Terus Cemerlang! Airit Rayyan Rizqin Raih CGPA 3.99, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur
Perkataan yang hampir setiap hari disebut dan diperkatakan orang ramai atau di media massa seperti media cetak, media elektronik atau media sosial ialah vaksin, divaksin atau memvaksin.
Oleh sebab bilangan pesakit COVID-19 semakin meningkat, rakyat Malaysia semakin tidak sabar untuk menjadi rakyat yang telah divaksin.
Selagi vaksin masih belum disuntikkan ke dalam tubuh mereka, mereka berasa risau akan diri mereka dijangkiti COVID-19. Para doktor pula sentiasa sibuk pada setiap hari memvaksin rakyat Malaysia mengikut giliran dengan berdasarkan keutamaan. Mereka yang merupakan barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin tersebut.
Bagi mereka yang telah menerima suntikan vaksin, mereka dengan rasa bangganya bergambar dengan kad yang tertera ayat “Saya Telah Divaksin”. Bagi mereka yang masih belum divaksin pula, mereka akan berasa cemburu kerana mereka sentiasa tertanya-tanya tentang tarikh mereka akan divaksin.
Namun demikian, situasi ini berbeza dengan saya. Walaupun bimbang kerana saya masih belum divaksin dalam suasana COVID-19 yang sedang mengganas ini, saya lebih berminat untuk berbicara tentang perkataan “vaksin”, “divaksin” dan ayat “Saya Telah Divaksin”
Sejak musuh halimunan ini menyerang dunia dan negara kita, pelbagai kosa kata baharu atau kosa kata yang jarang-jarang digunakan oleh masyarakat tiba-tiba menjadi sebutan.
Banyak perkataan yang telah mula digunakan atau dicipta seperti “penjarakan”, “kuarantin”, “kebolehjangkitan”, dan sebagainya. Namun demikian, yang paling menarik minat saya ialah ayat “Saya Telah Divaksin”. Dari segi kegramatisan, ayat tersebut betul. Namun demikian, dari segi ejaan dan tanda baca ayat tersebut salah.
Ayat yang betul dari segi ejaan dan tanda baca:
“Saya telah divaksin.”
Dari segi kegramatisannya pula, ayat tersebut betul. Ayat “Saya telah divaksin.” berasal daripada ayat “Doktor telah memvaksin saya.” Perkataan “memvaksin” bermaksud menyuntikkan vaksin ke dalam tubuh seseorang.
Oleh hal yang demikian, kita juga boleh menggunakan ayat yang berikut:
Doktor telah menyuntikkan vaksin ke dalam tubuh saya.
Ayat “Doktor telah memvaksin saya.” dapat dipasifkan menjadi “Saya telah divaksin oleh doktor.” Apabila berlaku pengguguran oleh “+FN”, ayat yang terhasil ialah “Saya telah divaksin.”
Sebagai kesimpulannya, ayat “Saya Telah Divaksin” perlu ditulis dengan betul supaya menepati peraturan ayat dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, di samping kita menjaga kesihatan, kita hendaklah menjaga bahasa kita. Ingatlah bahawa kita jaga kita. Di samping itu, kita juga jangan lupa untuk menjaga bahasa kita.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja Bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source