Tangkas Berhijab, Aifa Azman Sumbang Mata Kemenangan Untuk Skuad Skuasy Negara Raih Emas Sukan Asia Ke-19
Kita sering terbaca atau terjumpa ayat yang bermula dengan “Hal ini demikian kerana” dalam karangan, rencana, buku dan sebagainya. Bukan itu sahaja, banyak guru juga mengajar murid-murid agar memasukkan penanda wacana “Hal ini demikian kerana…” sebagai pemula ayat huraian untuk menghuraikan ayat yang telah ditulis sebelum itu. Namun demikian, tahukah anda bahawa binaan ini sebenarnya tidak gramatis?
Dalam bahasa Melayu, ayat yang sempurna mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Hanya frasa nama atau frasa lain yang berfungsi sebagai frasa nama dapat berperanan sebagai subjek. Predikat pula hanya boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama. Sekiranya binaan sesuatu ayat itu tidak mempunyai subjek atau predikat yang terbentuk daripada frasa-frasa ini, maka ayat itu dikatakan sebagai ayat tergantung.
Cuba kita meneliti ayat-ayat yang berikut:
Bil. | Subjek | Predikat |
Ayat 1 | Hal ini | agenda utama kita. |
Pola Ayat 1 FN+FN |
Frasa nama | Frasa nama |
Ayat 2 | Hal ini | berkaitan dengan keluarga kita. |
Pola Ayat 2 FN+FK |
Frasa nama | Frasa Kerja (*berkaitan ialah kata kerja tak transitif berpelengkap) |
Ayat 3 | Hal ini | tentang Azhar. |
Pola Ayat 3 FN+FS |
Frasa nama | Frasa sendi nama |
Ayat 4 | Hal ini | sangat mustahak. |
Pola Ayat 4 FN+FA |
Frasa nama | Frasa adjektif |
Semua ayat ini, iaitu Ayat 1 – Ayat 4 merupakan ayat yang gramatis, terdiri daripada subjek dan predikat dan memenuhi empat pola ayat dasar dalam bahasa Melayu.
Cuba kita meneliti ayat yang berikut pula:
Bil. | Subjek | Predikat |
Ayat 5 | Hal ini | demikian kerana murid-murid itu tidak hadir. |
Pola Ayat 5 (Tidak dapat ditentukan polanya) |
Frasa nama | Binaan di atas ini bukan frasa. Ayat yang terhasil tergantung sifatnya. Kata “demikian” dalam binaan ini ialah kata adverba yang tidak dapat berfungsi sebagai frasa. Kata hubung “kerana” juga tidak dapat berfungsi sebagai frasa sebaliknya berperanan sebagai kata hubung dalam klausa keterangan “kerana murid-murid itu tidak hadir”. |
Contoh kesalahan lain yang sering kita temukan adalah seperti:
6. *Hal ini kerana segelintir individu bersikap mementingkan diri.
7. *Ini kerana mata saya sakit.
8. *Ini adalah kerana remaja sangat mudah terpengaruh oleh rakan sebaya.
Ayat 5, 6, 7, dan 8 semuanya tergantung kerana tidak ada frasa yang dapat membentuk predikat. Bukan itu sahaja, penggunaan kata ganti nama tunjuk “ini” sebagai pemula ayat sebenarnya kurang digalakkan kerana pembaca akan tertanya-tanya “ini” sebenarnya merujuk apa. Seterusnya, dalam ayat 8 juga, penggunaan kata pemeri adalah di hadapan kata hubung kerana juga menyalahi hukum tatabahasa. Oleh itu, untuk membetulkannya, kita boleh membuat pembetulan dengan menambah kata kerja atau kata adjektif untuk membentuk frasa dalam predikat seperti yang berikut:
Sumber gambar: pexels.com
5a. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid itu tidak hadir. (FN + FK)
6a. Hal ini semakin serius kerana segelintir individu bersikap mementingkan diri. (FN+FA)
7a. Hal ini terjadi kerana mata saya sakit. (FN + FK)
8a. Situasi ini berlaku kerana remaja sangat mudah terpengaruh oleh rakan sebaya. (FN + FK)
Daripada penjelasan dalam artikel ini, diharapkan para pembaca dapat memantapkan penulisan dengan membina ayat yang gramatis. Ingatlah, jangan tulis “hal ini demikian kerana”, sebaliknya, gunakanlah binaan yang gramatis, iaitu “hal ini dikatakan demikian kerana”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh ALEX LEONG JUN WEI
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source