Mufti mohon maaf, ikhlas tegur tarikh konsert Siti Nurhaliza hampiri Ramadan
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mohon maaf atas teguran terbuka kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa berhubung kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk meraih populariti dengan memberi teguran secara terbuka, sebaliknya fokus mengenai tarikh konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza penyanyi tersebut yang terlalu hampir dengan bulan Ramadan.
Mufti mohon maaf, teguran bersifat peribadi
Menurut beliau, mengadakan konsert pada hari menghampiri bulan Ramadan adalah perkara yang melalaikan umat Islam daripada menumpukan perhatian kepada aspek pembangunan rohani.
Ujarnya, umat Islam digalakkan untuk membuat persiapan rohani secukupnya bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh kemuliaan tersebut.
“Saya tidak sama sekali mempertikaikan tentang niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza sebaliknya fokus saya hanya berkaitan tarikh konsert yang terlalu hampir dengan bulan Ramadan”.
“Bagaimanapun, saya hanya memberi pandangan peribadi serta mengambil kira kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut rohani bukan sekadar ingin mencapai kepentingan segera,”ujar Wan Salim.
Artikel lain: Lalaikan umat Islam menjelang Ramadan, mufti saran Siti Nurhaliza tunda konsert
Beliau turut menyatakan pandangan tersebut adalah bersifat peribadi bagi seseorang mufti yang tidak mengikat mana-mana individu muslim atau bukan muslim.
Jelasnya, mufti bukanlah seorang yang maksum atau terpelihara daripada melakukan kesalahan. Malah, pandangan mufti bukan seperti ayat al-Quran atau hadis sahih yang tidak boleh dibantah oleh mana-mana penganut agama Islam.
Mufti ikhlas tegur demi umat Islam
Menurut Wan Salim, tegurannya secara ikhlas demi kebaikan umat Islam bukan untuk mencari populariti atas kepentingan diri.
“Terserahlah kepada pihak berkaitan dan orang ramai sama ada mahu menerima pandangan yang diberikan atau menolaknya berdasarkan pertimbangan masing-masing.
“Cuma perlu diketahui, sesuatu amalan atau tindakan seseorang Muslim dinilai di sisi Allah SWT berdasarkan niat yang ikhlas daripada pelakunya dan betul pula caranya mengikut syariat.
“Ini bermaksud tidak memadai melakukan sesuatu hanya dengan niat yang baik dan ikhlas sahaja tetapi caranya juga mestilah sesuai dengan hukum syariat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut mengambil peluang untuk menerangkan bahawa beliau amat berlapang dada tentang hiburan dan aktiviti seni umumnya.
“Bagi saya, agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah) asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.
“Inilah pendirian saya yang konsisten walaupun saya tahu ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hukum nyanyian dan muzik adalah haram serta berdosa,”ujar Wan Salim.
Beliau turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa atas kekhilafannya membuat teguran sehingga menimbulkan polemik yang tidak dijangka.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima teguran yang diberikan oleh Mufti Pulau Pinang berkenaan tentang penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung tiga hari sebelum menyambut bulan Ramadan.
Artikel lain: Konsert Siti Nurhaliza tetap diteruskan, namun lapang dada terima teguran mufti
Menerusi kenyataan rasmi, Yayasan Nurjiwa menjelaskan tujuan utama konsert tersebut diadakan adalah bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa perang di Palestin.
Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik)
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source