Bila anak-anak sembelit, ibulah yang paling susah hati. Apa yang lebih membimbangkan walaupun diberi susu ibu namun masalah sembelit masih lagi dihadapi. Kadang sampai menangis tiap kali nak membuang air besar.
Seperti yang kita semua tahu susu ibu adalah makanan yang sangat mudah untuk melalui saluran pencernaan bayi. Malahan ada yang menganggapnya sebagai bahan julap semula jadi.
Oleh itu, bayi menyusu badan lebih mudah dan kerap melakukan pembuangan najis berbanding bayi yang diberikan susu formula.
Ia biasanya berlanjutan dalam tempoh beberapa hari pertama selepas kelahiran.
Walau bagaimanapun selepas 3 hingga 6 minggu, bayi menyusu badan mungkin akan kurang mengalami pengerakan usus, antara 1 hingga 2 kali seminggu, berbanding bayi yang menyusu susu formula.
Sekiranya bayi menyusu badan dilihat kurang membuang najis, itu tidak semestinya petanda dia mengalami sembelit.
Tetapi jika najis yang sedikit keras dan si manja tampak berdepan kesukaran ketika membuang najis, mungkin terdapat punca bayi sembelit perlu anda siasat.
Adakah cara untuk mengatasi bayi sembelit jika ibu dapat mengenal pasti punca si manja mengalami kesukaran membuang najis?
Kenal pasti punca bayi sembelit
Selalunya, bayi yang diberikan penyusuan eksklusif sangat jarang mengalami sembelit.
Namun, terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi penyebab sembelit dalam kalangan bayi:
- Kekurangan serat dalam makanan
Masalah sembelit yang biasanya berlaku kepada bayi menyusu adalah apabila si manja mula diberikan makanan pejal seperti bijirin, lobak merah, gandum atau kekacang tanpa kandungan serat.
Keadaan tersebut mungkin akan menyebabkan najis menjadi sukar untuk melalui usus.
- Dehidrasi
Antara masalah kesihatan yang boleh dialami bayi adalah seperti selesema, batuk, jangkitan tekak atau masalah gigi.
Jika ia berlaku, kandungan air dalam badan si manja akan berkurang dan mengakibatkan dehidrasi. Sekali gus boleh menjadi punca bayi sembelit.
- Penyusuan susu formula
Walaupun menyusu badan, ada sesetengah ibu yang turut memberikan susu formula kepada bayi mereka. Keadaan tersebut boleh mendorong kepada masalah sembelit.
Umumnya, susu formula lebih sukar dicerna oleh bayi berbanding susu ibu, oleh sebab itu najis mungkin menjadi lebih keras dan berketul.
Untuk bayi yang mempunyai masalah alahan protein susu juga akan mengalami sembelit apabila diberikan susu formula.
- Keadaan cuaca
Perubahan cuaca yang panas dan lembap boleh menyebabkan bayi berpeluh dengan banyak dan mendorong kepada dehidrasi.
Kandungan air dalam badan bayi yang kurang boleh mengakibatkan sembelit.
- Tabiat dan diet pemakanan ibu
Pergerakan usus bayi adakalanya turut bergantung kepada tabiat pemakanan ibunya. Ini bermakna apa yang dimakan ibu menentukan tahap kesihatan bayi.
Kalau diet ibu kekurangan serat dan mengandungi zat besi berlebihan, ia boleh menjadi punca bayi sembelit.
Oleh itu, sangat mustahak untuk ibu menyusu badan menjaga pemakanan dan lebih mengambil makanan yang rendah kandungan zat besi.
- Keadaan kesihatan
Kadang-kadang, masalah melibatkan perubatan seperti kelainan pada saluran pencernaan, bukaan rektum yang kecil boleh menyukarkan bayi membuang najis.
Walaupun ia jarang untuk berlaku, namun sudah tentu ia boleh menyebabkan sembelit.
Secara amnya, cara untuk mengatasi bayi sembelit melibatkan kesihatan ini memerlukan campur tangan perubatan. Anda perlu membawa bayi berjumpa pakar pediatrik.
Langkah mengatasi bayi sembelit
Kalau sudah tahu punca bayi sembelit, mestilah anda mahukan cara untuk mengatasi keadaan tersebut, bukan?
Untuk bayi:
- Dehidrasi boleh jadi punca sembelit yang serius pada bayi. Oleh itu, pastikan si manja mendapat cecair yang mencukupi menerusi susu ibu atau air
- Jika bayi anda sudah mula mengambil makanan pejal, pastikan anda memberikannya makanan berserat, seperti buah-buahan atau sayuran
- Untuk mengatasi bayi sembelit, anda boleh membantu dengan melakukan senaman bagi merangsang pergerakan usus bayi. Cuba baringkan bayi dalam keadaan terlentang dan gerakkan kakinya seperti mengayuh basikal
- Melakukan urutan lembut pada perut bayi boleh mengurangkan dan meredakan masalah sembelit
- Jika doktor membenarkan, selitkan jus prun ke dalam diet pemakanan bayi anda untuk melembutkan najisnya
Untuk ibu:
- Jika bayi anda mempunyai intoleransi protein susu lembu, elakkan pengambilan makanan seperti krim, yogurt, mentega atau keju dalam diet anda. Pastikan anda menyemak senarai ramuan sebelum membeli sebarang makanan
- Anda gemarkan minuman berkafein seperti kopi, teh atau minuman berkarbonat? Mungkin tiba masanya anda hadkan pengambilannya
- Elakkan sebarang makanan yang boleh menyebabkan kembung atau gas
- Masukkan lebih banyak makanan kaya serat seperti buah dan sayuran, kekacang serta bijirin dalam diet anda. Pastikan anda mengambil air dengan mencukupi, okay?
- 4 P – Prun, pic, plum dan pir, perlu dijadikan rutin dalam diet pemakanan harian anda
Jangan pandang remeh
Sembelit boleh menjadi keadaan serius dan menyakitkan. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.
Namun, anda perlu faham, pergerakan usus tidak teratur pada bayi bukan punca bayi sembelit.
Jika si manja benar-benar mengalami kesukaran untuk membuang najis, dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor segera.
Sumber: Hello Doktor
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source