Ibu Hamil Dilarang Makan Makanan Tertentu Ada Sebabnya, Ini Fakta Yang Mama Kena Tahu
Ibu hamil kerap kali dilarang makan makanan tertentu. Ada pandangan tentang makanan yang sesuai dan perlu dielak oleh ibu hamil. Makanan yang dikatakan panas, sejuk dan tajam dianggap perlu dielakkan kerana mampu membahayakan ibu hamil dan kandungannya.
Dr Fadzilah Abdul Jalil, doktor di Klinik O&G, Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi menjelaskan sememangnya, ada sesetengah jenis makanan yang diambil sewaktu hamil berkemungkinan boleh menjejaskan kandungan dan diri ibu itu sendiri. Namun, perlu diingatkan tidak semua makanan menyebabkan hal sedemikian.
Ibu Hamil Dilarang Makan Makanan Tertentu Ada Sebabnya
Seperti yang kita semua sedia maklum, makanan-makanan yang dikatakan panas, sejuk atau tajam sehingga boleh menjejaskan kandungan dan kehamilan itu adalah berdasarkan pandangan dan maklumat yang disampaikan oleh orang tua-tua terdahulu. Kebanyakannya tidak pernah menjalani kajian saintifik. Maka, tiada satu pun yang dibuktikan benar melalui hasil kajian saintifik.
Perlu diketahui bahawa terdapat sesetengah jenis makanan tidak boleh diambil semasa hamil terutamanya di awal usia kandungan disebabkan faktor-faktor tertentu.
Ini Fakta Yang Mama Kena Tahu
Contohnya makanan berasid. Ia boleh menyebabkan gastrik. Jika ibu hamil sememangnya mempunyai masalah alahan pada awal kandungan seperti loya, mual, muntah dan sebagainya, maka makanan yang mempunyai kandungan asid yang tinggi akan menyebabkan alahan lebih teruk. Dalam keadaan tertentu, boleh menyebabkan alahan lebih parah dan anda dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Makanan bersifat panas atau sejuk mahupun tajam merupakan persepsi masyarakat sahaja. Memang ada makanan yang boleh beri kesan sampingan kepada kandungan dan anda sendiri, tetapi secara saintifiknya, tidak ada kategori bagi setiap makanan itu. Ia lebih kepada respons dan tindak balas seseorang ibu hamil terhadap makanan yang diambil. Perlu diingatkan juga, bahawa setiap orang berbeza dan tidak mengalami respons yang sama antara satu sama lain. Malah, ada ketikanya, ia tiada kaitan pun dengan makanan-makanan tersebut.
Faktor alahan terhadap makanan berkenaan juga mungkin menyumbang kepada masalah yang mungkin dialami. Apa-apa pun, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Makanan yang diambil akan beri kesan berbeza kepada seorang individu kepada individu yang lain. Sama ada makanan itu panas, sejuk atau tajam, ia bersifat subjektif.
Makanan dan mitos
Durian
Fakta sains menjelaskan bahawa durian sangat kaya dengan potassium, zat besi, serat dan vitamin. Pada masa yang sama, kandungan gulanya juga yang amat tinggi. Jika diambil sewaktu hamil, kecenderungan paras gula meningkat adalah sangat tinggi dan ia amat tidak baik untuk wanita yang bersaiz besar dan penghidap diabetes.
Sebab itulah, anda tidak digalakkan makan terlalu banyak durian. Bukan kerana ia panas tetapi berpunca daripada kandungan gula yang tinggi. Seulas durian mempunyai 54 kalori. Jika teringin, cukuplah sekadar satu atau dua ulas.
Dalam banyak keadaan, potensi anda untuk mengambil lebih daripada dua ulas durian adalah sangat besar. Sebab itulah ia boleh mendatangkan mudarat dan meninggalkan kesan sampingan.
Air tebu
Dalam cuaca yang panas, air tebu sangat bagus diminum. Ia merupakan pelepas dahaga yang baik. Ada mitos menyatakan ia boleh menjadi punca pendarahan dan menyebabkan keguguran. Mungkin orang tua-tua kata ia tajam tetapi sebenarnya ia bersifat sejuk untuk ibu mengandung. Ia mengandungi gula yang tidak sebanyak durian, tinggi serat, zat besi, vitamin B kompleks dan vitamin C.
Nanas
Buah ini kaya dengan vitamin C, tinggi potassium, beta karotena dan serat. Ia bagus, cuma anda tidak boleh mengambil nanas muda sebagai santapan disebabkan banyak kandungan asid hingga boleh mengganggu sistem penghadaman. Kesannya, anda boleh mengalami cirit-birit dan sakit perut.
Di dalam nanas terdapat kandungan bromelain yang berperanan mencerna protein. Ia sering digunakan untuk menjadi pelembut daging. Berkemungkinan bahan ini dipercayai menyebabkan masalah pendarahan dan keguguran. Namun ia tidak benar. Untuk mencetuskan masalah sebegini, anda perlu makan dua biji nenas. Apa-apa pun, anda dinasihatkan untuk mengambil nanas masak dan bukannya mentah.
Tumbuhan menjalar
Sayur-sayuran sebegini sering dikatakan sebagai sejuk. Contohnya, kacang dan timun. sebenarnya tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan, sayur-sayuran menjalar boleh menjadi penyebab kembung perut, sakit sendi, otot atau urat dan sebagainya. Ia sama seperti sayur-sayur yang lainnya yang mempunyai tinggi vitamin.
Pesan Dr Fadzilah, apa-apa sahaja jenis makanan boleh diambil oleh wanita hamil. Namun, pastikan ia tidak diambil dalam jumlah yang banyak. Sama juga halnya dengan makanan yang dikatakan baik untuk kandungan dan kehamilan. Jika diambil berlebihan akan menimbulkan kesan sampingan itu bersederhana dan makan ala kadar.
Artikel berkaitan: Ibu Hamil Makin Mudah Nak Bersalin. Cuba Senaman Mudah Ni!
Bahaya Ibu Hamil Ada Masalah Kencing Kotor, Cepat-Cepat Atasi!
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source