Rezeki Baharu Memang Dikejar Tapi Malle Christian Enggan Lupa Asal Usul Sebagai Anak Jati Sabah
Hari-harinya dipenuhi dengan tuntutan kerja yang bersilih ganti tanpa henti. Namun itu tidak menjadi penghalang buat pendatang baharu industri seni, Malle Christian Anderson Barlus untuk terus positif mencari rezeki yang halal.
REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Malle Christian.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks ADRIANA SYAURAH jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Sebaik sahaja pertandingan Dewi Remaja 2022 menutup tirainya, Malle Barlus segera mengatur langkahnya untuk lebih dikenali sebagai seorang anak seni. Menginjak ke usia 25 tahun, dirinya yang sering menghabiskan masa muda dengan menceburi pertandingan ratu cantik suatu ketika dahulu mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebelum bergelar ‘Dewi’.
Selaku rakan kongsi kepada sebuah agensi bakat bernama MNB Studio di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur, Malle mula sedar kepentingan mengasah potensi baru agar industri seni kekal diwarnai dengan individu-individu berbakat serta berkualiti tinggi.
Kini setelah menamatkan pencarian Dewi Remaja 2022, wajah jelita Malle juga tidak lekang menghiasi naskah dan karya tempatan yang bakal menjadi tontonan penonton di layar skrin kelak.
Sewaktu ditemui Remaja baru-baru ini di set penggambaran kempen Saya #RemajaMalaysia, kami berkesempatan mengorek perkembangan terbaru Malle setelah menjadikan Kuala Lumpur sebagai rumah utama.
“Buat masa sekarang, Malle lebih fokuskan kepada tugasan harian selaku pencipta kandungan (content creator) tetapi pada masa yang sama; ada juga berlakon secara sampingan. Sememangnya, saya amat teruja menantikan tayangan drama 1 Million Dollar Voice yang merupakan drama tempatan pertama melibatkan saya sebagai salah seorang wataknya. Saya juga terlibat dalam sebuah telefilem yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Paling penting, Malle sekarang tengah fokus untuk memperluaskan lagi agensi saya di Kuala Lumpur. Maklumlah saya merupakan rakan kongsi kepada MNB Studio,” kongsinya.
Rupa paras sememangnya merupakan salah satu rezeki pemberian Ilahi. Dalam konteks kerjaya, Malle bagaimmanapun memilih untuk enggan dikenali hanya disebabkan rupa paras yang dimilikinya sahaja. Bagi Malle, keperibadian dan usaha keras seseorang adalah sesuatu yang lebih utama.
Disebabkan itulah, Malle selalu akan terus tunduk sebelum mendongak ke langit kerana itulah yang dipelajarinya menerusi pengalaman lampau menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2018, Unduk Ngadau 2021 dan Dewi Remaja 2022.
Melalui pengalaman-pengalaman berharga inilah, banyak ilmu baharu lagi bernilai yang dicedok oleh gadis asal Kudat, Sabah ini termasuklah mengenai kepentingan profesionalisme dan enggan menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Melalui Unduk Ngadau, Malle mendekati adat resam sukunya iaitu Suku Rumus dan Dusun dengan lebih teliti. Malah, dia juga menyeru anak muda untuk pulang ke kampung halaman dan menabur bakti kepada masyarakat setempat.
“Sejujurnya banyak ilmu baharu yang saya pelajari menerusi Unduk Ngadau. Meskipun saya membesar di Sabah, saya akui selama ini saya kurang arif tentang adat warisan suku sendiri. Kini, barulah saya ketahui dengan lebih jelas mengapa kami menyambut Pesta Keamatan dan adat resam suku saya sendiri,” jelasnya.
Sempena sambutan hari kemerdekaan yang kian hampur, kami bertanyakan apakah definisi Saya #RemajaMalaysia kepada diri Malle sendiri.
Sebagai generasi pelapis keamanan Malaysia, baginya setiap individu memikul tanggungjawab masing-masing dalam memastikan negara kita kekal aman, harmoni dan maju.
“Menurut Malle, Saya #RemajaMalaysia bukan sahaja merujuk kepada aspek umur tetapi juga menyentuh kepada aspek lain apa yang mampu disumbangkan oleh generasi muda kita terutamanya generasi Z kepada negara.
“Kita mahukan anak-anak muda yang peka dengan amanah yang diturunkan oleh nenek moyang terdahulu demi memastikan negara kekal aman tanpa sebarang peperangan dan kemunduran,” jelasnya dengan penuh semangat.
“Kenapa saya amat menyintai Malaysia? Jawapannya mudah. Malaysia ialah rumah saya dan tempat kelahiran saya. Usahlah kita menjadi kacang yang melupakan kulitnya dengan melihat kemajuan di negara lain dan terus melupakan apa yang kita sendiri miliki di sini,” luahnya.
Lambakan anak muda yang memilih kerjaya pempengaruh sebagai kerjaya pada zaman digital ini muncul bak cendawan selepas hujan. Manakan tidak, rata-rata kita semua yang bergelar warganet dan mengisi masa senggang di media sosial sentiasa dimomok dengan gaya hidup glamor yang sering ditonjolkan oleh pempengaruh tempatan serta antarabangsa sehingga ia menjerat pemikiran bahawa kerjaya sebagai pempengaruh adalah jalan mudah untuk memperolehi kehidupan mewah.
Sebaliknya, ramai tidak sedar bahawa kejayaan dalam mana-mana bidang kerjaya tidak akan datang bergolak sekiranya seserang sekadar goyang kaki dan ‘menjual persepsi’ kehidupan di media sosial.
Selaku seorang pempengaruh sendiri, Malle merasakan gaya hidup mewah yang kerap dipamerkan golongan pempengaruh muda Malaysia di media sosial bukanlah suatu perkara yang boleh dipercayai seratus peratus.
Anak muda bagi Malle tetap harus cakna bahawa jaminan masa hadapan yang cerah masih terletak kepada sejauh mana mereka benar-benar dahagakan ilmu hingga ke menara gading dan akhirnya, memperoleh segulung ijazah.
“Saya sedar ada sesetengah lepasan SPM yang terus enggan melanjutkan pelajaran dan menghabiskan masa merakam video klip pendek untuk dimuat naik ke media sosial demi dijadikan punca pendapatan. Situasi ini amat merisaukan kerana untuk mengejar pendapatan sebagai pempengaruh tidaklah semudah itu. Mereka tetap perlu mempelajari strategi di sebalik kejayaan sesebuah akaun dan penjenamaan diri serta kandungan mereka.
“Nasihat Malle untuk remaja yang lebih muda daripada Malle adalah utamakan ipelajaran terlebih dahulu. Banggakan ibu ayah di kampung dengan segulung ijazah di tangan. Setelah menamatkan pengajian dan ingin meneruskan cita-cita sebagai pencipta kandungan, model dan selebriti, teruskanlah. Kesemua itu adalah punca rezeki yang bagus namun ia perlu digenggam dengan ilmu terlebih dahulu.
“Untuk menjadi seseorang yang dikenali ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu berani dan jangan takut dengan bayang masing-masing. Jadikan kegagalan mahupun rejection itu sebagai pembakar semangat tidak putus semangat dalam membangunkan nama masing-masing.
“Gagal atau berjaya itu belakang kira. Paling penting, anda cuba terlebih dahulu,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
(function(d, s, id) { var js, fjs = d.getElementsByTagName(s)[0]; if (d.getElementById(id)) return; js = d.createElement(s); js.id = id; js.src=”https://connect.facebook.net/en_GB/sdk.js#xfbml=1&version=v3.2″; fjs.parentNode.insertBefore(js, fjs);}(document, ‘script’, ‘facebook-jssdk’));
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source