Ratusan sertai Miss SHOPhia dalam kembara beli-belah di Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Bolehkah anda menikmati segala keistimewaan dan keunikan George Town dalam hanya sehari? Boleh, kata Miss SHOPhia, ikon beli-belah Tourism Malaysia!
Sempena penganjuran Miss SHOPhia Hunt 5.0, peserta berpeluang merasai pengalaman menyeronokkan di ibu negeri Pulau Pinang yang terkenal dengan kepelbagaian budayanya.
Acara sehari ala “Amazing Race” itu adalah lanjutan kepada pesta pelancongan utama Tourism Malaysia. Ia melibatkan penyertaan lebih 50 pasukan diwakili sekurang-kurangnya tiga orang, bersaing menyelesaikan petunjuk sambil meneroka pelusuk bandar ini untuk menemui 19 hotspot.
Matlamat mereka? Pertama tiba di garis penamat di Gurney Paragon Mall dengan nilai cop pasport tertinggi yang dikumpul selepas menyiapkan tugasan di setiap titik semakan semasa perlumbaan!
Susulan kejayaan penganjurannya di Lembah Klang, acara kali ini yang berlangsung di Pulau Pinang juga tidak kurang hebatnya. Peserta datang dari seluruh Malaysia, malah dari beberapa negara seperti Brunei, Indonesia, Filipina dan India.
Mereka dikehendaki menjawab kuiz dan mengambil swafoto di titik semakan, di samping membeli minuman atau makanan di gerai tertentu.
Kembara ini bermula di The TOP Penang, taman tema yang terkenal dengan tarikan akuarium dan model dinosaur, menepati cita rasa sebahagian peserta terdiri daripada keluarga muda.
Sharifah Aminah, 36, dari Temerloh, Pahang, tidak ketinggalan menyertainya bersama suami dan anak-anak. “Anak-anak memang penat sangat tapi seronok
dapat tahu banyak tempat menarik di Pulau Pinang.”
Seterusnya, pasukan boleh menetapkan sendiri laluan mereka untuk menang, dan kebanyakannya memanfaatkan telefon pintar masing-masing untuk tujuan ini.
Pasukan 21 yang disertai penulis FMT Lifestyle hanya berjaya mengenal pasti 10 daripada semua 19 titik semakan. Bukan mudah menyertai perlumbaan ini dengan berjalan kerana peserta terpaksa menempuh cuaca tidak menentu – hujan dan panas terik.
Namun, berjalan memang cara terbaik untuk mengenali George Town!
Pada peringkat awal, Pasukan 21 menyiapkan tugasan di sekitar Komtar sebelum menghala ke Pasar Chowrasta. Di sana, kami beratur dan bergambar sambil menikmati kelazatan “ais tingkap”.
Ramuan minuman terkenal di Pulau Pinang ini terdiri daripada biji selasih, sirap ros, ros kelapa dan isi kelapa, yang dicampur dengan ais hancur.
Kemudian, Pasukan 21 menuju ke tarikan kebudayaan yang terdapat di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling, juga dikenali sebagai Jalan Harmoni. Terdapat empat pusat keagamaan di sini: Masjid Kapitan Keling, Gereja St George, Kuil Sri Mahamariamman, dan Tokong Goddess of Mercy.
Di sini, peserta kembara Miss SHOPhia perlu mengambil dua gambar di setiap bangunan, dari sudut berbeza. Inilah cara terbaik untuk mengenali komuniti berbeza yang mewujudkan suasana muhibah di Pulau Pinang.
Seterusnya: Balai Bomba Sentral, tarikan unik di pulau ini; diikuti pula dengan menara jam Jubilee yang berdiri megah antara Jalan Light dan Jalan Beach.
Pengalaman melancong di Pulau Pinang tidak akan lengkap tanpa melihat sendiri paparan seni jalanan terdapat di sekitar Lebuh Armenia. Ini termasuk mural “Skippy Comes to Penang” – kucing jingga berbelang yang mati pada 2019, di samping mural “Children on Bicycle”.
Acara ini berakhir enam jam kemudian dengan majlis penyampaian hadiah di Gurney Paragon Mall, disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Semua ini hanya sebahagian daripada tempat-tempat menarik perhatian penulis, namun terdapat lebih banyak tarikan istimewa di tapak Warisan Dunia Unesco ini.
Kesimpulannya, Miss SHOPhia Shopping Hunt 5.0 memberi pengalaman mengujakan dan menyeronokkan, yang wajar dicuba pada tahun akan datang. Tumpuan pada warisan kebudayaan dan pelancongan lestari membolehkan peserta mengenali bandar bersejarah seperti George Town dengan lebih dekat.
Artikel ini ditulis hasil kunjungan mengujakan anjuran Tourism Malaysia.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source