Banggakan Sabah Sebagai Negeri Kelahiran Penyanyi Berbakat Malaysia, Adam Shamil Punya Impian Besar
Ketika penulis berkesempatan menemu bual figura muda yang seorang ini, ada keistimewaan yang dimiliki oleh anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini.
Adam Shamil, pendatang baharu yang bukan sekadar ‘menjual’ wajah di dunia media sosial, walakin jelas menggenggam bakat yang dikurniakan Ilahi buatnya.
Menginjak ke usia 28 tahun, ada matlamat yang ingin dilunaskannya dalam industri seni hiburan tanah air. Bertatih perlahan-lahan, lama kelamaan pasti jernih jua hasilnya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Adam Shamil.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan AYANG KAMELL dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Nama Adam Shamil relatifnya sudah dikenali di negeri kelahirannya. Kini, tiba masanya untuk pengikut di Semenanjung Malaysia pula meminatinya. Berbekalkan kandungan-kandungan segar di media sosial sebagai seorang pempengaruh, nama Adam semakin masyhur.
Bagi Adam, terma ‘remaja’ bukan sekadar merujuk kepada usia semata. Sebaliknya, ‘remaja’ mewakili idea segar, satu perlambangan karakter dan personaliti menarik.
“Sudah semestinya, remaja membawa maksud luas. Dahulu bila sebut tentang ‘remaja’, usia seseorang dijadikan rujukan. ‘Sekiranya melebihi usia 26 tahun, masih remaja kah?’. Bagi saya pula, remaja kini merujuk kepada golongan muda yang berfikiran matang dan mampu mencetuskan idea baharu.
“Saya ambil contoh penyanyi tanah air, Aina Abdul. Walaupun usianya hampir mencecah 30 tahun, Aina dilihat mempunyai lebih ramai peminat dalam kalangan remaja. Bagi saya, asalkan seseorang itu mengetengahkan idea yang segar selain membawa imej untuk menarik perhatian remaja, ‘yes, you are remaja juga’. Remaja bukan sekadar umur, tetapi ia melambangkan karakter, imej dan personaliti,” katanya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Bangga membawakan identiti sebagai seorang anak jati Sabah di Semenanjung Malaysia, Adam menyifatkan rasa puas cukup terasa setiap kali membawa nama baik negeri kelahiran menerusi projek seninya.
“Sebagai seorang rakyat Sabah yang berusia 28 tahun, saya sangat berbangga dapat mengangkat nama negeri sendiri; bukan sahaja sebagai seorang penyanyi ‘baru nak up‘ tetapi juga sebagai seorang pengacara serta pempengaruh yang boleh membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada penonton yang menonton video saya,” ujarnya lagi.
Sedia maklum, jika kita mengunjungi negeri Sabah, antara tarikan utamanya selain panorama indah dan barangan yang ditawarkan di sana adalah kepelbagaian lebih seratus etnik serta bahkan dialek yang membuatkan Sabah unik.
Adam sendiri memiliki darah kacukan tnik Sino-Kadazan mengalir di dalam dirinya. Kendatipun negeri Sabah berbilang etnik, warna kulit dan tempat tinggal, Adam menyifatkan masyarakat di sana hidup secara tenang dan harmoni.
“Di Sabah, dialek kami memang amat unik. Apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kedengarannya berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Orang di Sabah memang bercakap laju (ketawa) tetapi kami masih memahami antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
“Jika di Semenanjung, majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India namun di Sabah, kami mempunyai lebih seratus etnik. Memang banyak! Itulah keunikan hidup secara harmoni di sini,” tuturnya.
Bagi anda yang merasakan suara perbualan Adam seakan biasa didengari, anda sama sekali tidak salah. Baru-baru ini, Adam ‘dilamar’ sebagai hos di majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur.
Bagaikan satu mimpi, dia turut menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian yang besar, membanggakan dan adalah sebuah batu loncatan buat dirinya dalam mengendali majlis-majlis berskala besar.
“Sebenarnya, saya memangnya tidak jangka akan mendapat peluang ini apabila Dr. Amalina sendiri yang approach menerusi Instagram. Saya amat terkejut tetapi peluang untuk mengacarakan majlis resepsi beliau dan pasangan tercinta jujurnya adalah di luar imaginasi saya.
“Ada juga saya bertanya, mengapa beliau memilih saya? Katanya, dia menerima cadangan daripada warganet siapakah pengacara majlis resepsi bersesuaian di Kuala Lumpur. Bagi saya, ia merupakan rezeki yang sama sekali tidak saya jangkakan.
“Istimewanya pada majlis Dr. Amalina, ia dihadiri oleh Pak Nil (Datuk Aznil Hj Nawawi) dan beliau sempat memberi pujian terhadap potensi saya. Ia sememangnya hari yang saya tidak akan lupakan,” katanya yang juga menjadikan Che Puan Sarimah Ibrahim bagi bahasa Inggeris dan Datuk Aznil Hj. Nawawi bagi bahasa Melayu sebagai idola dalam bidang pengacaraan.
“Saya mula menjinakkan diri dalam aliran pengacaraan sejak peringkat sekolah. Saya percaya, pengalaman mengajar kita dan idola yang saya sebutkan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk menambah baik skil sendiri,” katanya.
Bukan sahaja memiliki bakat pengacaraan, personaliti media sosial ini juga boleh menyanyi dengan baik ya!
Adam Shamil pernah meluncurkan beberapa buah lagu yang menerima respon positif daripada pendengar termasuklah Mansau yang tular di media sosial apabila ramai menggunakan lagu tersebut sebagai runut lagu bunyi video mereka; terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial di Sabah. Ini setelah ia mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube.
Terbaharu, Adam Shamil tampil dengan lagu berjudul Bantu.
Berkisarkan tentang penghargaan terhadap seseorang terutama yang bergelar ibu mahupun nenda tercinta, Adam menitipkan perasaan syukur dan terharu apabila dipilih merakamkan lagu Bantu memandangkan ia merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk diarus perdanakan.
“Pastinya saya berbangga apabila peluang menyanyikan lagu ciptaan Omar K hadir. Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan hebat ketika menjayakan lagu ini.
“Omar K, pastinya saya rasa bangga berpeluang itu tidak datang selalu. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan yang hebat dalam menjayakan lagu ini.”
Usia muda hakikatnya hanyalah nombor. Adam Shamil telah membuktikannya apabila berjaya ‘melayarkan bahtera’ dalam bidang seni yang diminati.
“Saya mula menjinakkan diri dalam bidang hiburan menerusi media sosial seawal tahun 2016. Saya juga bermula sebagai seorang YouTuber bagi memperkenal Sabah dan Sarawak menerusi kandungan menarik dan bakat nyanyian.
“Jadi, jika ada yang bertanya bagaimana saya melakukan semua itu pada waktu yang saya, saya merasakan tiada rahsia tertentu melainkan pembahagian masa yang bijak. Ada masanya saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara dan ada masanya saya perlu mengenepikannya sebentar. Cuma, kata kuncinya adalah konsistensi,” simpul Adam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source