Nenek mahu saman pemandu mabuk! Punca 5 cucu jadi yatim piatu sekelip mata
Seorang nenek mahu saman pemandu mabuk yang telah mengakibatkan lima orang cucunya yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka dirempuh, baru-baru ini.
Pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol.
Nenek mahu saman pemandu mabuk!
Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata, tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit bukan sahaja sebagai pengajaran, tetapi bagi membela nasib lima cucunya.
Katanya, meskipum reda namun dia trauma dengan kejadian menimpa anak dan menantu akibat kesalahan orang lain.
“Saya reda dengan ketetapan dan ketentuan Allah SWT, tetapi tindakan undang-undang terhadap pelaku mesti dikenakan.
“Banyak kisah pemandu mabuk hanya didenda yang mana jumlah itu tidak setimpal dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan tanpa apa-apa seperti cucu-cucu saya.
“Ya makcik akan saman. Esok, insya-Allah peguam yang menguruskan kes kemalangan anak keenam saya akan ziarah kami dan berbincang hal ini,” katanya, hari ini.
Guna duit kemenangan sara cucu
Ramlah berkata, seandainya kemenangan berpihak kepadanya, wang tersebut boleh digunakan untuk menyara lima cucunya pada masa akan datang.
Katanya lagi, anak-anaknya yang lain hanya sekadar membantu kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan.
“Arwah anak dan menantu meninggalkan lima anak mereka, perjalanan hidup mereka masih panjang. Makcik doa supaya Allah SWT panjangkan usia makcik dan pakcik untuk menyara mereka semua sehingga boleh berdikari.
“Makcik takut kalau makcik ‘pergi’ dulu, mereka tiada simpanan dan tiada kewangan. Makcik tidak bekerja, hanya pakcik yang bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ di sebuah pasar raya,”ujar Ramlah.
Artikel lain: 5 beradik yatim piatu sekelip mata, ibu bapa dilanggar pemandu mabuk
Dalam pada itu, dia meluahkan rasa syukur kerana orang ramai tidak henti datang menziarahi mereka sekeluarga termasuk memberi sumbangan, tidak kira perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, pihak sekolah cucu.
“Hanya Allah yang mampu membalas budi mereka.
“Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada datang ziarah dan membawa borang bantuan, untuk cucu-cucu makcik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri itu meninggal dunia selepas dilanggar pemandu dipercayai mabuk dalam sebuah kejadian berlaku di Jalan Besar/ Jalan Mesjid, Pasir Gudang, di sini, kelmarin.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.
Sumber: BH Online (Omar Ahmad)
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source