Melalui akaun Facebook Ustaz Azhar Idrus, beliau menjawab persoalan tentang harta si mati yang diguna sebelum difaraidkan. Adakah ia boleh dilakukan dan siapa yang berhak untuk menggunakannya?
GUNA HARTA SIMATI SEBELUM FARAID
SOALAN :
Adakah harus salah seorang dari keluarga simati mengambil wang yang dtinggalkan olih simati untuk dibelanjakannya?
Saya bertanya soalan ini kerana telah terjadi perbalahan pasal perkara ini dikalangan ahli keluarga dan jiran-jiran selepas kematian bapa saudara.
Sebahagian mereka berkata haram diambil wang simati selagi belum difaraidhkan dan sebahagian lagi mengatakan keluarga simati boleh sahaja ambil wang simati tidak menjadi kesalahan kerana mereka keluarganya.
Mohon pencerahan dari ustaz.
Artikel Berkaitan: [Jika Si Mati Ada Anak Lelaki, Adik Beradik Si Mati Tiada Hak Atas Harta Faraid]
JAWAPAN :
Apabila mati seseorang dan ada meninggalkan harta maka tertahanlah harta itu dari dibelanjakan oleh segala warisnya yang berhak dan haram diambil milik melainkan untuk perkara berkaitan pengurusan jenazahnya dan membayar segala hutangnya dengan Allah dan hutangnya sesama manusia dan menjelaskan wasiatnya.
Setelah itu barulah dibahagikan secara faraidh kepada segala waris. Apabila segala waris mendapat bahagian masing-masing maka haruslah mereka membelanjakannya sesuka hati.
Telah menyebut oleh Imam Nawawi :
يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورقة
Artinya : “Mula-mula boleh dibelanjakan harta simati ialah untuk keperluan pengurusan jenazahnya kemudian digunakan untuk membayar segala hutangnya kemudian menyelesaikan wasiatnya sebanyak satu pertiga dari jumlah harta kemudian barulah dibahagikan bakinya antara segala warisnya.” (Kitab Minhajul Talibin)
Berkata Syeikh Mahalliy :
يبدأ من تركة الميت وجوباً بمؤنة تجهيزه بالمعروف، ثم تقضى ديونه، ثم تنفذ وصاياه من ثلث الباقي، ثم يقسم الباقي بين الورثة”
Artinya : “Dimulai belanja harta peninggalan simati sebagai satu kewajipan untuk membiayai belanja pengurusan jenazahnya kemudian dibayar segala hutang si mati itu kemudian ditunaikan wasiatnya satu pertiga dari jumlah hartanya kemudian dibahagikan yang bakinya antara segala warisnya.”(Kitab Kanzul Raghibin)
Oleh kerana itulah haram para waris mengambil harta yang ditinggalkan oleh si mati sebelum dibelanjakan terlebih dulu untuk pengurusan jenazah, hutang dan wasiat.
Berkata Mufti Oman :
وفاء الديون من الحقوق المتعلقة بالتركة، وتقدم على الميراث، فإذا توفي شخص وترك مالاً، وعليه ديون قضيت ديونه أولاً، فإن بقي شيء فلورثته، قال الله تعالى في بيان استحقاق الميراث للوارث: (مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ) [النساء/11]، فلا يجوز للورثة أخذ شيء من التركة قبل قضاء الديون، وتنفيذ الوصية بثلث ما تبقى بعد الديون، إن كان المتوفى قد أوصى.
Artinya : “Menyempurnakan bayar segala hutang adalah hak yang bersangkutan dengan harta peninggalan mayat. Maka segala hak berkait hutang itu didahulukan atas hak-hak pewarisan. Maka apabila mati seseorang dan ada meninggalkan harta dan ada ia berhutang nescaya wajib diselesaikan segala hutangnya terlebih dahulu. Maka jika ada lebih harta selepas bayar hutang itu maka diberikan kepada segala warisnya.
Allah Taala telah menerangkan segala hak pewarisan kepada segala waris itu dengan firman-Nya :
“Dan kemudian dari membayar wasiatnya yang ia wasiatkan dan hutangnya.” An-Nisak : 11
Maka tidak harus bagi segala waris mengambil suatu dari harta peninggalan mayat sebelum membayar segala hutangnya dan selepas menyempurnakan wasiatnya dari harta yang baki selepas membayar hutang jika simati ada berwasiat.” (Lajnah Fatwa Negeri Oman)
Kesimpulannya haram diambil harta peninggalan si mati sebelum diselesaikan akan belanja pengurusan jenazahnya dan bayar segala hutangnya dan wasiatnya samada oleh waris atau orang lain.
Jika diambil hartanya buat menyelesaikan belanja pengurusan jenazahnya dan bayar hutang dan wasiatnya maka hukumnya adalah harus.
Artikel Berkaitan: [Jika Suami Mati, Nafkah Anak Ditanggung Oleh Datuk, Nenek & Bapa Saudara Sebelah Suami]
Jika telah terambil maka wajib dikembalikan dan jika sudah dibelanjakan atau sudah binasa maka wajib dibayar ganti harganya.
Semoga dengan keterangan ini sudah terjawab persoalan yang tuan hadapi.
Wallahua’lam.
Semoga dengan penerangan dari Ustaz Azhar Idrus ini dapat memberi penjelasan kepada kita tentang hal ini. Hal ini perlu kita ketahui agar suatu hari nanti, jika ia berlaku kepada kita dapatlah kita menanganinya dengan cara yang betul.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source