KEHADIRAN AQIL TAQEE SEBAGAI SEORANG FINALIS YANG MASIH HIJAU DALAM PENCARIAN HERO REMAJA 2021 MELETAKKANNYA SEBAGAI PILIHAN ‘DARK HORSE’. DALAM DIAM, DIA MENELITI LANGKAH PENCABARNYA DAN MENGEJAR DARI BELAKANG. PADA MASA YANG SAMA, DIA INGIN MELARIKAN DIRI DARI BAYANGAN IMEJ YANG DIKATAKAN MIRIP INSAN LAIN.
KONSEP & ARAHAN SENI FZ AIMMAN, MUSTAIZZAH MOKHTAR & AZNIZA AZIZ TEKS RUZIANA ZAINAL EDITOR FZ AIMMAN FOTO REMY OTHMAN PEM. FOTO JAZLAN NANGAR SUNTINGAN FOTO HEZRY LOKMAN SOLEKAN HELMY SHARIP DANDANAN FAIZAL AZHAR KLIP VIDEO SHERFIQA SHARIDAN BUSANA UNIQLO U FW 2021 AKSESORI PANDORA
Diam-diam ubi berisi, begitu jugalah dengan pakej yang ditawarkan Naib Juara pencarian Hero Remaja 2021, Aqil Taqee.
Pemilik nama penuh Aqil Taqeeuddin bin Tuhit ini cukup tertib orangnya. Daripada tutur kata ayat yang tersusun namun masih berintikan ketegasan, kemenangan berganda yang berpihak kepada Aqil pada malam finale Hero Remaja 2021; 6 November lalu diakui ramai bertepatan dengan persembahannya pada malam itu.
Selain dinobatkan sebagai Naib Juara Hero Remaja 2021, jejaka berusia 22 tahun ini turut diangkat sebagai pemenang kategori Hero Inspirasi yang dinilai bersandarkan pembawakan diri, dedikasi, komitmen dan moral yang ditampilkan di hadapan serta di sebalik kamera. Kata orang, tingkah laku seseorang itu adalah kunci kepada sejauh mana si dia mampu bertahan dalam industri seni.
Cool, calm & collected, Aqil hanya menjadi diri sendiri dan ‘menyengat’ pada waktu yang tepat.
Perjalanan Aqil dalam industri seni ini sebenarnya sudahpun bertitik-tolak sebelum menyertai Hero Remaja 2021 apabila dia melibatkan diri sebagai pelakon tambahan. Percubaan pertama menyertai Hero Remaja pada tahun 2020 sedikit tersasar setelah namanya tidak disenarai pendek. Namun itu tidak sesekali merudumkan keazaman dalam dirinya.
Sangkanya apabila melihat saingan para peserta yang hadir di pusingan uji bakat, nasibnya akan berulang seperti pada tahun sebelumnya. Tapi benarlah kata orang, rezeki hadir pada waktu dan tempat yang tepat. Remaja berdarah kacukan Melayu-Cina ini menganggap pemilihannya pada kali ini sebagai peluang untuk membuktikan bahawa sifat pendiamnya tidak harus disalah anggap sebagai kelemahan.
“Saya nekad untuk menyertai industri lakonan biarpun saya mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang sukan dan rekreasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. InsyaAllah, saya ingin kembangkan bakat yang ada dalam bidang lakonan dan pada masa yang sama tidak mengenepikan peluang untuk mengacara.
“Segala pengalaman baharu akan saya ambil sebagai langkah memperkasakan ilmu yang saya perlukan untuk menjadi bintang yang berkualiti,” jelasnya sebagai pembuka kata.
Biarpun satu ketika dahulu dia pernah berjinak-jinak sebagai pelakon pembantu, penglibatan dalam Hero Remaja 2021 sedikit-sebanyak membuka mata dan minda Aqil mengenai kepayahan untuk mendaki tangga populariti. Dari mata kasar penonton, apa yang dikerah daripada finalis mungkin kelihatan remeh. Namun realitinya, populariti tidak akan jatuh bergolek tanpa usaha keras oleh finalis itu sendiri. Kuat asasnya, bertahan lamalah seorang anak seni itu.
“Hero Remaja 2021 membolehkan saya belajar pelbagai perkara agar tidak menerima kejutan budaya di luar kelak.”
“Bakat saya diasah, potensi saya digilap dan segala kesilapan saya diperbetulkan agar saya tidak tersesat arah.”
“Saya pun banyak mengumpul pengalaman untuk menapak sebagai ‘seseorang’ (somebody) dalam industri ini, InsyaAllah,” katanya lagi. Sebagai Naib Juara, Aqil membawa pulang wang tunai bernilai RM8000, trofi dan selempang (mafla).
ARTIKEL BERKAITAN: Transkripsi Sang Juara : Hero Remaja 2021 MIERUL AIMAN – REMAJA
Ingin Lari Dari Bayangan Orang Lain
Sedari awal, pengikut Hero Remaja 2021 telah membandingkan pekej yang dimiliki Aqil dengan pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 2020, Meerqeen. Kononnya mereka berwajah seiras dan punya ketinggian yang hampir sama.
Mengambil perkara tersebut sebagai satu pujian, Aqil bagaimanapun enggan terus dibayangi Meerqeen kerana mereka adalah dua insan berbeza. Tambahan pula sebagai pendatang baharu, dia sedar dia perlu mempunyai identiti sendiri.
“Meerqeen is Merqeen, Aqil is Aqil. Kami pun rasa kami berbeza.”
“Ya, kelebihan apabila saya dibandingkan dengannya adalah nama saya disebut-sebut. Namun, saya tidak mahu terus dikenali kerana faktor wajah yang dikatakan seakan sama. Masing-masing tidak memerlukan klon. Saya mahu dikenali kerana bakat saya, bukannya atas faktor para rupa semata-mata,” ulasnya.
Berkenaan perancangannya selepas ini, Aqil beranggapan kejayaan dalam Hero Remaja 2021 bukanlah tiket untuknya mendabik dada. Sebaliknya, dia sedar dirinya perlu melipat gandakan lagi usaha dan bekerja keras bagi membina portfolio sebagai seorang pelakon.
“Kedudukan sebagai naib juara adalah satu bentuk anugerah. Tetapi semua itu tidak bermakna jika saya sekadar berbangga di situ tanpa menggunakan kemenangan itu sebagai pemangkin semangat.
“Saya sedar saya kurang menonjol dan agak kurang berkeyakinan pada mulanya. Namun setelah terlibat dalam Hero Remaja 2021, saya kini lebih bersedia untuk melangkah masuk ke dalam industri. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membuka jalan untuk saya memperkasakan skil dan keyakinan diri hingga ke tahap ini,” simpulnya.
BACA LAGI : Beri Kejutan Di Pentas Finale, Aqil Taqee Terima Gelaran Hero Inspirasi – REMAJA
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source