DIY Tisu Basah Untuk Bayi, Jimat Tak Perlu Beli, Nak Buat Pun Senang
Tisu basah bayi merupakan antara ‘aksesori’ wajib ada bagi kebanyakan ibu bapa yang ada bayi dan anak kecil. Kebiasaannya ia menjadi pilihan apabila berada di luar rumah bagi memudahkan urusan menukar lampin dan membersihkan sisa makanan pada mulut dan wajah bayi.
DIY Tisu Basah Untuk Bayi, Jimat Tak Perlu Beli
Tetapi selamatkah penggunaan tisu pada bahagian tubuh seperti muka bayi?
Tisu basah bayi
Tisu bayi adalah tisu lembap yang direka untuk membersihkan kulit bayi dengan berkesan semasa menukar lampin.
Biasanya tisu ini akan menggunakan bahan sensitif untuk mengelakkan kerengsaan pada kulit si manja dan sekurang-kurangnya mengandungi satu bahan pelembap dan menenangkan.
Disebabkan itulah, tisu basah bayi ini sesuai digunakan untuk membersihkan bahagian sulit si kecil terutamanya selepas kencing dan berak.
Bahan dalam tisu basah bayi
Tisu lembap ini biasanya menggabungkan air, minyak, pembersih dan pengawet.
Terdapat juga tisu yang mempunyai formula lebih ringkas, contohnya hanya menggunakan air dan pengawet ringan. Sesetengah tisu basah juga mungkin mempunyai formulasi lebih kompleks yang menggunakan pelbagai jenis minyak, agen pembersih dan pengawet.
Anda akan menggunakan tisu ini beberapa kali sehari, jadi amat penting untuk memberi perhatian terhadap bahan yang digunakan.
Berikut adalah bahan yang paling biasa digunakan dalam tisu bayi:
Air, bahan utama dalam tisu basah bayi
Tidak menghairankan, kebanyakan tisu bayi mengandungi sekurang-kurangnya 95% air – biasanya ditapis, ditulenkan atau disuling.
Minyak dan pelembap
Minyak membantu menanggalkan kotoran pada bahagian sulit si kecil, mengelakkan tisu mudah kering dan memberikan pelembap nipis untuk kulit.
Antara jenis minyak yang sering digunakan adalah minyak zaitun, minyak sayuran, minyak kelapa, minyak kastor atau minyak bijian seperti daripada bunga matahari, tomato atau kranberi.
Bahan pembersih dalam tisu basah bayi
Dalam kebanyakan tisu lembap, bahan ini adalah seperti setitik sabun dan sudah tentu bahan di dalam sabun itu yang harus diperhatikan.
Bahan pengawet
Pengawet digunakan untuk membantu memastikan tisu basah ini sentiasa segar dan menghalang pertumbuhan bakteria atau kulat.
Perhatikan bahan pengawet keras yang harus dielakkan seperti phenoxyethanol, benzyl alcohol, sodium benzoate atau methylchloroisothiazolinone.
Bahan pewangi
Oleh sebab wangian merupakan punca yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit bayi yang sensitif, jadi sebaiknya pilihlah tisu basah yang tidak dicampur bahan ini. Kebanyakan tisu bayi sensitif tidak mengandungi sebarang pewangi.
Penggunaan tisu basah bayi, selamat ke?
Penggunaan tisu basah dianggap perkara biasa dan sering menjadi pilihan untuk membersihkan badan si manja daripada kotoran. Bahkan tisu basah juga sering digunakan untuk membersihkan muka bayi, ini kerana ia dianggap selamat untuk kulit bayi.
Tetapi adakah benar tisu basah selamat dan boleh digunakan pada bahagian muka si manja?
Kebenarannya, penggunaan tisu basah untuk muka bayi adalah tidak selamat sepenuhnya – terutama jika digunakan secara intensif.
Tisu lembap ini biasanya hanya disyorkan untuk membersihkan bahagian kemaluan bayi selepas membuang air besar, apabila berada di luar rumah atau dalam keadaan terdesak lain.
Penggunaan kerap tisu basah baby ini tidak disarankan, lebih-lebih lagi jika digunakan untuk mengelap muka bayi anda.
Ia dianggap tidak selamat jika tisu digunakan mengandungi alkohol dan pewangi – bahan yang cenderung menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi, ruam merah dan kegatalan. Malah, penggunaan untuk jangka masa lama dan konsisten, berisiko menyebabkan kulit pada bahagian muka bayi rosak.
Cara selamat menggunakan tisu basah bayi
Tetapi bagaimana jika berada dalam keadaan terdesak untuk mengelap muka bayi dan hanya mempunyai tisu basah?
Bertenang, ada cara selamat untuk menggunakan tisu lembap ini pada muka si kecil, iaitu dengan menggosok tisu secara minimum. Idea yang disarankan adalah untuk mengelap tisu pada muka bayi sekali sahaja bagi mengelakkan kerengsaan.
Umumnya, bahagian paling selamat untuk menggunakan tisu basah adalah pada bahagian alat sulit si manja, tangan, kaki dan belakang badan mereka.
Sebaiknya, pilihlah tisu yang mengandungi alkohol dan wangian dalam jumlah yang kecil. Atau lebih baik lagi adalah memilih tisu basah yang langsung tidak menggunakan bahan-bahan tersebut bagi mengelakkan reaksi alahan pada kulit bayi.
Kadangkala, agak sukar untuk mendapatkan tisu basah tanpa penggunaan alkohol, jadi anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Ingin tahu bagaimana caranya? Jom!
Nak Buat Pun Senang
CARA MEMBUAT TISU BASAH DI RUMAH:
Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuat tisu basah bayi:
2 cawan air panas – supaya tisu tidak berkulat
1 sudu besar minyak bayi
2 sudu besar sabun mandian bayi
1 gulung tisu dapur
Tempat bersih untuk menyimpan tisu
Cara membuat tisu basah bayi:
Potongkan tisu dapur kepada 2 bahagian menggunakan pisau tajam.
Campurkan air panas bersama sabun mandian dan minyak bayi, kacau sebati.
Masukkan tisu yang dipotong tadi ke dalam bekas simpanan. Kemudian tuangkan campuran cecair ke atas tisu. Pastikan tisu basah secara rata.
Tutup bekas dan biarkan seketika.
Buka bekas mengandungi tisu basah dan keluarkan kertas pada bahagian tengah tisu. Kini tisu basah DIY anda sedia untuk digunakan.
Cara penyimpanan tisu basah bayi DIY
Perlu diingatkan penghasilan tisu lembap DIY adalah tidak menggunakan bahan pengawet. Ini bermakna kemungkinan jangka hayat tisu adalah tidak sama seperti yang dibeli di kedai.
Sebelum menggunakan tisu basah DIY, pastikan anda memeriksa tiada kulat pada tisu.
Manakala untuk kaedah penyimpanan tisu buatan sendiri ini, gunakanlah bekas bersih dan kedap udara.
Penggunaan tisu basah bayi
Jika anda mempunyai masa dan keinginan, adalah berbaloi untuk menghasilkan tisu basah sendiri.
Ia bukan sekadar dapat menjimatkan duit untuk tempoh jangka masa panjang, tetapi bagi ibu bapa yang mempunyai bayi dengan kulit sensitif, membuat tisu basah sendiri membolehkan anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas bahan yang digunakan.
Secara tidak langsung penggunaan tisu basah DIY akan dapat mencegah iritasi pada kulit si kecil yang lembut. Selamat mencuba!
Kredit: Hello Doktor
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source