Permohonan pekerja asing 3 subsektor dibuka 10 Okt
PUTRAJAYA: Permohonan pengambilan pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas dibuka pada 10 Okt ini, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Ia selaras dengan pengumuman kerajaan pada September lepas untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan berkenaan yang sebelum ini dibekukan sejak 2009.
Sivakumar berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September meluluskan untuk membuka sebanyak 7,500 kuota pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor berkenaan dan angka itu meliputi 5,000 pekerja asing sedia ada bagi subsektor itu, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia.
“Antara syaratnya ialah permohonan perlu dibuat oleh majikan yang berdaftar dengan persatuan perdagangan India dan tiada lanjutan permohonan dibenarkan selepas kuota 7,500 pekerja asing itu dipenuhi,” katanya pada sidang media.
Bagi pekerja asing sedia ada, permohonan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh dibuat oleh majikan bermula 10 Oktober.
Menurut Sivakumar, kelulusan penggajian pekerja asing untuk tiga subsektor berkenaan juga tertakluk kepada operasi premis perniagaan sedia ada sahaja dan bukan perniagaan baharu selain perlu mendapatkan kelulusan awal daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
Majikan juga diingatkan untuk mematuhi segala peruntukan undang-undang perburuhan antaranya penyediaan penginapan yang diperakukan oleh JTKSM, bayaran gaji minimum RM1,500 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial, katanya.
Bagi subsektor tukang emas dan pekerja tekstil, sekiranya keluasan lantai premis perniagaan adalah sama atau melebihi 1,000 meter persegi hingga melebihi 5,000 meter persegi, kelayakan pekerja asing yang dibenarkan adalah 15% daripada jumlah tenaga tempatan.
“Sekiranya keluasan lantai adalah sama atau melebihi 200 meter persegi, tetapi sama atau kurang daripada 999 meter persegi, kelayakannya adalah tiga hingga empat orang pekerja asing,” katanya sebagai mengulas kriteria dan kelayakan jumlah pekerja asing yang dibenarkan.
Bagi subsektor tukang gunting rambut pula, beliau berkata pengusaha diwajibkan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf kerajaan dan bagi setiap tiga kerusi gunting rambut dalam premis, dibenarkan untuk mempunyai satu pekerja tempatan dan dua pekerja asing.
“Dengan syarat ini (SKM), lebih ramai akan ambil kursus TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional). Dan bagi mereka yang tidak memiliki SKM dan mungkin sedang menjalankan perniagaan, mereka boleh mendaftar untuk ambil SKM sekurang-kurangnya sebagai menunjukkan komitmen mereka dalam perniagaan,” katanya.
Hebahan mengenai syarat permohonan dan proses penggajian pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor itu akan dipaparkan melalui laman sesawang Kementerian Sumber Manusia, JTKSM serta dimuat naik dalam laman media sosial KSM.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source