Ryan Bakery bukan nama asing dalam kancah media sosial. Walaupun kehidupan sebagai influencer nampak cun dan glamor, Ryan baru-baru ini buka mulut tentang realiti sebenar—yang ada pahit manisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ini Isteri Saya, Kenalkan.. Elyia” Tulang Belakang Ryan Bakery Dari Susah Hingga Bergelar Pemenang
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Hikmah di sebalik diberhentikan kerja dalam industri penerbangan akibat Covid-19 kira-kira dua tahun lalu membuka lembaran hidup baharu buat pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bakery atau lebih dikenali sebagai Ryan Bakery.
Siapa sangka dari seorang pemuda biasa kini dia merupakan salah seorang personaliti media sosial berjaya dan sebaris selebriti popular tanah air. Percaturan Ryan mengetengahkan video nostalgia santai dan menghiburkan sebagai kandungan di platform media sosial miliknya meraih perhatian meluas.
Populariti anak jati kelahiran Perak ini naik mendadak sekaligus menambat hati sebilangan besar warga maya tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun remaja. Sehingga kini pengikut Ryan di Instagram dan TikTok mencecah jutaan orang!
Enggan mendabik diri dengan kesenangan tersebut, anak sulung daripada empat beradik ini bagaimana pun sentiasa berpijak di bumi nyata.
Mengimbas kembali perjalanannya bergelar pempengaruh media sosial, dalam nada syukur Ryan yang sinonim dengan panggilan ‘Budak Bedak’ membuka bicara.
“Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Ayah saya bekas Tentera Laut dan mak pula suri rumah. Mak saya berniaga makanan seperti kuih, laksa dan nasi ayam. Saya dulu banyak main, kerja pun lompat sana-sini.
Satu hari ayah tanya sampai bila nak kerja macam tu dan bila nak ada kerja tetap. Memang kata-kata ayah tu menusuk dalam hati. Terus saya pergi sambung belajar dan rezeki dapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seronok mak ayah bila saya kerja di airport. Tapi bila diberhentikan kerja sebab pandemik Covid-19, hati siapa tak hancur. Saya kemudian balik ke kampung di Perak. Dalam hati menangis, rasa macam seorang anak yang gagal.
Di kampung, saya berniaga seorang diri. Waktu tu tengah trend ikan laga, jadi saya cuba biak dan bisnes tu menjadi. Dalam masa sama, saya juga jual kuih.
Memandangkan banyak masa terluang saya fikir macam mana lagi nak jana income. Kalau dapat buat video, boleh buat paid review dan tambah duit. Zaman video pendek di laman sosial Vine dulu saya minat Luqman Podolski dan Adib Alex. Jadi di situlah saya mula buat content,” ujar bekas penuntut International College of Yayasan Melaka (ICYM) ini.
Dedah Ryan, kekuatan kandungan video yang dipaparkan menjurus kepada elemen nostalgia.
“Saya dah buat banyak content sebenarnya. Tapi content nostalgia lebih dapat sambutan tinggi. Kadang-kadang tengah borak dengan mak pun boleh jadi sebab berkait rapat dengan kisah masyarakat. Walau nampak simple dan ada yang kata ‘lame joke’, saya ambil tugas content creator ini secara serius.
Seronok bila baca komen positif dari mereka yang tersentuh hati lepas tengok content yang saya hasilkan. Benda itu ‘mahal’. Saya cuba paparkan momen di samping orang-orang tersayang, keluarga, pengalaman hidup dan ragam masyarakat,” luahnya sambil meluahkan rasa syukur menerima banyak tawaran lakonan, jurucakap produk dan jadi peserta program realiti TV sejak namanya terkenal.
Berbekalkan restu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga dan isteri tersayang, Ryan melangkah laju mengharungi cabaran bergelar public figure.
Malah dia enggan menjadikan kecaman dan kritikan segelintir pihak yang tidak sehaluan dengan karya kreatifnya sebagai halangan untuk terus memajukan diri.
Akui Ryan, dia pernah terlintas mahu undur diri daripada industri dek kerana tohmahan yang dilemparkan khalayak namun figura berusia 28 tahun ini kental menempuh dugaan.
“Kita ada keluarga nak beri makan, ada isteri nak dijaga. Itu yang menguatkan semangat saya. Bukan semua orang suka kita tapi kalau kita tak dapat nak hadap benda tu bermakna kita tak cukup kuat. Alhamdulillah setakat ini segala kecaman saya masih boleh tepis lagi. Tapi kadang-kadang sedih juga.”
Tidak pernah mendedahkan realiti kesukaran yang dialami sepanjang bergelar pempengaruh media sosial sebelum ini, Ryan berkata jiwanya rapuh saat pertama kali berdepan kata-kata negatif netizen.
“Nak dapat jiwa kental tu, saya pernah patah hidung, pengsan, stres, diserang anxiety dan selalu bersendiri. Jadi content creator di media sosial ni bukan mudah sebab kita akan hadap banyak benda. Paling utama sekali, persekitaran yang ‘toksik’.
Kita kena bijak singkirkan komen yang negatif daripada mempengaruhi diri dan kehidupan seharian supaya tak terus hanyut dan jatuh.
Saya juga pernah keluar masuk hospital. Waktu tu belum kahwin lagi dan isteri tahu betapa saya struggle lalui semua ini. Bila masuk hospital, isteri saya sanggup turun dari Sepang ke Temerloh, Pahang untuk pastikan saya sihat. Orang tak tahu macam mana kita berusaha cari rezeki untuk keluarga.
Selagi kita boleh buat, kita sajikan content yang positif dan elak daripada sentuh sensitiviti masyarakat,” telus Ryan yang merancang menceburi bidang perniagaan pakaian andai satu hari nanti tidak lagi berkecimpung dalam industri ini.
Mengulas pencapaian terbesar yang diraih sejak menjadi individu berpengaruh di alam maya, Ryan bersyukur dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang tidak pernah terlintas pun di fikiran selama ini.
Selain berpeluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, Ryan juga berjaya merangkul pengiktirafan TikTok Awards Malaysia 2023 bagi kategori Popular Creator of The Year pada Ogos lalu.
Lebih manis, impian Ryan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan turut dimakbulkan Allah SWT. Tanggal 1 Oktober 2022 dia sah menjadi suami kepada Elyia Ibrahim selepas lima tahun mengenali hati budi.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source