Walaupun namanya tidak gah seperti chef selebriti yang lain, namun anak muda yang hanya mahu dipanggil Fendi Dapur Bujang ini sebenarnya begitu popular di kalangan mereka yang menonton di Youtube. Pengacara program masakan Dapur Bujang, Dapur Western dan Selera Bajet ini ternyata seorang anak muda yang cukup sederhana, humor, bersahaja dan sangat kreatif orangnya.
Kini Fendi mula sibuk menyediakan beberapa masakan untuk buku resipinya. Dalam kesibukan itu, Fendi sempat mencuri masa untuk berkongsi pengalaman sebagai tukang masak secara serius sehingga berjaya menjadi tukang masak. Kini layak digelar chef kerana beliau sudah menghasilkan banyak resipi sendiri hasil dari pengalamannya sebagai tukang masak.
“Saya hanyalah seorang tukang masak, bukan seorang chef. Jadi saya lebih selesa dipanggil Fendi sahaja. Cuma saya suka masak dan mencuba resipi-resipi baru. Lama kelamaan, melalui pengalaman, pemerhatian, penyelidikan, bacaan dan menoton program-progaram masakan dalam dan luar negara melalui Youtube, menjadikan saya yakin untuk menghasilkan resipi sendiri. Sekarang tak sangka memasak sudah menjadi kerjaya saya, “ ujar Fendi
Menceritakan pembabitan dalam dunia masakan secara serius, Fendi yang pernah menyertai Maharaja Lawak tidak menyangka dunia masakan telah membuka lembaran baru sebagai kerjaya yang menyeronokkan.
“Semuanya bermula, bila saya gagal menyertai Masterchef, kemudian ada seorang produser menawarkan saya untuk jadi hos sebuah program masakan dengan konsep bajet bawah RM10 untuk dua resipi. Tapi selepas berbincang dan kebetulan saya pulak bujang, jadi kami namakan program tersebut sebagai Dapur Bujang. Kalau tidak silap saya pada tahun 2013.
Fendi yang kini telah menghasilkan lebih dari 150 resipi di Youtube.
Bangga Bujang Ke Dapur
Sepanjang bergelar tukang masak secara aktif, sesuatu yang membangga dan menyentuh perasaannya, bila ada orang yang berjumpa dengannya mengatakannya mereka sudah cuba resipinya di Dapur Bujang dan ada juga yang terkejut anak bujangnya boleh memasak dengan dek kerana menoton Dapur Bujang.
“Saya seronok mendengar maklum balas positif sedemikian, sekurang-kurangnya selain boleh kongsi resipi dengan rakan-rakan bujang. Malah ada juga yang sudah rajin ke dapur memasak sendiri. Konsep bajet, bahan murah, senang dapat, mudah masak dan sedap hasilnya sangat sesuai dengan orang bujang sekarang yang semuanya nak mudah dan cepat.
Tanpa disangka Fendi yang mula belajar memasak seawal usia 10 tahun, apabila beliau tidak ada pilihan lain selain masak sendiri bila balik dari sekolah.
“Mak saya pesan, dalam peti ais ada macam-macam, ada ikan, udang, ayam, daging dan sayur, balik sekolah masak. Kalau mak masak nanti sejuk, tak sedap bila nak makan. Mahu tak mahu saya terpaksa masak untuk mengisi perut saya dan dua orang lagi adik.
“Setiap hari bila balik dari sekolah saya terpaksa mengadap peti ais, tengok apa yang ada di dalamnya. Kemudian ambil dan masak ikut cara sendiri, sedap atau tidak soal kedua. Kebanyakan menu saya adalah yang ringkas dan mudah dimasak. Kalau nak tunggu mak balik, memang lambat, “ cerita Fendi mengakui pengalaman itu adalah guru terbaiknya dalam bidang masakan.
Impian Dan Harapan
Selepas mengambil masa lebih dari tiga tahun mencipta nama dalam dunia masakan, kini Fendi yang berkebolehan sebagai pengacara majlis, hos program TV dan juga belakon. Kini mahu lebih fokus kepada bidang masakan.
Anak mudah yang petah bercakap ini juga kelihatannya cekap di dapur untuk menyediakan dua resipi yang sangat sempoi katanya. Sambil berseloroh, dia memberitahu dua resipi yang dikongsikan dengan RASA bukan hanya sesuai untuk si bujang tetapi juga seisi keluarga.
AYAM BAKAR SOS KICAP
BAHAN-BAHAN:
2 belah paha ayam | bersih dan toskan
1 sudu makan serbuk lada hitam
Sedikit garam
BAHAN SOS:
1 sudu makan kicap manis
1 sudu makan kicap masin
1 biji bawang besar | dihiris bulat
1 keping gula Melaka
1 biji limau nipis
1 sudu makan serbuk lada hitam
Garam jika perlu
Minyak masak | untuk menumis
1/2cawan air
CARA MEMASAK:
1.Gaulkan ayam dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam. Perapkan selama 30 minit.
2.Sementara itu, panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang besar hingga layu.
3.Kemudian masukkan air, gula Melaka, kacau sehingga gula cair.
4.Seterusnya masukkan kicap manis dan masin. Biarkan sos mereneh seketika dan ketepikan.
5.Bakar ayam di atas pemanggang atau di dalam ketuhar hingga masak.
6.Setelah ayam masak, tuangkan sos kicap di atasnya.
7.Ayam Panggang Sos Kicap sedia dihidangkan,
INFO CHEF:
Resipi ini sesuai untuk ibu dalam pantang.
…..
AYAM MERAH BUJANG
BAHAN-BAHAN:
- 1kg ayam | potong dan bersihkan
- 1 biji bawang besar | hiris
- 2 ulas bawang putih | ketuk
- 2 batang serai | hiris
- 2 sudu makan pes cili kering
- 2 sudu makan sos tomato
- 2 sudu makan sos cili
- Garam, gula secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
- Serbuk kunyit secukupnya
- 1 cawan air
CARA MEMASAK:
1.Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit bersama sedikit garam.
2.Sementara itu, panaskan minyak dan goreng ayam sehingga tiga perempat masak. Angkat dan ketepikan.
3.Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis, tumis hirisan bawang besar, bawang putih dan serai hingga naik bau.
4.Seterusnya masukkan cili kisar, sos cili, sos tomato, kacau dan masukkan sedikit air.
5.Akhir sekali, masukkan ayam, garam dan guka secukupnya, kacau rata. Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika sebelum diangkat dan dihidangkan.
INFO CHEF:
Jika suka boleh masukkan hirisan kentang yang telah digoreng.
PENYELARAS: SHIDA YASIN
FOTO: MOHD SHAHIR OSMAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source