Data Padu tak akan diintegrasi dengan bank, kata Rafizi
PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang bakal dilancar oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan 2024 tidak akan diintegrasikan dengan mana-mana sistem maklumat daripada bank, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Pada sidang media Padu di sini hari ini, beliau berkata ia susulan sistem bank yang termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tidak membenarkan sebarang perkongsian berkaitan sistem data itu.
“Kalau berkaitan dengan bank tak ada sebab bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian sedemikian,” katanya ketika diminta mengulas sama ada data bank akan diintegrasikan dalam Padu sekali gus meredakan kegusaran orang ramai mengenai persoalan itu.
Padu adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan dan dijadual dilancarkan pada 2 Jan tahun depan.
Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.
Rafizi berkata antara contoh integrasi data ialah maklumat peribadi rakyat akan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, maklumat pendidikan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi manakala maklumat alamat boleh didapati daripada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad serta operator air.
Beliau berkata Padu turut bekerjasama dengan sektor swasta bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini data mereka dalam sistem itu antaranya Touch ‘n Go yang menawarkan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) secara percuma kepada 3,000 pendaftar terawal.
Rafizi juga berkata Padu menjalin kerjasama dengan Mydin dengan menawarkan diskaun pembelian kepada orang ramai yang berdaftar dengan sistem tersebut namun sebarang perincian akan dikemukakan oleh pasar raya itu kemudian.
Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat atau peruncit untuk turut serta dalam inisiatif kementeriannya supaya dapat merancakkan lagi pendaftaran orang ramai ke dalam sistem Padu.
“Kita galakkan seberapa banyak peruncit dan khidmat lain untuk turut serta… bagi membolehkan mereka mewujudkan tawaran mereka sendiri dan mengambil peluang terhadap fokus serta keterujaan mengenai Padu untuk beberapa bulan akan datang tanpa menggunakan duit kerajaan.
“Kami meramalkan akan terdapat banyak keterujaan dan juga pendaftaran orang nak masuk Padu. (Terbuka kepada) Mana-mana pihak ketiga yang ingin menggunakan ini untuk mendapatkan lebih ramai khalayak ke kedai anda atau menggunakan perkhidmatan digital dengan apa jua cara,” katanya.
Rafizi berkata sebaik sahaja dilancarkan oleh perdana menteri, kerajaan akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat sehingga 31 Mac 2024 bagi tujuan penyasaran semula subsidi.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source