Kebanyakan ibu bapa bila anak pukul, mengamuk, tendang akan fikir perangai ini akan berubah bila umur anak makin meningkat. Hinggakan bila anak pukul, tendang, marah-marah ibu bapa sendiri pun sanggup tahan.
Memang fasa anak tantrum ni berlaku antara umur 2 hingga 4 tahun. Tapi sekiranya kita biar mereka buat tanpa mengajar dan memberitahu lama kelamaan anak pula akan menguasai ibu bapa.
Berikut antara perkongsian yang sangat bermanfaat dari Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi mengenai masalah tingkah laku serius hingga ibu bapa sendiri pun tak boleh nak buat apa.
Saya nak menceritakan tentang kes masalah tingkahlaku yang serius, Aiman (bukan nama sebenar) baru berumur umur 3 tahun 10 bulan tetapi sudah “ringan tangan” untuk menumbuk, menendang mak ayahnya sendiri.
Bukan dengan mak ayahnya sahaja, tetapi dengan orang lain juga. Kalau tak dapat apa yang diingini, habis semua barang yang dipegang akan dicampak ke arah orang lain. Kes ini saya klasifikasikan sebagai kes masalah tingkahlaku yang serius kerana anak ada potensi mencederakan orang lain.
Terharu kerana mak ayah sanggup datang dari Johor untuk berjumpa saya yang berada di Selayang setiap minggu selama sebulan.
“Puan tolonglah saya, saya dah tak tahu nak buat apa dengan anak saya. Semua saya dah buat, marah, pukul dan kurung Aiman tetapi tetap tak “lut” jugak. Tak tahu dah nak buat macam mana lagi”
Saya ingat lagi kata-kata mak Aiman kepada saya semasa sesi penilaian.
Semasa sesi penilaian, Aiman memang langsung tidak mahu bekerjasama. Mengamuk tanpa sebab, mak ayahnya ditumbuk depan mata saya hanya kerana ditegur kerana tidak mengikut arahan saya. Malah saya juga hampir ditendang olehnya. Nasib baik tak kena lepas tengok saya ambil semua mainan yang dipegang dan letak di tempat tinggi sambil buat tak endah.
Kunci utama untuk menghadapi kes masalah tingkahlaku adalah reaksi muka dan “first impression” sangat penting. Sekali kita”tunduk” dengan benda yang salah, ambil masa panjang untuk dipelbetulkan.
Walaupun muka saya tak berapa nak garang dan tak pandai pun nak buat-buat. Tapi alhamdulillah setakat ini jarang terkena gigitan, cubitan atau tumbukan klien kerana apabila bekerja dengan klien yang berpotensi mencederakan diri kita. Tangan dan suara kita perlu lagi laju dari klien. Hormon adrenaline sentiasa bersedia untuk dirembeskan.
Hasil penilaian, Aiman mempunyai isu:
- Masalah sensori yang serius.
Jangan abaikan masalah sensori anak kerana ia dah cukup untuk mencelarukan pemikiran anak.
- Pemakanan.
Aiman tak makan makanan seimbang, hanya makan makanan ringan dan coklat. Pantang jumpa kedai runcit, Aiman akan terus berlari dan ambil coklat atau ais krim. Macam mana Aiman boleh kenyang dan membesar dengan jayanya? 100% bergantung sepenuhnya dengan susu formula, 1 jam : 1 botol susu.
- Masalah tingkahlaku.
Memukul mak ayah dan orang lain serta merosakkan harta benda.
- Lewat perkembangan.
Terlewat perkembangan pengurusan diri, motor halus dan bahasa.
4 masalah utama ini sangat berkait antara satu sama lain. Selepas habis proses penilaian awal, saya sempat bertanya kepada mak ayah soalan paling penting,
“Puan dan Encik takut ke dengan Aiman?”
Ya, mak ayah Aiman dan orang sekeliling Aiman takut dengan Aiman. Takut Aiman mengamuk, takut Aiman pukul, takut Aiman buat perangai dengan orang lain, takut orang tengok dan sebagainya.
Aiman “ditakuti” oleh semua orang menyebabkan dia rasa sangat berkuasa untuk membuat segala keputusan yang dikehendaki.
Jangan pandang rendah dengan kebolehan anak kecil, anak pandai “membaca” dan memanipulasi kita. Mereka lagi bijak menggunakan ketakutan kita untuk dapat apa yang dikehendaki walau apa pun caranya walaupun dengan cara menumbuk.
Kalau kita “takut” dengan anak disebabkan pemikiran kita sendiri dan anak dah mula berkuasa lebih daripada kita bermakna kita secara tak langsung sudah merajakan anak.
“Merajakan” anak daripada segi kasih sayang sangat digalakkan tetapi kalau merajakan anak sehingga kita terpaksa tunduk dengan perlakuan yang salah adalah sangat salah.
Umur 3-4 tahun, kita masih kuat nak dukung anak bila anak memberontak. Tetapi sampai bila? Cuba bayangkan anak masih di tahap perangai yang sama semasa umur 10 tahun, agak-agak boleh tak lagi untuk dibentuk?
Ramai mak ayah ingat yang cara pukul dan tengking adalah cara terbaik untuk mendidik anak. Tetapi pada saya, ia adalah cara yang paling tidak sesuai sebab anak akan belajar memukul dan menjerit semula pada orang lain terutamanya anak yang berumur 7 tahun ke bawah.
Anak yang umurnya bawah 7 tahun, tidak pandai lagi menapis maklumat yang dilihat atau dengar. Kalau kita ajar rotan anak seawal anak umur 3 tahun, tak mustahil anak yang berumur 3 tahun akan belajar merotan adiknya yang berumur 1 tahun.
Selepas sebulan mak ayah Aiman berulang alik Johor-Selayang setiap minggu, alhamdulillah mendapat kesan yang positif. Semuanya hasil mak ayah konsisten di rumah. Nak tahu apa cara yang digunakan?
- Selesaikan/ Kurangkan isu sensori. (Perlukan penilaian kerana semua kes berbeza)
- Kurangkan susu (sebelum ini 1 jam: 1 botol) dan lebihkan makanan ruji yang seimbang. (Dinasihatkan berjumpa Dietitian)
*Pemakanan juga mempengaruhi tingkahlaku anak.
- Galakkan mak ayah untuk beri anak berdikari sendiri. (Buka dan pakai kasut, makan sendiri dll)
Proses anak belajar berdikari sendiri sangat membantu “self-regulation” anak, seperti macam mana anak sabar bila pakai kasut terbalik atau tertumpahkan air. Mohon mak ayah sekalian jangan abaikan bahagian ini.
- Betulkan mindset mak ayah dan lakukan teknik “behaviour modification”.
Ada banyak perkara perlu diambil kira untuk membetulkan tingkahlaku anak. Selepas semua teknik dilakukan, yang paling berkesan pada Aiman adalah teknik IGNORANCE.
Melalui pengalaman saya terhadap kes-kes masalah tingkahlaku terutamanya anak 5 tahun kebawah, kebanyakan mereka ini adalah dikalangan anak manja. Anak buat perangai disebabkan mereka dapat perhatian apabila berkelakuan nakal, lagi-lagi apabila baru dapat adik. Anak terasa perhatian kita padanya dibelah bagi.
Aiman tak “lut’ dengan pukulan atau tengkingan sebab itulah yang Aiman nak, PERHATIAN. Tetapi Aiman sangat “lut” bila mak ayah buat tak endah padanya.
Anak lelaki atau perempuan perlukan masa bermanja dengan mak ayah sebab “quota” bermanja setiap orang berbeza. Dalam kes ini, mak ayah Aiman memang seorang yang sibuk dengan kerja dan masa Aiman banyak terluang dengan televisyen serta bermain seorang diri.
Nampakkan disini, Aiman “terpaksa” berkelakuan nakal untuk dapatkan perhatian mak ayah. Banyak sangat perubahan pada anak bila mak ayah luangkan masa lebih dengan anak serta puji dan peluk anak SEMASA anak berkelakuan baik.
Kesimpulan daripada kes ini, apa yang saya nak kongsi dan tekankan adalah banyakkan berikan perhatian kepada anak terutama semasa mereka berkelakuan baik. Jangan sampai mereka fikirkan cara negatif semata-mata untuk dapatkan perhatian kita. Jika mak ayah dapati perangai anak mula berubah, mohon semak kembali berapa banyak masa berkualiti kita ada dengan anak berbanding masa dengan perkara lain.
Sumber: Maryam Jamadi
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source