Sultan Ibrahim mahu projek HSR dikembalikan semula
PETALING JAYA: Malaysia perlu menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dengan Singapura, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam temu bual dengan The Sunday Times Singapura, Sultan Ibrahim berharap projek tersebut dibuat jajaran semula supaya melintasi Forest City, pembangunan hartanah kontroversi di Selat Johor yang terdiri daripada empat pulau buatan seluas 30km persegi.
Sultan Ibrahim bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan ini bagi menggantikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Beta akan memastikannya (ia dihidupkan kembali),” titah baginda yang menambah bahawa HSR boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta di mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan laluan itu untuk tempoh sewa 30 tahun.
Kerajaan sebelum ini terbuka untuk menghidupkan semula projek bernilai RM100 bilion itu jika dapat mencari pelabur swasta.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah beliau ingin melihat badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melapor terus kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya kepada kerajaan.
Sultan Ibrahim juga mahu menghapuskan amalan tradisi anugerah Hari Wilayah Persekutuan, di mana baginda mahu menilai senarai penerima anugerah kebesaran itu sendiri.
“Beri beta masa. Pada 1 Feb adalah hari kedua beta di pejabat,” titahnya.
“Biarkan beta lihat senarai itu tiga bulan lebih awal dan kenapa orang ini patut dilantik. Apakah kriterianya di sini?”
Menurut The Sunday Times, Sultan Ibrahim mungkin berdepan beberapa halangan perlembagaan dalam perancangan baginda itu. Bagaimanapun, pengaruh raja kini dilihat semakin kuat dan Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak mahu dilihat sebagai “raja boneka”.
Sultan Ibrahim juga mengulas mengenai keputusan baginda memilih Onn Hafiz sebagai menteri besar Johor pada 2022, dan bagaimana baginda tidak suka dipaksa membuat keputusan.
“Mereka membuat kesilapan. Hasni Mohammed dijadikan sebagai “poster boy” dan semua menandatangani deklarasi menyokong beliau (menjadi menteri besar).
“Kamu tolak beta ke dinding? Dalam perlembagaan, satu-satunya individu yang boleh memutuskan tentang menteri besar ialah sultan. Itulah sebab beta mengubahnya dan ia mengejutkan semua orang,” titah Sultan Ibrahim yang menambah sebagai raja, keutamaan baginda adalah rakyat, bukan Ahli Parlimen.
“Ada 222 di Parlimen. Manakala ada 30 juta lagi di luar. Beta tidak bersama kamu (Ahli Parlimen), beta bersama mereka (rakyat).
“Apa yang beta beritahu perdana menteri, saya pastikan seluruh negara juga tahu. Sama ada beliau bekerja rapat dengan beta atau perkara akan menjadi sukar,” titahnya.
Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah Anwar Ibrahim perlu diberi masa untuk membuktikan kemampuannya.
“Beta tak fikir anda boleh mengubah negara dalam satu tahun. Beta fikir ada beberapa menteri yang bagus, seperti Loke Siew Fook (menteri pengangkutan).
“Beta akan menyokong kerajaan, tetapi sekiranya beta fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, beta akan menegur mereka,” titahnya.
Sultan Ibrahim juga menegaskan bahawa baginda akan memerangi rasuah.
“Orang menyumbang jutaan ringgit sebelum pilihan raya. Bagaimana anda membalas mereka balik? Beri mereka projek mega. Ia tidak akan menjadi kenyataan selagi beta ada di sana. Malangnya, siapa minta anda menyumbang?,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim juga mencadangkan pelantikan badan kehakiman mesti diasingkan daripada eksekutif.
“Kami hanya menerima senarai itu (dari pejabat perdana menteri) ketika Mesyuarat Raja-Raja. Kenapa anda tidak mempersembahan nama itu kepada kami (raja-raja) sebelum dilantik? kami bukannya cap getah” titah baginda.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source