Langkah apung harga ayam tawar harga kompetitif kepada pengguna
IPOH: Langkah kerajaan mengapungkan harga ayam di pasaran sejak 1 Nov memberikan manfaat kepada pengguna kerana pengeluar, pemborong dan peruncit ayam akan bersaing sesama sendiri bagi menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan.
Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Zainizam Zakariya berkata, mereka perlu menawarkan harga kompetitif bagi mengelak risiko kehilangan pelanggan kerana pengguna akan beralih kepada penjual yang menawarkan harga lebih rendah dan berpatutan.
“Hampir seminggu selepas penamatan subsidi ayam, harga yang ditawarkan dalam pasaran menjadi kompetitif dan jauh lebih rendah daripada harga bersubsidi,” katanya.
“Harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.51 sekilogram dan di Semenanjung Malaysia RM8.49. Malah harga ayam yang ditawarkan di pasar raya jauh lebih rendah iaitu RM7.49 sekilogram.
“Di Terengganu pula, media melaporkan harga ayam segar turun sehingga 15% atau RM1.40 sekilogram, yang mana kebanyakan peniaga menjual antara RM7.20 dan RM7.99 sekilogram.
Beliau berkata, langkah kerajaan tidak meneruskan subsidi harga ayam secara tidak langsung mampu menjimatkan perbelanjaan hampir RM4 bilion setahun.
Sehingga Februari lepas, kerajaan membelanjakan subsidi keseluruhan untuk ayam berjumlah RM3.8 bilion dengan manfaat tersebut dinikmati oleh penternak.
“Hakikatnya, walaupun dengan harga bersubsidi, harga ayam masih lagi tinggi semasa musim perayaan,” katanya.
“Persoalannya, siapa yang mendapat manfaat berkaitan subsidi harga ayam? Sudah pasti ia bukan dinikmati oleh pengguna.
Katanya, pengapungan harga mengikut mekanisme permintaan dan penawaran itu juga menjadikan industri ternakan ayam bersifat dinamik dan mampu menarik pelaburan serta penggunaan teknologi terkini yang dapat mengurangkan kos pengeluaran.
Beliau juga berkata, terdapat ramai pengeluar ayam di negara ini, jadi pengguna dapat membezakan harga dan kualiti produk bagi setiap pengeluar yang bersaing.
Terdapat juga kebimbangan kemungkinan penurunan harga ayam ketika ini hanya bersifat sementara, sengaja dilakukan oleh penternak bertujuan membunuh penternak kecil lain melalui mekanisme “penentuan harga predatori”, katanya.
“Melalui kaedah ini, penternak berskala besar sanggup menurunkan harga agar penternak-penternak kecil tidak mampu bersaing dalam pasaran terbuka, akhirnya menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan operasi.
“Dengan tiadanya persaingan sihat, penternak berskala besar mungkin akan kembali memonopoli harga ayam dalam jangka masa panjang,” katanya.
“Jadi diharapkan supaya kerajaan dan agensi berkaitan melakukan pemantauan berkala agar tidak berlaku peningkatan yang ketara dalam harga ayam di pasaran.”
Pada 30 Okt lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa 1 Nov, selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa oleh kerajaan.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source