Makan Tanpa Was-was Di FamiCafe Lepas Ni, Diiktiraf Kafe Kedai Serbaneka Halal Pertama Di Malaysia!
Memang seronok dan rambang mata setiap kali melangkah masuk ke kedai serbaneka yang lengkap dengan pilihan makanan sedap dan ready-to-eat. Apatah lagi bila dah dapat Sijil Halal, memang lepas ni boleh makan tanpa was-was lagi di rangkaian kedai serbaneka FamilyMart yang ada di Malaysia
Dalam satu majlis FamilyMart Malaysia mengumumkan FamiCafé di Menara U, Shah Alam telah mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikannya kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.
Pensijilan halal ini selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia dalam memastikan para pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya. Kedai-kedai FamilyMart Malaysia akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan JAKIM, dan prosesnya telah bermula di dua kedai lain.
Berhenti Jual Alkohol Sejak Mac 2023
Selaras dengan perkembangan ini, FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan alkohol di semua kedai bagi memberikan keyakinan tambahan untuk para pelanggan berbelanja tanpa kegusaran.
Sebagai sebahagian daripada inovasi berterusannya untuk mengembangkan semangat konbini bagi memenuhi gaya hidup dan keperluan pelanggan, FamilyMart akan memperkenalkan konsep FamiCafé seperti yang terdapat di Menara U di semua kedai. Konsep yang disahkan halal ini menyajikan minuman kafe dan makanan yang tersedia untuk dimakan yang disiapkan di dalam kedai. Ini termasuk makanan kegemaran sepanjang masa seperti oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.
Konsep FamiCafé menggabungkan minuman kafe berkualiti dan tawaran sajian dengan keselesaan masa dan lokasi. Sejak pelancarannya, konsep ini telah menerima sambutan baik untuk kualiti, nilai dan keselesaan yang ditawarkan. Sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun 2023. Semua FamiCafé serba baharu akan mengadaptasi susun atur yang disediakan JAKIM, manakala stor sedia ada akan diubah suai untuk tujuan sama. FamilyMart Malaysia menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang tahun 2025.
Sebagai tambahan, FamilyMart kini giat berkembang ke pantai timur Semenanjung Malaysia. FamilyMart Malaysia sedang mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memenuhi permintaan pelanggan di rantau itu dan menyasarkan 20 kedai akan dibuka menjelang akhir 2023. Cawangan FamilyMart sudahpun dibuka di beberapa lokasi di Kuantan, Pahang.
Jelas FamilyMart Malaysia, “Kami amat teruja FamiCafé berjaya menjadi kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal, selaras dengan usaha berterusan kami untuk menambah baik pengalaman pelanggan dan memberi nilai tambah kepada mereka. Perjalanan kami untuk mendapatkan pensijilan halal di kedai kami adalah langkah ke hadapan dalam memberikan jaminan dan keyakinan yang lebih utuh kepada pelanggan untuk membeli-belah dan menjamu selera bersama kami. Ini menggariskan komitmen kami dalam menjadikan pengalaman pelanggan lebih selesa dan baik melalui produk, perkhidmatan dan kemudahan yang memenuhi keperluan harian mereka. Ini melengkapkan konsep baharu bagi memenuhi jangkaan tinggi mereka terhadap kedai serbaneka sejak pembukaan pertama kami.”
Untuk terus menambah keselesaan, FamiCafé FamilyMart di Menara U juga mempunyai kiosk layan diri, membolehkan pelanggan memesan produk menggunakan e-dompet atau kad kredit kegemaran masing-masing. Pelanggan bebas untuk melihat barangan lain sementara pesanan disiapkan. Kiosk layan diri akan diperkenal di FamiCafé yang lain secara beransur. Pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh JAKIM sejak 2019. Setakat 30 April 2023, 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi JAKIM.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source