Perang Yarmuk: Sejarah & Kronologi
Artikel ini akan membincangkan Perang Yarmuk, salah satu peperangan yang memperlihatkan keberanian umat Islam melawan kuasa besar Rom Timur (Byzantine) dalam penaklukan negeri Syam (Syria).
Bilakah Perang Yarmuk Berlaku?
Perang Yarmuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke 15 Hijrah. Peperangan ini melibatkan kaum muslimin di bawah pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq melawan tentera Rom Timur (Byzantine) di bawah kekuasaan Maharaja Rom bernama Heraclius. Peperangan ini berlaku di suatu lembah bernama Yarmuk, yang kini menjadi sempadan antara Syria dan Jordan.
Sebab Berlakunya Peperangan
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq berusaha untuk menyebarkan dakwah Islamiyah ke negeri Syam (Syria) pada awal tahun ke 13 Hijrah. Hasrat beliau untuk menakluk Syam adalah didasarkan kepada perintah Allah SWT yang berbunyi; “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) pada Hari Kemudian” (At-Taubah:29). Selain itu, beliau juga ingin mengikuti jejak Rasulullah SAW yang pernah memerangi Syam semasa Perang Tabuk.
Bermulanya Penaklukan Negeri Syam
Bagi menakluk negeri Syam, Khalifah Abu Bakar melantik beberapa panglima perang untuk mengetuai pasukan muslimin bagi membuka kota-kota di Syam. Yazid bin Abu Sufyan dibantu oleh Suhail bin Amr ditugaskan untuk mengetuai kaum muslimin menakluk kota Damaskus, Abu Ubaidah al-Jarrah bersama pasukannya diberi tanggungjawab menakluk kota Himsh, Amr bin al-Ash dan pasukannya menakluk Palestin, manakala Syuhrabil bin Hasanah dipindahkan dari pasukan Khalid al-Walid di Iraq untuk ditempatkan di Syam sebagai ketua pasukan.
Selain itu, Khalifah Abu Bakar turut menyediakan pasukan tambahan untuk bergabung dengan mana-mana pasukan yang memerlukan bantuan. Pasukan Yazid bin Abu Sufyan, Abu Ubaidah al-Jarrah dan Syuhrabil bin Hasanah melalui Tabuk, manakala pasukan Amr bin al-Ash melewati jalan al-Mu’riqah sehingga sampai di Ghamr al-Arabat. Diriwayatkan bahawa perang pertama di Syam berlaku antara pasukan Yazid bin Abu Sufyan bersama tentera Rom di al-Arabah, terletak di wilayah Palestin. Pasukan Abu Ubaidah al-Jarrah juga memulakan peperangan ketika melalui al-Balqa’ sehingga penduduknya memutuskan untuk berdamai. Perdamaian tersebut merupakan perdamaian pertama yang berlaku di Syam.
Persiapan Perang
Apabila melihat kemaraan pasukan muslimin di negeri Syam, maharaja Heraclius memerintahkan tentera Rom untuk menghadapi setiap pasukan muslimin. Heraclius melantik saudara kandungnya bernama Tazariq untuk menghadapi pasukan Amr bin al-Ash dengan membawa 90 000 tentera. Jarajah bin Tuzra bersama 60 000 tentera dikerahkan untuk mengadapi pasukan Yazid bin Abu Sufyan. Al-Duraqis dilantik untuk memerangi Syuhrabil bin Hasanah, manakala al-Fiqar bersama 60 000 pasukannya menghadap Abu Ubaidah al-Jarrah.
Ikrimah bin Abu Jahal mengutuskan surat kepada Khalifah Abu Bakar memaklumkan kemaraan tentera Rom. Lalu, Khalifah Abu Bakar memerintahkan agar seluruh pasukan kaum muslimin untuk bergabung. Beliau juga memerintahkan Khalid al-Walid untuk menarik diri dari pasukan Iraq untuk menuju ke Syam. Mendengar khabar tersebut, Heraclius turut memerintahkan pasukan Rom untuk bergabung dan Tazariq dilantik sebagai ketua pasukan. Diriwayatkan bahawa keseluruhan tentera Rom berjumlah 240 000 orang manakala pasukan kaum muslimin berjumlah sekitar 40 000 orang.
Khalid al-Walid dilantik sebagai pemimpin pasukan kaum muslimin. Beliau membahagikan pasukan kepada 36 unit, dengan satu unit terdiri daripada 800-900 orang. Kemudian, unit tersebut dibahagikan kepada 3 tentera berkuda dengan 2000 kuda untuk setiap unit. 3 tentera berkuda tersebut diketuai oleh Qais bin Hubaira, Maisara bin Masruq dan Amir bin Tufail. Beliau sendiri mengetuai 4000 tentera berkuda. Abu Ubaidah mengambil posisi di tengah pasukan, Amr bin al-Ash dan Syuhrabil bin Hasanah di sayap kanan, manakala Yazid bin Abu Sufyan di sayap kiri. Manakala, wanita-wanita muslimin ditempatkan di belakang pasukan dan ditugaskan untuk mengejar kaum muslimin yang lari dari medan perang.
Perang Yarmuk Tercetus
Menjadi tradisi kaum muslimin untuk melakukan rundingan sebelum memulakan peperangan. Abu Ubaidah dan Yazid membawa bersama Dhirar bin al-Azur, Harith Ibnu Hisyam dan Abu Jandal bin Suhail untuk memberi dakwah kepada Tazariq, namun tidak berhasil. Selain itu, salah seorang panglima Rom bernama Mahan cuba memujuk Khalid al-Walid untuk menghentikan peperangan dengan menawarkan harta yang lumayan namun ditolak dengan tegas oleh Khalid. Oleh kerana pihak Rom tidak ingin menerima Islam atau membayar jizyah dan rundingan menemui jalan buntu, maka kedua-dua pihak memutuskan untuk berperang.
Perang Yarmuk berlangsung selama enam hari. Pada hari pertama, panglima besar Rom bernama Jarajah bin Tuzra telah memeluk Islam selepas berdialog dengan Khalid al-Walid. Pengislaman Jarajah menjadi pencetus peperangan apabila tentera Rom bertindak menyerang tentera muslimin. Kemudian, berlaku perang tanding yang kemenangannya berpihak kepada kaum muslimin. Sebahagian tentera Rom memerangi kaum muslimin dan peperangan tersebut hanya berhenti pada malam hari. Jarajah yang baru sahaja memeluk Islam, terkorban dengan serangan tersebut.
Pada hari kedua, tentera Rom menyerang kaum muslimin pada waktu subuh agar mereka tidak sempat untuk bersedia. Namun, Khalid telah menempatkan tentera di perbatasan untuk menghalang kemaraan tentera Rom dan memberi masa kepada kaum muslimin untuk mengambil posisi. Tentera Rom menyerang sayap kanan dan kiri tentera muslimin, sehingga sebahagian mereka terpaksa mundur dari medan perang. Namun, apabila dikecam dan dihina oleh kaum wanita di belakang pasukan, mereka kembali ke medan perang menyerang tentera Rom dengan marah. Tentera Rom berjaya dihalang semula dengan bantuan pasukan berkuda Khalid al-Walid dan seorang panglima Rom bernama Deirjan berjaya dibunuh oleh Dhirar bin Al-Azur.
Pada hari ketiga, berlaku pertempuran antara pasukan Khalid dan Amr al-Ash mendesak tentera Rom kembali ke posisi mereka. Hal ini menyebabkan bilangan tentera Rom yang terbunuh lebih ramai daripada tentera muslimin. Semangat juang tentera Rom juga semakin pudar kerana segala serangan mereka tidak berhasil. Pada hari keempat, tentera Rom menyerang sayap kanan pasukan kaum muslimin. Serangan tersebut berhasil dipatahkan oleh Amr al-Ash, namun pasukan Syuhrabil didesak oleh tentera Rom. Khalid al-Walid memberi bantuan kepada sayap kanan pasukan sehingga berjaya menghalang kemaraan tentera Rom. Namun, pasukan Abu Ubaidah dan Yazid mengalami serangan yang dahsyat dari tentera Rom. Pada hari keempat juga, Ikrimah bin Abu Jahl dan anaknya, Amr bin Ikrimah telah gugur syahid apabila menentang tentera Rom yang menyerang pasukan Abu Ubaidah dan Yazid.
Pada hari kelima, pihak Rom cuba mengadakan rundingan dengan Abu Ubaidah namun ditolak oleh Khalid. Beliau sibuk mengatur strategi peperangan kerana sedar tentera Rom tidak mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan peperangan. Pada hari keenam, kaum muslimin memulakan serangan balas. Pasukan Amr al-Ash, Khalid al-Walid dan Syuhrabil melumpuhkan sayap kiri tentera Rom. Abu Ubaidah dan Yazid pula menyerang barisan hadapan namun berjaya dihentikan oleh tentera Rom. Serangan balas tersebut berjaya dibuat dengan bantuan pasukan Khalid al-Walid.
Serangan kaum muslimin menyebabkan tentera Rom menjadi kucar-kacir. Sebahagian besar daripada mereka melarikan diri dan sebahagian besar berjaya dibunuh oleh tentera muslimin. Menjelang malam, tentera Rom yang terakhir berjaya dibunuh oleh tentera muslimin. Manakala, sebahagian besar yang melarikan diri termasuk Tazariq, berjaya dibunuh oleh Dhirar dan pasukannya, yang ditempatkan oleh Khalid di satu-satunya jalan untuk lari dari medan perang. Maka dengan itu, tentera muslimin beroleh kemenangan yang besar. Kegembiraan mereka tidak berpanjangan dengan khabar kewafatan pemimpin agung pertama umat Islam, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq.
Rumusan
Perang Yarmuk memperlihatkan kekalahan besar empayar Rom Timur. Ketika tentera Rom yang terselamat pulang, maharaja Heraclius bertanya sebab mereka mengalami kekalahan walaupun bilangan tentera Rom jauh lebih ramai daripada tentera muslimin. Seorang dari mereka menjawab, “Kami kalah disebabkan mereka solat di malam hari, berpuasa di siang hari, mereka menepati janji, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta saling jujur sesama mereka”. Justeru, sifat ikhlas untuk memperjuangkan agama dan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT merupakan kunci untuk memperoleh kemenangan dunia dan akhirat.
Rujukan
- Al-Hafizh Ibnu Katsir. 2002. Perjalanan hidup empat Khalifah Rasul yang agung. Jakarta: Darul Haq.
- A.I.Akram. 2011. Sword of Allah Khalid Bin Al-Waleed. Kuala Lumpur: Percetakan Advanco Sdn Bhd.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source