Al-Fateh Anak Cucu Jalaluddin Rumi
Semua orang mesti kenal Sultan Mehmed II (1432-1481M) yang digelar al-Fateh kerana membuka kota Konstantinopel. Tahukah anda, salasilah keturunan al-Fateh bersambung dengan Maulana Jalaluddin Rumi!
Siapa anak Rumi?
Rumi ada empat orang anak iaitu Sultan Valad, Alauddin Valad, Alem Chelebi dan Maleke Khâtun. Rumi telah mewariskan rantaian sanad tarekatnya kepada Sultan Valad. Sementara itu, Sultan Valad mempunyai seorang anak perempuan bernama Mutahhara Hatun yang dipanggil Abide kerana kesungguhannya beribadah kepada Allah.
Siapa anak Mutahhara Hatun?
Mutahhara Hatun adalah ibunda kepada seorang gadis yang bernama Devletşah Sultan Hatun. Gadis ini berkahwin dengan Sultan Bayezid I (1360–1403M). Pernikahannya telah menyatukan darah keturunan Rumi dengan kerabat diraja Uthmaniyah. Devlet turut terkenal sebagai perempuan sufi yang menyebarkan tasawuf Rumi. Makamnya terletak di Bursa, Turki.
Siapa anak Devlet Hatun?
Untuk pengetahuan semua, Devlet Hatun melahirkan Mehmed I Celebi (1386-1421M) yang menjadi sultan kepada Turki Uthmaniyah. Setelah itu, baginda berkahwin dan mendapat putera bernama Murad II (1404-1451M) yang kemudian menggantikannya.
Siapa putera mahkota Murad II?
Seterusnya, Sultan Murad II dikurniakan cahaya mata bernama Mehmed II yang bakal melunaskan sebuah janji Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.” (H.R Ahmad Hadith no 18957).
Pada tahun 1453M, Sultan Mehmed II al-Fateh berjaya membuka kota Konstantinopel dari tangan Empayar Rom Byzantine. Sebenarnya, al-Fateh turut mengamalkan tarekat tasawuf dengan mengikuti seorang guru mursyid bernama Syeikh Shamsuddin al-Waliy dari Tarekat Naqsyabandi.
Ringkas cerita, Jalaluddin RumiSultan Valad Mutahhara Hatun Devlet Hatun Mehmed I Celebi Murad II Mehmed II al-Fateh
Hubungan darah sultan-sultan Khilafah Turki Uthmaniyah dengan Rumi memang tidak boleh dinafikan. Bukan itu sahaja, tradisi Rumi turut berperanan mentarbiyah penguasa Uthmaniyah menerusi Tarekat Maulawiyah.
Sultan Murad II (1404–1451 Masihi) berguru dengan Syeikh Emir Adil Celebi. Bakatnya dalam muzik disuburkan dengan karya qasidah kerohanian.
Sultan Ahmed II (1643–1695 Masihi), Sultan Mustafa II (1664–1703 Masihi) dan Sultan Ahmed III (1673–1736 Masihi) berguru dengan Receb Enis Dede.
Sultan Selim III (1761–1808 Masihi) berguru dengan Syeikh Mehmed Emin Celebi. Sultan Abdul Aziz (1830–1876 Masihi) berguru dengan Syeikh Sadrettim Celebi.
Oleh: Zaki Sapuan al-Hafiz
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source