surah pilihan
Boleh baca apa-apa surah di dalam Al-Quran sebagai contoh surah al ikhlas
7. Rukuk sambil bertakbir (lafaz Allahu akbar).
Bacaan rukuk:
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Nota: Kedua-dua tangan kita terletak atas lutut kedua-dua kaki.
8. I’tidal sambil mengucapkan,
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Nota: Bediri tegak dan kedua-dua tangan berada di sisi.
9. Sujud sambil bertakbir.
Bacaan sujud:
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Nota: Kedua-dua tapak tangan terletak atas lantai/sejadah separas bahu.
10. Duduk antara dua sujud sambil bertakbir.
Bacaan duduk antara dua sujud:
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
Nota: Kedua-dua tangan terletak atas kedua-dua peha.
11. Sujud kembali sambil bertakbir.
Bacaan sujud sama seperti di atas.
12. Berdiri semula sambil bertakbir untuk masuk ke Rakaat kedua
Rakaat Kedua
1. Berdiri
Pada rakaat kedua setelah berdiri daripada sujud kedua rakaat pertama, angkat takbir sebanyak 4 kali dan bertasbih setiap kali takbir dengan bacaan:
سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
Subhaanallah walhamdulillah walaa ilaaha illallah wallahu akbar walaa haula walaa quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘aziim.
(Maksud: “Maha suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada kekuasaan dan tiada kekuatan selain dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”)
2. Mengangkat takbir yang ke-5 dan terus membaca surah Al-Faatihah.
Membaca surah al fatihah
3. Membaca surah pilihan
Boleh membaca surah an nas
4. Meneruskan dengan rukun yang lain
Meneruskan solat dengan rukun-rukun yang lain iaitu rukuq, i’tidal, sujud dan duduk tahiyat akhir
5. Memberi salam
6. Mendengar Dua khutbah
Khatib akan menyampaikan dua khutbah. Ini sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA:
ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ
Maksud: “Kemudian baginda berpindah berdiri bersemuka dengan manusia, mereka duduk di dalam saf mereka. Maka baginda memberi peringatan, wasiat dan perintah”(HR. Bukhari)
Khutbah raya diadakan selepas daripada solat sunat tersebut. Ia tidak seperti solat jumaat yang diadakan sebelum solat jumaat.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mus’ab RA:
586 – عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلى الله عَلَيه وَسَلم: كَانَ يُصَلِّي يَوْمَ الْفِطْرِ، وَيَوْمَ الأَضْحَى قَبْلَ الْخُطْبَةِ.
Maksud: “Dari Ibnu Shihab bahawa Rasulullah SAW Solat di Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha sebelum khutbah.” (Muwattho’)
Apakah hukum mendengar khutbah hari raya?
Membaca khutbah dan mendengar khutbah kedua-duanya merupakan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Jika seseorang yang hadir solat hari raya tetapi lalai ketika khatib menyampaikan khutbah ataupun meninggalkan majlis tanpa mendengar khutbah, maka hukumnya makruh.
Wallahu a’lam.
Panduan solat sunat yang lain
Rujukan:
- Sahih Al-Bukhari, Bab Keluar ke Tempat Solat Tanpa Mimbar.
- Al-Muwattho’ Imam Malik (Ibnu Shihab Az-Zuhri), Bab Solat Sebelum Khutbah.
- Al-Kafi Lil Fatawi – Mufti Wilayah Persekutuan.
- Irsyad Al-Fatawa – Mufti Wilayah Persekutuan.
- Mawdoo3
- Islamweb
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source