Minta sambung kontrak enam bulan sahaja, pengurusan anggap Tyzo tidak lagi berminat
Pihak pengurusan Suria FM tampil menjelaskan bahawa bekas penyampai radio, Tyzo telah meminta untuk kontraknya disambung selama enam bulan sahaja.
Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata pihaknya telah berbincang bersama Tyzo berkenaan pemanjangan tempoh kontraknya.
“Bagi kes Tyzo, pada 9 Oktober 2023, kontrak Tyzo tamat. Dua bulan sebelum itu, pada Ogos 2023, kita jumpa Tyzo dan beritahu kepada dia yang kami nak sambung kontraknya selama satu tahun.
“Dia kata ya, tapi dia cuma nak kontrak enam bulan. Sebab yang dia beri adalah dia ada rancangan yang lain dan nak fokus kepada bisnes dia.
“Pada pendapat saya, Tyzo baru sahaja menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) jadi dia fikir dia laku dan boleh dapat tempat-tempat lain. Itu terpulang kepada dia,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika berucap dalam satu sidang media Ruang Udara Suria di Menara Star, Petaling Jaya hari ini.
Tambah beliau, pihaknya berulang kali bertanya kepada Tyzo sama ada dia benar-benar mahu menyambung kontrak hanya selama enam bulan.
“Jadi kami ulangi banyak kali betul atau tidak Tyzo hanya mahu menyambung kontraknya selama enam bulan sahaja. Tyzo kata dia minta tempoh satu minggu untuk membuat keputusan.
“Dia patah balik dan kata dia nak enam bulan. Perbincangan ini disaksikan oleh DJ Lin sebagai pengurus besar, oleh JJ dan juga bahagaian sumber manusia.
“Jadi kami setuju untuk beri kontrak enam bulan kepada Tyzo bermula 9 Oktober 2023 hingga 9 Mac 2024,” ujarnya.
Sementara itu, Aminuddin juga berkata dia tidak mengenali penyampai radio yang lain dengan rapat, oleh itu ia menyangkal bahawa tindakan terhadap Tyzo adalah bersifat peribadi.
Pada masa yang sama, Aminuddin yang juga merupakan Ahli Lembaga SMRG berkata pihaknya membuat dua penilaian utama iaitu dari segi jumlah pendengar dan juga kewangan syarikat.
Jelasnya, Suria FM tidak menunjukkan peningkatan keuntungan malahan ianya mengalami penurunan, maka dia mengambil keputusan untuk melakukan perubahan kepada stesen radio itu.
“Berdasarkan penilaian itu, saya beritahu kepada pihak pengurusan Suria FM kita perlu lakukan perubahan agar tahun 2024 lebih baik daripada 2023.
“Jadi berbalik kepada Tyzo, selepas saya mengkaji semua aspek untuk meningkatkan Suria FM, saya membuat kesimpulan yang dia tidak lagi berminat untuk meneruskan tugas sebagai pemyampai radio Suria.
“Mungkin itu sebab dia hanya sambung kontrak untuk enam bulan, dan selepas kajian itu saya ambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Tyzo. Ini adalah keputusan saya sebab ini adalah tanggungjawab saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aminuddin juga menyatakan bahawa Suria FM akan membentangkan rancangan stesen radio itu dalam masa terdekat terutama untuk musim Ramadan dan Hari Raya.
“Selalunya, sebelum ini kita akan buat beberapa program seperti drama, video, lagu raya, pengiklanan, penggambaran dan banyak lagi.
“Oleh sebab Tyzo tidak akan bersama lagi dengan kita selepas 9 Mac nanti, seeloknya dia tidak lagi bersiaran di udara. Tak elok kita buat semua program ini, dia masih ada. Sebab itu, kalau boleh dia tidak ke udara secepat mungkin.
“Bagaimanapun, gaji dia akan terus dibayar sehingga kontraknya tamat walaupun dia tidak lagi ke udara,” katanya.
Aminuddin juga berkata, berikutan dengan sidang media itu, isu berkenaan Tyzo tidak lagi dipanjangkan atau dibangkitkan lagi di masa hadapan.
“Saya nak bagitau, jika ada mana-mana pihak yang membuat kenyataan, terus membuat kenyataan atau komen yang berbentuk fitnah, pihak Suria FM berhak untuk mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source