250 Nasi Kandar PERCUMA Istimewa Untuk Abang Riders
Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne dengan senarai tempat lawatan yang mengujakan membuatkan hati tidak sabar untuk berada di sana. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Usai kapal terang sudah berada di udara, perut seperti terus meminta-minta. Apa lagi, Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne dan pelbagai menu dengan pelbagai citarasa.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sebahagian daripada kami membeli kad sim telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi. Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari lapangan terbang, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginner kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari di Jack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas. Seafood yang segar, sajian kupan dan hidangan fish and chips yang enak dimakan dengan penuh berselera.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Dibawa melihat proses asapan yang dilakukan, kami kemudianya dihidangkan dengan smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut.
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier.
Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki feri menuju Seorrento.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
Terlihat juga deretan Jeti-jeti kapal mewah membarisi pantai yang semestinya dimiliki oleh pemilik rumah-rumah mewah ini. Satu pengalaman berbeza kerana selama ini mungkin kita hanya menonton filem atau melhat gambar sahaja. Ya , pengalaman indah untuk dijadikan memori. Kawasan perumahana mewah itu bak resort itu kami tinggalkan untuk ke satu lagi destinasi menarik yang menghidangkan pemandangan indah. Kami kemudiannya ke Penisular Hot Spring dan seterusnya bermalam di Rye Hotel. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalaman yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat dan esoknya kembali ke Kota Melbourne.
SERONOKNYA CUCI MATA DI SOUTH MELBOURNE MARKET
South Melbourne Market. Sudah berusia lebih 150 tahun, South Melbourne Market menjual pelbagai barangan, makanan, sayuran, bunga, buah-buahan, ikan , daging dan hasil laut yang segar. Bukan itu sahaja, di sini juga menempatkan pelbagai restoran dan tempat makan termasuk makanan halal. Pilihan pakaian, cenderahati dan pelbagai hasil seni juga boleh didapati di sini.
Orang seperti saya memang sangat teruja kalau dibawa ke tempat seperti ni. Boleh leka menikmati barangan yang dijual. Seketika saya leka melihat deretan pelbagai jenis cheese yang dijual. Dan dalam kunjungan ini kami juga diberi peluang merasa pelbagai jenis cheese. Best sangat! Kami juga diberi mencuba tiram segar. Sayangnya saya bukan penggemar tiram. Kami juga menikmati makan tengah hari di salah satu restoran di sini. Dan semestinya halal untuk orang Muslim.
Dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang pada hari Rabu, pada hari Jumaat pula ditutup jam 6 petang manakala ditutup jam 4 petang pada hari bekerja yang lain. Jadi pastikan jadual percutian anda disusun dengan baik kerana market ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Oh ya, saranan saya, jangan lupa mencuba croissant terbaik di Agathé Pâtisserie dan datang awal sebab kena beratur panjang. Sumpah sangat sedap!
Esoknya kami ke Philip Island, satu lagi lokasi yang tidak boleh dilepaskan. Jika sudah pasang angan-angan mahu menyaksikan perarakan penguin terkecil di dunia, anda mesti masukkan Philips Island dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Dua jam perjalanan dari kota Melbourne tidak akan terasa lama kerana dihidangkan dengan permandangan indah sepanjang jalan.
Dalam perjalanan kami singgah Caldermeade Dairy . Ladang lembu tenusu yang turut dilengkapi dengan kafe dan mini market yang menjual pelbagai hasil tenusu. Kami sempat dibawa melawat ke kawasan peliharaan lembu dengan menaiki ‘truck’ khas.
Selain itu turut disediakan pelbagai aktiviti seperti memberi makan binatang peliharaan. Aktiviti ini memang sesuai bagi yang travel bersama anak-anak. Sempat juga mencuba susu coklat yang dijual dan memberi beberapa cenderahati untuk dibawa pulang.
Philip Island, Pulau perlindungan terletak di pantai selatan Australia. Nikmati keindahan pelbagai aktitivi di pulau ini termasuklah menyaksikan penguin parade, nobbies, anjing laut dan menaiki helicopter sambil menyaksikan keindahan Philip Island dari udara.
PHILLIP ISLAND CHOCOLATE FACTORY
Kilang Coklat yang terkenal di pulau ini. Mempunyai lebih dari 190 jenis coklat pelbagai rasa, Visit Panny’s Amazing World of Chocolate juga mempunyai pameran informasi mengenai penghasilan koko . Kita juga dapat dapat menyaksikan bagaimana pembuatan coklat, anak-anak dapat mempelajari sejarah pembuatan coklat sambil bermain pelbagai permainan yang disediakan. Kalau dah sampai ke sini tak lengkaplah kalau tak mencuba hot chocolate yang dijual di kafenya. Sedap!
Melengkapkan perjalanan di sini, kami berangkat pulang sambil melalui kawasan perkampungan dan ladang-ladang tenusu yang luas dan menghijau. Seketika kami singgah di bass coast trail, wonthagei Railway dan Wonthagi Wind Farm dan menikmati makan tengahari di Kilcunda.
GELATO DALAM SUASANA DINGIN DAN HUJAN GERIMIS
Bertolak pulang ke Melbourne kami singgah pula menikmati ais krim dan gelato di Kori Icekrim di Howthorn. Kafe gelato milik Joane Yeoh anak kelahiran Malaysia ni menyediakan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai. Joane Yeoh turut di senaraikan sebagai upcoming chef di bawah usia 30 tahun oleh MFWF 2022. Kami sempat mencuba pelbagai jenis gelato dan aiskrim. Hujan gerimis dan udara sejuk tidak dihiraukan kerana gelato yang mendapat inspirasi dari manisan Jepun ini benar-benar enak. Selesai menikmati aiskrim dan gelato kami pulang ke hotel penginapan. Malam terakhir di Melbourne dalam hujan gerimis, kami menikmati sepenuhnya pemandangan malam. Berlari membeli cenderahati sebelum kedai tutup. Menghabiskan wang kecil dengan membeli coklat dan menikmati malam malam citarasa Thai.Kata orang teman travel yang tepat sangat penting untuk mewujudkan suasana ‘meriah’sepanjang percutian. Carilah teman, rakan dan sahabat yang betul untuk percutian yang panjang apa lagi jika memerlukan kita travel dari satu tempat ke tempat yang jauh.
Terima kasih sahabat-sahabat media, Anis, Shaz,Lissa, Martin dan Carmen. Amzar dan Ariff dari AirAsia, Yih Ling dari Go Communication dan orang paling penting dan Jenny dari Visit Victoria yang menjadi teman travel paling best sepanjang percutian kami.
Terima Kasih AirAsia X yang menyediakan penerbangan selesa dan Visit Victoria yang menyediakan iternary yang sangat menarik. Untuk anda yang ingin terbang ke Melbourne, kini AirAsia X menyediakan penerbangan setiap hari. Pilih sahaja hari yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan yang pasti anda bakal menikmati percutian yang penuh kenangan.
Jika ingin mencari restaurant halal layari https://www.visitmelbourne.com/regions/melbourne/eat-and-drink/restaurants/halal-restaurants
Catatan: Ida Abd Aziz
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source