Keranamu Negaraku, Ng Joe Ee Dahagakan Lebih Banyak Pingat Emas – Isu Digital September 2024
REMAJA raikan pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 istimewa buat paparan Merdeka tahun ini. Buat bintang gimrama Ng Joe Ee, sukan bukan sekadar hobi tetapi merupakan satu pengalaman yang memberi makna dan kepuasan.
ketua pengurusan NEW GEN FIEZREEN AHMAD penyelaras & penata gaya FZ AIMMAN arahan seni & perletakan grafik AZNIZA AZIZ fotografi EWAN JADE suntingan foto HEZRY ROKMAN teks FATH ABU BAKAR penerbit & suntingan video SURIA NUR AMIRA videografi JAZLAN NANGAR solekan CHE WAN dandanan NOREZZ IDRIS persalinan BEHATI dan WAN&MARY
Sukan kini bukan lagi sekadar podium untuk menonjolkan bakat dan kemahiran. Buat pelapis-pelapis dunia sukan muda sekarang, sukan telah merubah menjadi platform untuk mencapai kejayaan dan mengejar impian.
Bersempena musim temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik yang sedang berlangsung sekarang, REMAJA mendekati personaliti sukan gimnastik berirama (gimrama) iaitu Ng Joe Ee untuk menyelami jiwanya sebagai seorang ‘pejuang’ negara di arena sukan antarabangsa.
Menurut atlet berusia 19 tahun ini, keseronokan dalam bersukan bukan hanya terletak pada prestasi individu tetapi juga pada cara untuk memukau orang ramai dengan fleksibiliti serta skil yang dituntut selama ini.
“Sebenarnya, saya suka sukan gimrama kerana ia sangat seronok! Saya suka bila dapat baling dan tangkap alat yang digunakan selain gerakannya yang sangat mengagumkan.
“Bila orang tengok saya buat, mereka akan kata ‘wow’ disebabkan fleksibiliti yang saya tunjukkan. Itu yang buat saya suka sukan ini. Ia ibarat persembahan bagi penonton,” katanya.
Mengimbas semula peluang yang diperolehi Joe Ee pada usia seawal 16 tahun, dia membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila bergelar atlet termuda dalam kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Peluang beraksi di temasya sebesar Sukan Komanwel pada waktu itu sudah memadai untuk dia menganggapnya sebagai kejayaan paling berharga dalam kerjayanya.
Siapa sangka, debut di temasya itu membuahkan hasil apabila menghadiahkan dua butir pingat emas menerusi disiplin bola dan riben. Buat atlet lain, temasya sebegini mungkin memberikan tekanan besar dek harapan menggunung yang diletakkan oleh rakyat negara mereka yang mengharapkan kilauan pingat menyinar.
Namun buat Joe Ee, kehadirannya di situ, perasaannya lebih terjurus kepada rasa cemas memandangkan ia adalah debut-nya di pentas segah itu.
Namun, usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh membuahkan hasil. Selepas pertandingan, dia menzahirkan rasa terharu dan terkejut apabila meraih pingat emas.
“Pertandingan besar seperti Sukan Komanwel atau Sukan Asia memang penting bagi saya. Kini kalau bercakap mengenai temasya empat tahun sekali, saya akan merasa tertekan dan selalu hendak buat yang terbaik.
“Saya memang terkejut bila dikalungkan dua pingat emas. Saya fikir saya mungkin boleh mendapat tempat keempat atau kelima sahaja sebab rutin saya pada waktu itu belum sempurna,” imbasnya.
TERIMA KOMEN NEGATIF
Selepas mencapai kejayaan besar dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, penerima anugerah Olahragawati Kebangsaan 2022 ini tekad untuk terus meningkatkan prestasinya. Semangatnya semakin berkobar untuk meneruskan kejayaan hanya buat negara tercinta dengan meneruskan latihan dengan lebih gigih lagi.
“Saya tak suka fikir terlalu banyak semasa latihan. Bagi saya, waktu latihan cuma fokus pada latihan, kemudian pulang ke rumah dan berehat.
“Bila datang tekanan pula, saya biasanya keluar bersantai bersama rakan-rakan. Bagi saya, rakan yang positif itu penting kerana mereka membantu saya melupakan seketika perasaan negatif dan selalu mengingatkan saya untuk tidak terlalu memikirkannya.
“Bagaimanapun, tekanan disebabkan ‘mindset‘ lebih mudah untuk saya ‘adjust ‘ berbanding tekanan yang diterima bertalu-talu dari pihak luar terutamanya di dunia media sosial,” dedah Joe Ee.
Menurutnya, ia bermula selepas menunjukkan prestasi kurang konsistem di kejohanan piala dunia di Valencia, tidak lama dahulu.
“Di media sosial, ada yang sokong dan tidak kurang juga yang bersikap negatif. Tahun lepas sewaktu di piala dunia, saya beraksi dengan sangat teruk dan ramai pengikut memberi komen negatif seperti, ‘Apa sudah jadi dengan awak?’
“Bila baca komen-komen berkenaan, memang saya rasa sedih. Tapi ibu memesan untuk tidak pedulikan mereka dan teruskan berusaha. Hasilnya, prestasi saya ketika temasya Sukan Asia adalah agak baik. Walaupun tidak membawa pulang sebarang pingat, saya sudah berpuas hati apabila berjaya ke peringkat akhir,” ujarnya.
“SAYA MAHU PELAPIS AKAN DATANG MENJADI…”
Sebelum mengakhiri bicara, Joe Ee mengungkapkan hasratnya untuk meneruskan legasi dalam arena sukan sebagai jurulatih apabila dia bersara sebagai atlet tanah air, suatu hari nanti.
Tutur penerima trofi Olahragawati Wilayah Persekutuan 2023 ini, dia menanam azam untuk melatih atlet-atlet muda dan berharap mereka dapat mengatasi kejayaan yang pernah dicapainya.
Ini kerana matlamat utama Joe Ee adalah untuk melihat perkembangan sukan gimnastik berirama di Malaysia agar ia kembali seperti zaman kegemilangannya.
“Rancangan masa depan saya adalah untuk menjadi seorang jurulatih selepas bersara. Saya tak mahu atlet generasi seterusnya jadi seperti saya tetapi menjadi secergas atlet-atlet hebat gimrama terutamanya dari Rusia yang sangat handal. Diharap generasi mereka akan membuahkan hasil yang lebih baik demi Malaysia.
“Saya juga enggan masa hadapan dunia sukan negara kita kekal pada tahap yang sama. Sebaliknya, saya mahu melihat kemajuan yang konsisten bermula sekarang hingga ke waktu saya bergelar seorang jurulatih nanti.”
Ditanya pula mengenai harapannya untuk pencapaian masa hadapan, Joe Ee tidak mahu meletakkan sasaran yang kurang realistik dan memilih untuk fokus kepada peningkatan berterusan serta terus mencatatkan skor yang lebih tinggi.
Keranamu, Negaraku.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source