Mungkin sewaktu kanak-kanak dahulu kita rasa seronok di kampung. Mandi sungai, lastik burung, kayuh basikal. Ketahuilah itu semua hanya kenangan. Anda sudah jauh meninggalkan semua itu.
Beberapa hari lalu saya terlihat sebuah post oleh seorang pengguna media sosial tentang beberapa kenalan dari kota yang bina rumah di kampung untuk memulakan hidup baharu, tetapi tak sampai setengah tahun berpindah ke kota semula kerana akhirnya mendapati mereka tak mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu tersebut.
Kemudian saya baca post Fedtri Yahya. Personaliti TV itu menghuraikan sebab-sebab orang bandar yang telah lama meninggalkan kampung tak mampu harung cabaran hidup di sana selepas mencuba. Saya yang sudah masuk tahun keempat bermastautin di kampung bersetuju dengan apa yang dikemukakan oleh Fedtri.
Ramai kawan saya menyatakan betapa seronoknya mereka melihat foto-foto aktiviti saya di kampung seperti memotong rumput, membersihkan kolam serta memberi makan kepada ayam dan kucing. Saya hanya menjawab, “ia bukan semudah yang dilihat.”
Benar! Anda yang sudah lebih dua puluh tahun di bandar akan berhadapan dengan budaya ‘lain’ apabila menetap di kampung. Di bandar anda tinggal di pangsapuri atau taman perumahan misalnya. Anda yang kononnya berjiwa kampung akan berasa tidak best kerana apabila bertembung dengan jiran satu blok di dalam lif atau di taman, mereka memalingkan muka enggan bertegur sapa. Anda kecewa. Anda mahukan suasana kejiranan yang anda masih ingat sewaktu kecil-kecil di kampung di mana jiran tetangga saling bertegur sapa, bahu-membahu, dan tolong-menolong. Apabila anda menetap di kampung, benar suasana tersebut ada tetapi akan ada pula masalah baharu yang bakal muncul.
Mungkin ada pula kawan-kawan di kampung yang terlalu peramah sehingga anda menjadi rimas, dan mula melihat kembali bagus pula kalau jiran-jiran tidak terlalu ambil tahu seperti di kota. Sebelum ini di bandar lebih bebas dan tidaklah seperti di kampung adakalanya terasa seperti diperhatikan.
Anda kemudiannya melalui beberapa masalah lagi yang tidak pernah anda alami sewaktu duduk di bandar. Di bandar masalah kejiranan mungkin hanya berkisar hendak park kereta sahaja. Kawan-kawan atau saudara-mara datang ziarah menghadapi masalah kerana tempat letak kereta yang terhad. Itu sahaja. Apabila di kampung, laman anda luas dan tiada masalah meletak kereta. Yang menjadi masalah apabila binatang ternakan seperti lembu dan kambing melanggar pagar lalu menceroboh halaman, memagut tanaman yang anda usahakan. Tak ke haru? Ini masalah biasa kalau di kampung, tahu? Kena banyak bersabar.
“Bila kita pindah kampung tak payah lagi nak kena bayar yuran maintenance, duit pengawal keselamatan semua ni, bang.” kata isteri anda. Betul juga tu. Tetapi apabila siap rumah di kampung, anda kena juga tebas semak-samun dan mesin rumput yang cepat panjang lebih-lebih lagi apabila musim hujan. Ini dah kira maintenance juga! Sewaktu di kondo anda hanya bayar sahaja yuran (itu pun culas) tanpa perlu memikirkan tentang rumput, sampah, dan lanskap. Semuanya siap berjaga. Tetapi di kampung anda sendiri yang kena mesin rumput. Selenggara mesin dan alatan lagi. Tenaga lagi. Badan pun penat dan sakit-sakit. Mulalah timbul rasa menyesal pindah. Pacat, agas, nyamuk, semut, tungau kini menunggu anda.
Mungkin sewaktu kanak-kanak dahulu kita rasa seronok di kampung bersama kawan-kawan. Mandi sungai, lastik burung, kayuh basikal keliling kampung dan berbagai aktiviti lain. Ketahuilah itu semua hanya kenangan. Anda sudah jauh meninggalkan semua itu. Apakah ini bermakna hasrat anda untuk bermastautin di kampung perlu dibatalkan? Tidaklah begitu. Sebaliknya mental mesti bersedia dan cara berfikir mesti ditetapkan lebih awal. Pasangan anda dan anak-anak anda juga mesti bersedia hadapi perubahan ini. Jika semua cabaran sudah dikenalpasti dan penyelesaiannya dapat dicari pasti akan menjadi indah dan bahagia.
Saya berpindah ke kampung isteri tiga tahun lalu sebaik sahaja gelombang pertama pandemik berakhir. Saya langsung tidak kenal sesiapa di kampung tersebut. Isteri saya telah meninggalkan kampung sejak remaja lagi maka tidak ramai yang dia kenal juga. Tetapi kami mempunyai pengalaman berpindah-randah dan hidup serba kekurangan di perantauan. Di Beijing kami pernah hidup dalam keadaan bahasa yang asing, di Jakarta kami menghuni rumah setinggan di celah-celah bangunan. Tiada siapa yang kami kenal maka saya bergaul sahaja dengan tetangga sebelah-menyebelah. Jadi, pengalaman tersebut kami gunakan.
Saya menganggap saya ini seperti orang buangan yang dicampak ke sebuah kawasan di mana tiada siapa yang tahu latar belakang saya. Saya juga tidak tahu latar belakang kawan-kawan baharu. Ini suatu pengalaman yang baik untuk penulis dan pelukis seperti saya dalam menghasilkan karya. Saya minum teh bersama mereka dan bersembang berbagai topik dari hal-hal kampung sampailah ke isu politik. Dari situ saya tahu apa pandangan politik mereka. Jika ada yang berbeza fahaman pun saya tahu apa puncanya dan saya boleh terima. Tidaklah saya sedap-sedap saja menuduh mereka bodoh hanya kerana tak sehaluan dengan fahaman saya. Manakala warung-warung di kampung pula sedap-sedap masakannya, weh! Kemudian saya pun menyelit di antara mereka dengan menghadiri majlis kenduri-kendara, kematian. Saya jenguk juga masjid atau surau. Bak kata orang, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Alhamdulillah, setakat ini saya berasa keputusan kami berpindah ke kampung adalah betul dan membahagiakan.
Masalah? Memanglah ada. Umpat keji, kata-mengata dan macam-macam hal lagi seperti yang saya terangkan awal tadi saya buat pekak sahaja. Hal yang tiada kena-mengena dengan kita usah kita sibukkan. Saya sedar, ke mana sahaja kita pergi masalah tetap ada cuma saya anggap ia hanya seperti kemuncup yang melekat di seluar. Saya terus berjalan dan apabila sampai ke rumah, saya cabutlah diam-diam kemuncup itu. Ewah, berfalsafah!
Trend orang bandar balik buat rumah di kampung saya lihat semakin rancak di kawasan kami ini. Wabak Covid-19 yang melanda sebelum ini sebenarnya banyak mempengaruhi trend tersebut. Sebab itu mutakhir ini timbul istilah ‘healing’ atau ‘chilling’ kerana kita semakin semak dengan kesibukan. Kita mahu lari dari keserabutan dan ingin mencari ketenangan. Ketenangan inilah kunci kebahagiaan. Ramai melihat berhijrah ke kampung satu cara terbaik untuk ‘healing’. Untuk saya, selepas diperturunkan masalah-masalah tadi saya masih memilih bahawa balik tinggal di kampung selepas pencen memang membahagiakan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source