Kempen PRN bukan hanya lawak, cerita penglipur lara, dan serangan peribadi
Seorang sahabat yang baharu menghadiri satu majlis ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bersungguh-sungguh bercerita mengenai ramainya yang hadir di sebuah padang pada suatu malam gara-gara seorang penceramahnya banyak berjenaka. Beria-ia dia meyakinkan supaya saya meluangkan masa untuk tujuan serupa kerana lawak yang didengarnya sesuatu yang baru dan segar, bukannya jenaka kitar semula yang sudah kerap diulang-ulang seperti yang dapat ditonton di YouTube.
“Hadirin ketawa berdekah-dekah dengan celoteh seorang penceramah itu, tak seperti empat atau lima yang lain yang naratif mereka agak membosankan mengenai situasi di Selangor. Ramai yang dah balik sebelum giliran penceramah terakhir tiba,” kata sahabat itu.
Namun, apabila ditanya pengisian ceramah selebihnya, dia tidak pun ingat dengan jelas kerana katanya dia tidak berapa minat selain itu bukan yang diinginkannya di majlis berkenaan. Apa yang dicarinya ialah lawak-lawak terbaru dalam kempen pilihan raya yang dapat dijadikan modal bualan dengan rakan sepejabat ketika bersarapan keesokan paginya.
Bukankah orang Melayu suka berlumba-lumba sebagai pembawa cerita dan cenderung kepada hiburan sebagai ‘kelegaan sementara’ daripada himpitan masalah? Ini tidak pun berbeza dengan masyarakat miskin di India yang memilih ke pawagam untuk melalaikan mereka daripada kesempitan hidup. Harus tidak salah sahabat tadi kerana dia bukan bersendirian tapi ramai lagi yang berminda serupa, yang seronok mendengar cerita kelakar dengan membiarkan isu-isu lebih mendesak berkaitan rakyat kepada kerajaan negeri yang akan terbentuk kemudian.
Anehnya, mereka ini jugalah yang lazimnya marah apabila Dr Mahathir Mohamad berulang kali menegur orang Melayu sebagai pemalas, dengan ingatan bahawa kalau masih tidak berubah, bekerja kuat, dan belajar mendapat ilmu, negara ini akan ‘hilang’ daripada tangan orang Melayu sendiri.
Dibandingkan dengan pilihan raya umum yang diadakan serentak di seluruh negara, PRN di enam negeri secara berasingan yang tempoh berkempennya sehingga tengah malam sebelum hari mengundi 12 Ogos ini, harus meluangkan kepada isu-isu setempat untuk dijadikan agenda utama ceramah. Di sebalik Selangor memiliki agenda besar yang berbeza dan rencam, harus ada banyak isu pusat yang boleh turut dikongsi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, termasuk keluaran dalam negara kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI), peluang pekerjaan baru, rancangan menjana ekonomi masa depan, dan menoktahkan kemiskinan.
Kedah, Kelantan, dan Terengganu, umpamanya, harus membuat lebih pencerahan mengenai usaha menarik lebih banyak FDI, meningkatkan peluang pekerjaan baru, membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan pengangguran. Kedah, negeri Jelapang Padi, tidak dapat lari daripada ikhtiar mengoptimumkan hasil pesawah dan nelayan di samping mewujudkan industri baru; Kelantan dihambat keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menghindarkan perpindahan beramai-ramai anak mudanya sambil Terengganu harus mengurus kekayaan hasil minyaknya dengan lebih baik untuk manfaat rakyatnya.
Di sebalik derai-ketawa lawak-jenaka sebagai selingan, isu-isu pokok berkaitan sara hidup hendaklah dituntut khalayak di majlis-majlis ceramah terhadap tahap masalah dan formula penyelesaiannya untuk pengundi membuat pilihan bijak dan bermaklumat pada hari mengundi.
Dalam musim pilihan raya, pengundi adalah tuan, dan bukannya parti-parti. Lantas, pengundi lah yang berkuasa menentukan pengisian ceramah agar selari dengan kemahuan dan menjawab apa saja kesangsian mereka. Parti-parti yang bertanding tentunya berlumba-lumba untuk menarik kehadiran teramai, dengan cuba menampilkan lawak di peringkat awal kempen sebelum beralih ke isu-isu berat dan pokok semakin lama tempoh kempen berjalan. Jumlah kehadiran, bagaimanapun, bukanlah ukuran sebenar undi yang bakal diraih.
Seperkara yang pasti, tidak mengira parti mana sekalipun, barisan penceramah masing-masing hendaklah mengutamakan apa saja yang dituntut atau dimahukan galeri tapi mereka juga tidak boleh lari daripada dasar kebertanggungjawaban kepada rakyat yang akan diwakili. Kerana itu, di sebalik senarai calon PRN kali ini yang meluas di antara profesional, pak lawak, penyanyi rap hingga kepada pemain bola sepak, pengisian ceramah sepatutnya lebih kepada menangani isu-isu semasa yang mendesak.
Kempen PRN, dalam menagih mandat rakyat untuk tempoh lima tahun ke hadapan, tentunya bukan lanjutan kepada program Maharaja Lawak di Astro – itu pun kebelakangan ini lebih kepada meniru gelagat juri untuk menagih markah lebih, berbanding menawarkan jenaka segar yang dapat diketawai semua penonton.
Memang orang Melayu mudah dialpakan oleh cerita penglipur lara seketika tapi semacam tidak kisah jika derita berpanjangan kemudian anda membuat keputusan yang silap, daripada tertumpu kepada isu-isu sebenar dan nyata berkaitan sara hidup, ekonomi, kenaikan harga barang yang menyesakkan, mutu pendidikan dalam melahirkan graduan berkualiti, dan masa depan yang lebih terjamin dan menawarkan kesamarataan. Dibandingkan dengan filem P Ramlee yang tersirat pelbagai mesej kehidupan sekiranya benar-benar dihayati, kempen yang berkisar kepada lawak-jenaka dan serangan peribadi tidak akan membawa manfaat yang diharap-harapkan khalayak.
Lebih daripada itu, parti sedemikian lebih menyerlahkan kekurangan wawasan dan pelan jangka panjang di samping ketandusan tokoh berminda progresif yang boleh diyakini khalayak boleh membawa perubahan bermanfaat kepada mereka.
Sampai bila kita mahu merelakan dimomok dengan isu bangsa dan agama yang telah dieksploitasi hingga ke tahap yang tidak terbayangkan sebelumnya?
Jangan sampai jadi seperti kekecewaan ramai terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, suatu masa dahulu yang ringkasannya PTPTN ditukar kepada Pakat Tanya, Pakat Tunggu, Nganga.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source