Batal pengharaman buku ‘Golden Son of Kadazan’, Kit Siang beritahu Saifuddin
Veteran DAP menggesa menteri dalam negeri membaca buku mengenai mendiang Peter Mojuntin, dan menegaskan beliau tidak akan menemui apa-apa yang mewajarkan larangan itu.
PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memansuhkan larangan terhadap penerbitan dan pengedaran buku “The Golden Son of the Kadazan”, yang diharamkan sejak 1978.
Lim menggesa Saifuddin masuk campur dan membetulkan “kesilapan 45 tahun” itu apabila laporan siasatan nahas pesawat di Sabah pada 1976, digelar “tragedi Double Six”, dinyahklasifikasi.
Buku itu mengisahkan kehidupan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah ketika itu, Peter Mojuntin, yang terkorban dalam nahas bersama ketua menteri ketika itu Fuad Stephens dan sembilan yang lain.
Buku karangan Bernard Sta Maria, ahli DAP dan bekas Adun Banda Hilir itu diterbitkan pada Mei 1978, dan diharamkan pada 22 Julai tahun sama mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan.
Pada 2015, menteri dalam negeri ketika itu Zahid Hamidi berkata, buku tersebut mengancam kepentingan dan keselamatan negara, mendakwa ia mengandungi kritikan keterlaluan terhadap kerajaan dan mendatangkan bahaya kepada keharmonian agama antara umat Islam dan penganut Kristian.
Bagaimanapun, Lim menggesa Saifuddin membaca buku itu sendiri, dan berkata menteri itu tidak akan menemui apa-apa di dalamnya yang mewajarkan larangan, “seperti mana tidak ada sebab sama sekali untuk laporan nahas Double Six dirahsiakan bawah Akta Rahsia Rasmi selama 47 tahun”.
“Malah, Bernard menggambarkan Peter Mojuntin secara tepat sebagai seorang rakyat Malaysia yang patut dijadikan teladan, yang terinspirasi dengan prinsip-prinsip asal Malaysia seperti diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun diharamkan, buku itu boleh didapati secara meluas dalam bentuk digital di internet. Selain mengetengahkan perjalanan Peter sebagai ahli politik Kadazan, buku itu turut menceritakan apa yang berlaku pada tahun sebelum nahas pesawat itu berlaku.
Dalam kejadian itu, Fuad, yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah hanya 53 hari sebelum itu, terkorban bersama 10 individu lain, termasuk menteri-menteri negeri, apabila pesawat GAF Nomad yang mereka naiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Mangsa lain yang terkorban termasuk Peter dan menteri-menteri negeri yang lain iaitu Salleh Sulong dan Chong Thien Vun.
Anak Peter, Donald, turut menggesa kerajaan “terus melakukan perkara yang betul” dan memansuhkan larangan terhadap buku itu.
Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata, beliau mengusulkan kepada Jemaah Menteri supaya larangan terhadap buku itu dimansuhkan.
Saifuddin dijangka memberikan “maklum balas” mengenai usul itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source