Pelakon dan pengacara, Myra Natasya mengaku anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.
Pengakuan itu dibuat oleh Myra atau nama penuhnya Myra Natasya Abdullah menerusi sebuah hantaran di Instagram Story, semalam.
Myra Natasya mengaku anak luar nikah
Pengacara berusia 29 tahun itu berkata, dia mengakui sebelum ini berbohong kepada wartawan ketika memaklumkan ibunya dan Halim Othman berkahwin di Thailand.
Hakikatnya, mereka tidak pernah berkahwin dan status dirinya adalah anak tidak sah taraf.
“Status saya adalah tidak diiktiraf. Jadi, saya tidak boleh diwalikan oleh Halim Othman jika saya berkahwin nanti kerana status saya.
“Bagi saya benda sudah terjadi, cukuplah. Selepas pendedahan berkenaan saya berbintikan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cari Halim untuk dapatkan butir lanjut.
“Ketika itu dia kata yang dia tak nak buat apa-apa. Menurutnya benda yang dah lepas biarlah dan kita ‘move on’ ke hadapan. Jangan diheret kisah-kisah lama,” katanya.
Myra dakwa Halim Othman tukar nama pada sijil lahir
Bagaimanapun, tiga hari lalu Myra mendapat tahu Halim Othman sudah mengubah identiti asalnya dengan membuat sijil kelahiran baru.
“Ini kerana sijil kelahiran asal tiada butiran bapa langsung. Sebenarnya tiga tahun lalu, dia ubah identiti asal saya dengan membuat sijil kelahiran baharu.
“Bolehkah begitu? Apa hak dia untuk buat perkara ini sebab selama ini sebelum saya keluarkan kenyataan di media, dia tak pernah jadi seorang bapa dan tak pernah jalankan tanggungjawabnya.
“Bagi saya okeylah, tak apa benda dah jadi. Tapi kenapa dia nak tukar sijil kelahiran kerana dia tiada hak buat begitu. Saya tak tahu pun dia curi-curi buat begitu,” katanya.
Artikel lain: 27 tahun simpan rahsia, Halim Othman akan bawa Myra balik beraya di Terengganu
Halim minta Myra syukur
Myra berkata, dia ada bertanya kepada Halim mengenai alasan dia bertindak demikian.
Namun, jawapan yang diberikan oleh penyampai radio berusia 59 tahun membuatkan dia tersentak dan terkejut.
“Dia jawab saya perlu bersyukur sebab ada benih dia dalam diri saya. Jika tidak, saya tak wujud di dunia ini.
“Selama ini dalam kenyataan saya, saya selalu pertahankan dia. Saya cerita benda yang cantik-cantik sahaja. Tapi dia yang sepatutnya pertahankan saya, pilih buat benda ini. Bila ditanya kenapa, terus melenting,”katanya.
Dedah tak pernah berkahwin dengan ibu?
Tambah Myra, Halim ternyata memberikan kenyataan palsu dan tidak sepatutnya meletakkan butiran ini kerana tidak berkahwin dengan ibunya.
“Apa motif dia nak ubah? Sebelum ini dia buat apa seperti tinggalkan saya dan mak, saya boleh sabar tapi kali ini dah lebih.
“Yang paling menyakitkan hati, masa saya kecil, memang dia tak wujud. Bila dia dapat tahu mak saya mengandungkan saya, dia suruh mak gugurkan kandungan.
“Tapi mak nekad lahirkan saya dan lari daripada dia. Mak jumpa dengan seorang lelaki Cina dan dialah yang jaga saya dari kecil sampai besar. Semuanya dari saya masuk universiti dan barang keperluan, dia yang jaga sampai sekarang,”kongsi Myra.
Dedahnya lagi, Halim Othman juga tidak mahu melayan dirinya dengan bertindak menyekat platform Instagram.
Dan kini, namanya masih berbinti Abdullah dan tidak boleh diubah seperti dalam sijil kelahiran.
“Begitukah sifat seorang ayah? Sekarang, nama saya binti Abdullah masih kekal dan tak boleh diubah seperti dalam sijil kelahiran.
“Tapi dalam sijil kelahiran baharu ditulis butiran bapa. Sebelum ini yang asal semua butiran bapa dikosongkan dan ditulis tidak berkaitan. Sekarang dia bawa perkara ini ke JPN dan letak namanya,” kata Myra.
Myra turut mempersoalkan dan tidak tahu menggambarkan bagaimana perasaan lelaki itu sekarang sedangkan dialah yang mendaftarkan kelahirannya 29 tahun lalu.
“Bayangkan perasaan dia apabila dalam sijil kelahiran baharu, Halim Othman meletakkan nama lelaki Cina ini sebagai pemberi maklumat.
“Sedangkan ia dibuat tanpa pengetahuan lelaki itu. Dia gunakan nama lelaki itu sebagai saksi untuk dia ubah sijil kelahiran.
“Pada saya, dia takut sekiranya media tahu dan keluarganya tahu sebab mereka tak tahu perkara sebenar. Mereka dan masyarakat ingat dia dah berkahwin.
Sebelum ini, Myra Natasya memaklumkan ibunya, Yusnita Omar, 49 dan Halim berkahwin di Thailand pada 1994, namun bercerai di sana pada 1998.
Katanya, dia yang dilahirkan pada 1995 sukar untuk berbintikan nama Halim kerana perkahwinan itu tidak didaftarkan di negara ini.
Sumber: Instagram Myra Natasya, Harian Metro
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source