Malaysia sebagai negara selamat, ini lima fokus utama MINDEF bagi tahun 2024
Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberikan fokus kepada lima perkara utama yang akan menjadi tunjang bagi tahun ini dalam mencapai visi menjadikan Malaysia negara selamat, berdaulat dan makmur.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fokus yang pertama ialah memastikan sistem pertahanan negara bukan sahaja sentiasa dalam keadaan bersedia, tetapi dihormati kawan dan lawan.
“Tiga strategi utama bagi mencapai fokus ini ialah meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan, pengukuhan keupayaan dari segi ilmu, kepakaran serta kearifan bidang kritikal dan membangungkan ekosistem pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2024 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, MINDEF juga akan memfokuskan kepada pembangunan dan pengemaskinian perancangan pertahanan yang lebih terkini.
“Kertas Putih Pertahanan secara asasnya telah menggariskan dengan jelas dan baik, beberapa strategi, hala tuju dan prinsip pertahanan negara kita.
“Lebih mustahak, meneruskan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dan dasar-dasar sedia ada akan secara tidak langsung menggambarkan beberapa perkara penting,” ujarnya.
MINDEF turut memfokuskan kepada kebajikan dan pembangunan kapasiti yang akan memberi tumpuan kepada perihal kebajikan dan kemaslahatan anggota dan bekas perajurit.
Dalam pada itu, aspek kemaslahatan dan kebajikan ini mesti dikembangkan untuk turut memfokuskan kepada pembangunan kapasiti dan mengiktiraf kepintaran.
“Sasaran saya, semua anggota yang menamatkan perkhidmatan dalam sektor pertahanan negara akan menjadi sekurang-kurangnya pemegang sijil atau diploma atau kelulusan lain dari institusi pendidikan tinggi atau institut latihan awam,” katanya.
Manakala, bagi fokus keempat MINDEF pada tahun ini ialah patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara.
“Saya ingin menyarankan agar pemugaran semangat cinta tanahair mesti dijadikan salah satu agenda besar kementerian pertahanan,” ujarnya.
Fokus kelima MINDEF pada tahun ini ialah Malaysia dan keamanan sejagat yang mana ia akan meletakkan Malaysia sebagai negara yang komited dan tegas dalam mempertahankan undang-undang, nilai kemanusian dan keamanan sejagat.
“Diplomasi pertahanan dan penyertaan kita dalam pelbagai forum serta misi pengaman serantau dan antarabangsa sangat kritikal dalam membina pengalaman serta menyatakan pendirian Malaysia,” ujarnya lagi.
Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MINDEF dan Institut Integriti Malaysia.
MoU itu bertujuan membantu dan menyokong satu sana lain dalam program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah.
Pada masa sama, ia juga menyaksikan pelancaran imej korporat baharu bagi kementerian yang mencerminkan MINDEF ke arah pemodenan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman; pengurusan tertinggi kementerian, panglima-panglima perkhidmatan, pegawai-pegawai kanan awam dan Angkatan Tentera Malaysia.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source