Rupa paras bukan ukuran kebahagiaan, lelaki kahwini kekasih selepas dua tahun bercinta
Seorang lelaki akui rupa paras bukan ukuran kebahagiaan dalam hidup berumah tangga terutama sekali melibatkan saiz seseorang.
Dia dikenali Muhammad Shahril Rizal Hanafiah berkata, dia memang tidak meletakkan paras rupa sebagai kriteria utama ketika mencari pasangan.
Rupa paras bukan ukuran kebahagiaan
Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Shahril Rizal berkata detik perkenalan mereka bermula di aplikasi WeChat kira-kira enam tahun lalu dan pada ketika itu masih belum melihat wajah isteri, Siti Nurnatasha Husna Imtiyaz Ahmad, 25.
Tidak lama kemudian, mereka memutuskan untuk berjumpa dan segalanya berjalan dengan lancar.
Malah, enam bulan berikutnya mereka bercinta sebelum sepakat mendirikan rumah tangga.
“Waktu itu terkenal dengan aplikasi WeChat jadi saya pun cuba nasib mencari kawan perempuan.
“Memang saya yang nak kenal dan tegur dulu isteri…. awalnya tak nampak pun wajah isteri kerana dia tak letak gambar di aplikasi berkenaan.
“Tapi beberapa hari selepas itu, kami berjumpa dan pertemuan itu berjalan lancar malah kami pun selesa dengan satu sama lain jadi tak ada masalah.
“Enam bulan kemudian baru bercinta sebelum sepakat mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2020” kongsinya.
Katanya yang bekerja sebagai pemandu traktor, semua orang tanpa mengira saiz layak untuk mencintai dan dicintai.
Keperibadian isteri tambat hati diri, keluarga
Tambahnya, keperibadian isteri telah membuatkan dirinya tertarik dan yakin pilihan yang dibuat adalah tepat.
Bukan itu sahaja, perkahwinannya dan isteri mendapat restu kedua-dua belah keluarga serta mereka kini juga mempunyai seorang anak perempuan, Nur Ellysha yang berusia tiga tahun.
“Dia (isteri) ramah, pandai ambil hati keluarga dan hormat orang tua, jadi atas sebab itu saya pilih dia sebagai isteri.
“Keluarga terima saja cuma ada segelintir rakan mempersoalkan dengan bertanya soalan berbaur sindiran seolah saya buat pilihan salah kerana bentuk fizikal isteri.
“Hakikatnya, saya yang akan menjalani perkahwinan dan hadap susah senang rumah tangga, bukan mereka jadi abaikan saja kata-kata negatif itu,” katanya.
Artikel lain: Aliff Aziz mengaku curang, akui jiwa kosong punca ‘makan luar’
Tak sangka tular, video TikTok hanya kenangan
Disoal mengenai video tular perkongsianya di TikTok, Muhammad Shahril Rizal berkata dia sekadar berkongsi gambar dan video untuk disimpan sebagai kenangan sahaja.
Namun, tidak menyangka menerima komen positif serta ramai mendoakan kebahagiaan keluarganya.
“Alhamdulillah, saya banyak terima komen positif malah ramai yang mendoakan kebahagiaan kami.
“Tapi ada juga komen negatif dengan menulis ayat sindiran seperti kereta lebih muatan yang jelas membawa maksud ‘body shaming’ (penghinaan bentuk fizikal).
“Apapun, saya terima dan berharap perkahwinan dengan isteri dirahmati serta berkekalan sampai syurga.
“Semoga yang mendoakan kami diberi kebahagiaan dan walau apa pun ujian dalam rumah tangga, hargailah pasangan kita,” katanya.
Tak percaya suami ajak tunang, kahwin
Sementara itu, Siti Nurnatasha Husna mengakui tidak percaya ketika suaminya mengajak untuk bertunang dan berkahwin selepas dua tahun bercinta.
“Macam tak percaya kerana waktu bercinta kami bukan beria-ria pun jadi bila suami beritahu nak hantar rombongan keluarga masuk meminang memang terkejut.
“Lagipun, saya pernah terfikir tak akan berkahwin kerana sedar diri tapi Allah SWT takdirkan jodoh saya dengan suami,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam), TikTok @aril96__
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source