Kaut RM1 juta sebulan, pusat panggilan sindiket pelacuran diserbu
BALIK PULAU: Polis menyerbu sebuah pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa beroperasi dalam talian dan mampu mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan, di sebuah pusat komersial di Bayan Baru, pada Jumaat.
Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata dalam serbuan 5.30 petang itu, polis menahan lima lelaki dan enam wanita, yang semuanya warga tempatan berusia 21 hingga 65 tahun, termasuk seorang lelaki berumur 33 tahun yang merupakan dalang utama bersama ibunya.
“Polis menyerbu premis perniagaan berada di tingkat tiga bangunan pusat komersial itu, selepas menerima aduan awam dan risikan, siasatan mendapati pusat panggilan terbabit beroperasi sejak Disember 2021.
“Berdasarkan siasatan awal, kita dapati mereka yang ditahan ialah operator di pusat panggilan itu yang menjalankan kegiatan pelacuran secara dalam talian membabitkan urus niaga di Australia, termasuk pelacur dan pelanggan di sana,” katanya pada sidang media.
Kamarul berkata, pusat panggilan itu, berperanan sebagai orang tengah termasuk mempromosi dan mengiklan kegiatan pelacuran, menyasarkan pelanggan di Australia menerusi sebuah laman web, sebelum pautan tersebut berhubung dengan operator di pusat panggilan tersebut bagi urus niaga berkenaan.
Menurutnya, pekerja mereka akan menguruskan urus niaga pelacuran, sebelum pelanggan bertemu dengan pelacur juga warga Australia, yang mengenakan bayaran antara AUD200 hingga AUD3,000 mengikut “perkhidmatan” ditawarkan.
Katanya, pelacur itu seterusnya akan membayar komisen bagi urus niaga tersebut kepada sindiket terbabit dan siasatan mendapati pusat panggilan menerima lebih RM30,000 sehari atau RM1 juta sebulan bagi kegiatan itu.
“Menerusi laman web itu, sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai rangkaian di Australia, menawarkan sehingga 120 wanita sebagai pelacur dan urus niaga dijalankan oleh pusat panggilan tersebut, menggunakan semua sim kad syarikat telekomunikasi Australia,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati pusat panggilan itu beroperasi 24 jam dengan pekerjanya bekerja dalam dua syif dan dibayar gaji antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
Katanya, dalang utama iaitu lelaki berusia 33 tahun itu, didapati pernah bekerja di Australia dan sering ke sana dengan kali terakhir pada Julai lalu, malah pernah terlibat dengan kumpulan pelacuran di sana.
“Laman web berkenaan masih aktif dan polis percaya sindiket di Australia masih lagi aktif menjalankan kegiatan tersebut. Lelaki itu juga didapati mendaftarkan perniagaannya secara sah dengan menyatakan syarikatnya beroperasi sebagai syarikat teknologi maklumat, di pusat komersial tersebut.
“Premis pusat panggilan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi kehadiran pihak berkuasa, malah pintu masuk turut dipasang kad akses bagi pekerja bagi mengelak orang luar masuk,” katanya.
Kamarul berkata, pihaknya menyalurkan semua maklumat berhubung kegiatan itu kepada Bukit Aman, bagi membolehkan kerjasama dengan polis di Australia untuk menumpaskan jenayah tersebut.
“Polis merampas pelbagai barangan antaranya 161 telefon bimbit, 11 unit monitor, empat modem dan lapan CPU. Semua suspek ditahan reman enam hari hingga 26 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan,” katanya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source