Remaja Asal Pulau Pinang Berjaya Raih Gelaran Pencatur Termuda International Master
Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial kini sama sekali tidak memadamkan api semangat pempengaruh terkenal, Farees Asri dalam memartabatkan seni budaya warisan Melayu merentasi pelbagai platform media sosial. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Farees Asri.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks ADRIANA SYAURAH jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Farees, 25 enggan membuang garam ke laut. Sewaktu ditemui pada sesi penggambaran hari itu, jejaka tinggi lampai ini percaya bahawa setiap individu berperanan memupuk anak bangsa agar menghargai budaya warisan nenek moyang dan tidak seharusnya dipandang enteng begitu sahaja.
Farees mula dikenali di platform Tiktok dek kerana video-video tarian tradisionalnya dengan kanak-kanak pada tahun 2019. Akui Farees, keunikan tariannya yang dicampur dengan tarian moden dan tradisional berjaya menarik minat warganet yang turut menggelarnya sebagai “Cikgu Kacak”.
Niat awalnya hanya sekadar untuk merakamkan kenangan bersama anak murid. Namun ia bertukar menjadi sumber kewangan apabila bilangan pengikut di media sosial mula meningkat. Dalam tempoh empat tahun, pempengaruh dan jurutari ini terus giat berkongsi video klip dirinya menari bersama rakan dan anak didik demi mempromosikan lagi keindahan seni tari tradisional secara meluas.
Bermula dari usia semuda 5 tahun, Farees mengorak langkahnya untuk mempelajari seni tarian tradisional dan menyertai pelbagai pertandingan di peringkat dalam dan luar negara.
Sokongan keluarganya tanpa jemu selama ini menjadi pembakar semangat untuk kekal aktif menyumbang masa dan tenaganya kepada industri seni tari kebudayaan Malaysia.
“Dari kecil, ayah sudah menyedari minat saya lebih ke arah bidang tarian. Bahkan kalau ada sebarang pertandingan, mereka sekeluarga akan turun padang memberi sokongan kepada saya sejak dari bangku sekolah rendah,” jelasnya.
Menyelusuri perjalanan insan ini beralih dari seorang penari kepada koreografer, dirinya mula mengasah bakat menjadi guru tari pada usia 19 tahun. Ketika itu, Farees yang sedang melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Puncak Perdana dalam bidang pengurusan industri kreatif telah dihubungi oleh pihak sekolah untuk mengajar seni tarian tradisional kepada murid mereka.
“Sejak 2019, saya beralih kepada dunia koreografi danmenghantar anak murid ke pertandingan tarian tradisional. Alhamdulillah, mereka berjaya meraih tempat pertama selaku juara peringkat negeri selama lima tahun berturut-turut,” ujanya lagi.
Begitupun, Farees enggan dikenali hanya sebagai seorang penari lantas turut bergiat aktif sebagai seorang model dan pelakon iklan buat masa sekarang. Jelas kembar kepada naib juara Hero Remaja 2017 itu lagi, dia dan kembarnya Farhan Asri sangat berbeza dari segi minat dan personaliti.
“Saya dengan Farhan sangat berbeza. Dia lebih fokus kepada bidang sukan manakala saya lebih berminat dengan bidang kebudayaan. Bahkan kalau di bangku sekolah dahulu, Farhan selalu naik pentas kerana pencapaiannya dalam bidang sukan. Manakala saya pula naik pentas disebabkan pencapaian persembahan tarian ataupun menyandang anugerah pemenang nyanyian solo.
Demi mendidik anak bangsa, Farees kini berkhidmat sebagai guru tarian di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin dan selalu berkongsi di media sosial momen-momen kelas bersama para penari cilik di sana mengenai keindahan seni tarian budaya.
Selaku koreografer, dia berjaya melakar sejarah dan momen indah buat anak didiknya apabila kumpulan tarian yang diketuainya memenangi pelbagai anugerah dalam Pertandingan Tarian dan Kombo Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Negeri Sembilan.
Antara piala yang dibolot mereka ialah Johan Kategori Sekolah Rendah, Anugerah Koreografi Terbaik Sekolah Rendah, Penari Terbaik Sekolah Rendah, Naik Johan Kategori Sekolah Menengah dan Anugerah Penari Perempuan Terbaik Sekolah Menengah.
Turut tidak dilupakan, insan berbakat ini aktif sebagai salah seorang penari tradisional utama kumpulan Nyala Dance Theatre di bawah naungan Khairulazhar Mokhtar.
Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial pada zaman ini tidak dinafikan menjadi ikutan ramai. Biarpun mungkin ada segelintir masyarakat memandang seorang terhadap tarian tradisional malah melabelnya sebagai budaya kolot yang telah ditelan zaman, Fareesyang mempunyai 300,000 orang pengikut di laman TikTok tidak mudah terbuai dengan persepsi kurang enak itu. Malah, dia percaya bahawa generasi muda kini perlahan-lahan akan gemar memartabatkan budaya sendiri berbanding budaya luar sekiranya diberikan pendedahan menerusi platform meluas seperti media sosial.
“Saya tidak menyalahkan mereka. Kita ambil situasi ini sebagai cabaran. Saya merasakan kekurangan figura penyanyi yang sinonim dengan imej budaya tradisional menjadi salah satu faktor mengapa orang muda kini lebih memilih dunia rancak K-Pop berbanding kelembutan dan lenggok budaya tradisional kita sendiri,” jelasnya lagi.
‘Biar mati anak, jangan mati adat’
Itulah yang ditekankan oleh Farees kepada generasi muda zaman kini. Menyedari kekurangan bakat baru dalam industri seni tari kebudayaan percaya bahawa Saya #RemajaMalaysia merupakan inisiatif terbaik agar definisi anak muda yang menyedari tanggungjawab mereka sebagai pelapis seni budaya Malaysia.
“Generasi muda zaman sekarang perlu lebih aktif dalam memartabatkan seni budaya warisan nenek moyang kita. Mereka adalah insan penting yang seharusnya membangunkan lagi industri seni kebudayaan. Kalau bukan kita sendiri, siapa lagi?” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source