Segerakan penempatan semula pelarian, Malaysia gesa UNHCR
PETALING JAYA: Malaysia menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menyegerakan penempatan semula pelarian dan pencari suaka yang menetap di negara ini.
Bercakap pada sesi Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Keempat di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai rekod hak asasi manusia Malaysia, seorang pegawai Wisma Putra berkata, seramai 185,666 pelarian dan pencari suaka berdaftar kini berada di Malaysia.
“Kami difahamkan ini jumlah (pelarian dan pencari suaka) tertinggi di Asia Tenggara,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bala Chandran Tharman di Geneva, Switzerland malam ini.
“Walaupun terdapat banyak kekangan, termasuk sumber dan kapasiti terhad, serta tekanan pada prasarana sosial seperti perkhidmatan kesihatan, Malaysia terus berusaha menguruskan kemasukan pelarian dan pencari suaka.
“Dan kami terus menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan, akses kepada pendidikan, dan peluang pekerjaan,” katanya.
Bala berkata, kemasukan berterusan pelarian ke Malaysia menimbulkan cabaran tambahan kepada kerajaan, termasuk RM5 juta bil perubatan tidak selesai dan tekanan terhadap perkhidmatan sosial.
Beliau menggesa ahli majlis serta UNHCR dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) supaya mempercepat penempatan semula pelarian dan pencari suaka.
“Penempatan semula mesti kekal diutamakan dan usaha ini akan menjadi asas kerjasama antara Malaysia dan komuniti hak asasi manusia, atas prinsip perkongsian beban dan tanggungjawab.
“Tidak lama lagi kami akan mendekati negara anggota, UNHCR dan IOM dengan cadangan dan permintaan khusus untuk penempatan semula pelarian ke negara ketiga,” katanya.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, yang melindungi hak pencari suaka. Pelarian dan pencari suaka dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen, atau pendatang “haram”, di negara ini, bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Pada November, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa agar rangka kerja yang komprehensif dan teguh dibangunkan untuk menangani situasi pelarian di Malaysia.
Suhakam berkata, menangani isu kemanusiaan dan memastikan kesejahteraan pelarian di bumi Malaysia menjadi tanggungjawab kolektif, tanpa mengira kedudukan negara dalam Konvensyen Pelarian.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source