Ingin menghadiri kelas buat blog, ada kitchen studio mini sendiri dan menganjurkan kelas memasak secara percuma, ini adalah tiga impian yang ingin dicapai oleh Budiman Bistari bin Mohamed menggunakan wang kemenangan jika berjaya menjadi JagOH! Rasa BABA’S.
Ini kerana menurut beliau, ada 3 harta yang boleh dibawa selepas mati iaitu ilmu yang bermanfaat yang dikongsi bersama orang ramai, harta yang diinfak pada jalan yang baik dan doa dari anak buat kedua orang tuanya. Jadi beliau ingin memanfaatkan imbuhan tersebut untuk menimba ilmu di jalan yang bakal memberi kesejahteraan untuknya di akhirat kelak.
Mesra disapa dengan panggilan Cik Man, bagi beliau Pertandingan JagOH! Rasa BABA’S adalah platform buat penggiat seni kulinari untuk berkongsi ilmu, bertukar idea serta pandangan mengenai dunia masakan tanpa mengira kaum, umur serta latar belakang. Bila sudah berjumpa, semuanya mesra dan ramah tamah. Langsung tidak lokek ilmu. Ini membuatkan timbul rasa sangat hormat kepada semua peserta yang masuk bertanding.
Mempunyai pengalaman 25 tahun sebagai jurumasak, ternyata membuahkan hasil apabila resipi Nasi Paella Kari Ikan Baba’s Karipoley berjaya menambat hati juri seterusnya diumumkan sebagai pemenang pertama yang layak mewakili Zon Sentral ke peringkat separuh akhir.
Lihatlah masakan Cik Man ni, bukan biasa-biasa. Mewah dan tentunya sangat sedap. Selain juri, kru-kru yang merasa juga semuanya sepakat mengakui hidangan anak kelahiran Bendang, Kedah ini punya auranya yang tersendiri.
Bila ambil keputusan untuk bertanding, saya buat kaji selidik, kelebihan produk Baba’s dan menu yang sesuai. Nasi pula adalah makanan rugi masyarakat majmuk di Malaysia. Jadi saya menyediakan resipi mudah yang semua lapisan umur boleh menikmatinya. Resipi ini adalah gabungan menu kegemaran rakyat negara kita iaitu kari dan nasi. Cuma saya gabungkan idea dari negara Sepanyol iaitu Paella.
Bagi orang lain, memasak mungkin sekadar menyediakan makanan untuk mengisi kelaparan, namun bagi insan berusia 47 tahun ini, beliau berpegang pada prinsip menghormati bahan masakan, masak kerana Allah dan mesti ikhlas serta bersih dalam penyediaan. Masak masakan Malaysia perlu tertib dan jangan shortcut. Barulah masakan yang dihasilkan lebih berkualiti dan memberi kepuasan pada lidah yang merasa.
“Bila hidangan saya diumumkan layak ke Top 12, Alhamdulillah saya sujud dengan penuh kesyukuran atas rezeki yang diberikan. Ini kerana dalam pertandingan ini ada cerita suka dukanya.
Suka sebab saya dapat banyak ilmu dari golongan professional penyiaran dan ilmu masakan dari peserta lain. Bab dukanya ialah semasa pertandingan, saya hadir berseorangan. Datang pendaftaran sendiri, tiada yang meneman.
Ini kerana hal yang tidak dapat dielakkan dimana kebetulan semasa pertandingan isteri ada peperiksaan akhir dan tidak dapat bersama-sama di lokasi pertandingan. Biasanya isteri dan anak-anak iaitu Mikael, Miqlah dan Hani akan datang beri sokongan.
Namun tidak mengapa, doa mereka sentiasa mengiringi saya dan itulah sumber kekuatan untuk saya sampai ke tahap ini seterusnya berusaha lagi agar berjaya menempatkan diri dalam Top 4. Insyaallah”.
NASI PAELLA KARI IKAN BABA’S KARIPOLEY
BAHAN-BAHAN NASI:
- 100ml minyak zaitun
- 80gm bawang merah – dipotong dadu
- 30gm bawang putih – diracik kasar
- 30gm halia – diparut kasar
- 10gm cili padi merah – diracik halus
- 20gm cili hijau – diracik kasar
- 10gm batang ketumbar segar – diracik kasar
- 30gm tomato puri
- 70gm tomato segar – di buang biji & diracik kasar
- 10gm halba campur
- 5gm daun karipoley (daun kari) – diracik kasar
- 1 helai daun bay
- 10gm jintan putih – disangai & ditumbuk kasar
- 5gm biji lada hitam – disangai & ditumbuk kasar
- 150gm Serbuk Kari Ikan Pedas BABA’S – dibancuh dengan air
- 5 hirisan lemon – dipotong baji
- 1 biji lada benggala merah – bakar, buang kulit & potong dadu
- 70gm kacang pis
- 70gm tairu atau sour cream
- 5gm saffron – jika suka
- 100gm beras basmathi @ beras phusa – direndam 30 minit
- 120ml air
- 100gm ikan tenggiri – dibuang tulang & dipotong
- 7 ekor udang – di belah belakang, buang kekotoran
- 9 ekor kepah – dicuci bersih
- 7 ekor kekapis – dicuci bersih
- 100gm sotong – dicuci bersih
- 1 ekor udang karang (lobster) – jika suka
- Bahan perasa, garam, gula dan air asam jawa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak zaitun menggunakan kuali paella.
- Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga layu.
- Kemudian masukkan parutan halia, cili hijau dan cili padi. Tumis sehingga naik wangi.
- Kemudian masukkan halba campur, jintan putih dan serbuk lada hitam.
- Masak sehingga layu, separa garing dan rempah basah sudah matang masaknya.
- Masukkan Serbuk Kari Ikan Pedas Baba’s yang telah dilarutkan bersama air.
- Kemudian masukkan tomato puri, saffron dan tomato segar. Tumis sehingga pecah minyak kemudian masukkan daun kari, daun ketumbar dan daun bay.
- Masukkan beras sambil tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga beras 3/4 masak sambil dikacau sebati.
- Masukkan sotong, ikan, kepah dan udang karang. Kacau perlahan lahan.
- Perasakan dengan bahan perasa. Masukkan air supaya Nasi Paella masak sepenuhnya.
- Bila sudah Nasi Paella sempurna masak dan kering, susun udang diatas Nasi Paella, hirisan lada benggala, kacang pis dan hirisan lemon.
- Tutup Nasi Paella Kari Ikan Baba’s Karipoley menggunakan aluminium foil untuk pastikan udang masak sempurna. Masak selama 10 minit mengunakan api yang sederhana.
- Akhir sekali sebelum disajikan, hiaskan Nasi Paella dengan yogurt dan daun ketumbar segar.
JAGOH RASA BABA’S
Pertandingan ini terbuka kepada seluruh warga Malaysia dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang. Berkerjaya atau tidak, suri rumah, atau masih belajar, layak untuk menyertai pertandingan ini.
Pada peringkat awal, peserta hanya perlu menghantar gambar masakan berserta resipi penuh secara atas talian iaitu melalui laman web majalah Rasa. Selepas pemilihan awal, perserta yang layak perlu melalui sesi penjurian bagi mencari Top 12 yang diadakan di empat lokasi iaitu di Pulau Pinang, Kota Bharu, Johor Bahru dan Subang Jaya.
Seterusnya peserta Top 12 akan dipilih melalui undian secara atas talian bagi mendapatkan 4 tempat ke final dan seterusnya bakal bertanding secara berhadapan.
JAGOH RASA BABA’S menawarkan wang tunai dan trofi.
Tempat Pertama: RM10,000
Tempat Kedua: RM5,000
Tempat Ketiga: RM3,000
Tempat Keempat: RM1,000
Saguhati: RM500 x 8 peserta
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source