Tular di media sosial mengenai insiden menimpa pempengaruh media sosial dikenali Esha sehingga membuatkan ahli keluarga tuntut keadilan terhadapnya.
Esha dilaporkan meninggal dunia akibat tekanan diganggu dengan komen jelik oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu, sejak sebulan lalu.
Mayat pempengaruh wanita berusia 30 tahun itu ditemui di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi pada Jumaat.
Keluarga tuntut keadilan
Susulan itu, keluarga mangsa menuntut keadilan buat mendiang selain tidak dapat menahan sebak atas pemergian Esha atau nama sebenarnya Rajeswary Appahu.
Menurut si kakak mendiang dikenali Susila Appahu, 34, adiknya seorang yang baik dan tidak pernah mengganggu mana-mana pihak.
Namun, dia tidak menyangka adiknya dibuli secara maya hanya kerana mendiang seorang wanita.
“Saya sudah hilang adik, saya anak sulung. Semua buli dia, banyak keluar dalam TikTok, carut, kotorkan nama dia, busukkan nama dia.
“Adik saya bagus pada semua orang, dia tidak ada buat salah dekat (pada) sesiapa. Dia seorang yang kuat. Dia buat baik.
“Semua buli dia sebab dia perempuan, dia tak boleh tahan. Dia sudah ‘hilang’ sekarang,” katanya.
Artikel lain: Pelakon didakwa belasah teman wanita, tumbuk mata sebelah kiri & badan
Susila juga memohon agar orang ramai untuk membantu keluarganya bagi mendapatkan keadilan untuk adiknya itu.
“Tolong rakyat Malaysia bantu kami dapatkan keadilan untuk Esha,” rayu wanita itu.
Mendiang disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Ampang, Ulu Kelang.
Fahmi Fadzil pandang serius, bentang pada mesyuarat Kabinet
Perkara ini turut menarik perhatian Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil yang turut menghadiri upacara pengkebumian mendiang.
Fahmi memberitahu, dia telah bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai perkara tersebut.
Isu tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik, meliputi aspek perundangan dan penguatkuasaan.
“Luluh hati seorang ibu melihat jasad anaknya tak bernyawa.
“Rajeswary Appahu, 29 tahun, telah mengambil nyawanya sendiri selepas dipercayai tertekan akibat dibuli beberapa individu dengan komen-komen jelik di TikTok.
“Saya amat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku. Mereka yang menjadi punca kejadian ini perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri semalam,”ujarnya.
Polis tahan suspek dipercayai terlibat
Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata seorang wanita ditahan kerana disyaki melakukan ugutan dan fitnah terhadap seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang Sabtu lalu berhubung ugutan melalui media sosial terhadap Esha.
Semasa pengadu katanya berada di Jalan Ipoh, ibu negara terlihat dua hantaran di media sosial daripada dua akaun berbeza mengenai ugutan dan fitnah terhadap Esha pada jam 10.15 malam, 30 Jun dan 4.10 pagi keesokannya.
“Pengadu melihat dua catatan di TikTok yang dimuat naik oleh dua pengguna di bawah nama Dulal Brothers dan Alphaquinnsha yang memfitnah dan mengugut Rajeswary.
“Kedua-dua akaun menggunakan foto Rajeswary sebagai latar belakang untuk video yang dimuat naik pada akaun mereka.
“Video itu mengandungi ancaman terhadap Rajeswary dan menggunakan bahasa lucah,” katanya sambil menambah bahawa siaran itu kemudiannya dipadamkan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Tegas ACP Ahmad Sukarno, orang ramai diminta tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel atau kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Sumber: TikTok Buletin TV3, @786sures, Kosmo! Online , Majoriti
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source