#WayangRemaja: Ungkap Kebenaran Tragedi Histeria Beramai-Ramai Di Sebalik Filem ‘Kemah Terlarang Kesurupan Masal’
Aktiviti perkemahan biasanya sudah menjadi acara tahunan di pelbagai institusi pendidikan sama ada di sekolah mahupun universiti. Selain mengajar para pelajar untuk berdikari, kemahiran untuk menyelesaikan hidup dan kerja berpasukan juga boleh diperoleh melalui aktiviti berkemah.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia yang berkongsi alam bersama makhluk seperti haiwan, tumbuhan, dan alam sekitar. Kita juga perlu sentiasa ingat bahawa di dunia ini kita turut berkongsi alam bersama makhluk ghaib yang sukar dilihat oleh mata kasar.
Jadi, setiap kali mahu ke tempat baru di mana saja termasuk ketika berkemah. Sudah pasti kita sering diingatkan agar mematuhi peraturan, tidak melanggar pantang, dan menghormati budaya penduduk di tempat dituju supaya dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.
Dalam #WayangRemaja kali ini, meh kami kami kongsikan beberapa fakta menarik mengenai filem seram terbaru Indonesia ‘Kemah Terlarang: Kesurupan Masal’ yang diinspirasikan daripada kisah sebenar yang pernah menghantui sekumpulan pelajar sekolah di Jogjakarta pada tahun 2016.
KEJADIAN HISTERIA BERAMAI-RAMAI
Menurut salah seorang penulis filem ini, Wakhid Nurrokhim menyatakan bahawa ‘Kemah Terlarang: Kesurupan Masal’ telah diangkat dari kejadian sebenar yang berlaku pada tahun 2016 ketika sekumpulan pelajar sekolah di Jogjakarta sedang menjalankan aktiviti perkemahan.
Tragedi tragis itu telah menyebabkan ramai peserta telah mengalami kerasukan dan gangguan misteri sehingga pada saat ini. Peristiwa ini telah mencuri perhatian masyarakat di Indonesia dan menjadi sorotan media tempatan ketika ia terjadi beberapa tahun lalu.
‘VIRAL’ DI MEDIA SOSIAL
Sebelum dijadikan sebagai filem, kisah ‘Kemah Terlarang: Kesurupan Masal’ ini sempat tular menerusi sebuah ciapan di aplikasi X. Cerita ini telah dikongsikan oleh salah seorang mangsa kejadian dalam bentuk ‘thread’ dan menceritakan pengalamannya yang mengerikan sepanjang aktiviti perkemahan itu diadakan.
Horror thread ini telah tersebar dan menarik perhatian penggemar filem seram di media sosial sehingga ramai di antara mereka yang bercadang dan berharap agar kisah yang dikongsikan itu boleh dijadikan sebagai sebuah filem.
BARISAN PELAKON PELAPIS BERKELAS A
Antara yang menjadi daya tarikan dalam filem seram ‘Kemah Terlarang: Kesurupan Masal’ adalah ia dibintangi oleh barisan pelakon muda dari Indonesia yang sangat berbakat seperti Callista Arum, Nayla Purnama, Fatih Unru, Iqbal Sulaiman, dan Callista Mercy serta pelakon berpengalaman seperti Derby Romero dan Landung Simatupang sebagai pelengkap filem ini.
KEJADIAN ANEH SEMASA PENGGAMBARAN
Kalau nak tahu, selama proses pembikinan filem ini, ada beberapa kejadian telah terjadi yang hampir serupa dengan kisah yang diceritakan oleh salah seorang mangsa. Salah satunya ketika insiden hujan lebat yang turun secara tiba-tiba ketika para pelakon dan krew penggambaran sedang merakam adegan tertentu.
Menurut Wakhid lagi, beberapa peristiwa misteri yang terjadi ketika penggambaran itu juga adalah di luar kawalan. Namun, ia memberi kesan mistik selama proses tersebut dan secara tidak langsung menambah aura seram dalam pembikinan filem ini. Selain itu, temubual bersama beberapa mangsa sebenar juga diselitkan di penghujung filem. Jadi ingat, jangan keluar panggung sehingga filem ini selesai.
SINOPSIS
Mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah menengah, Rini yang ingin mengikuti perkemahan bersama beberapa peserta lain selama tiga (3) hari di hutan Wana Alus yang dikendalikan oleh pelajar senior di sekolahnya.
Pada awalnya, aktiviti tersebut telah dilarang oleh ketua kampung setempat bernama Mbah Sonto. Namun, selepas dipujuk, Mbah Sonto memberi keizinan serta membantu mereka dengan menanam sesuatu sebagai tanda izin kepada ‘tuan rumah’ dan berjaga-jaga. Mbah Sonto turut memberitahu syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan memperingatkan agar para pelajar tidak mengusik barang yang sudah ditanam termasuk mengoreknya kembali.
Acara perkemahan itu berjalan seperti yang dirancang dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pertandingan dan juga pementasan drama yang mengangkat legenda bernama Roro Putri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pelajar mula merasa tidak selesa dan takut selepas berada di persekitaran di tapak perkemahan tersebut.
Seiring berjalannya waktu, seorang demi seorang pelajar mula dirasuki menjadikan situasi berubah kacau bilau. Ramai mangsa yang mengalami kecederaan dan ada juga sukar dipulihkan sehingga menyebabkan nyawa mereka terancam. Sehingga pada akhirnya, Mbah Sonto yang bertugas menjaga keselamatan Wana Alus akhirnya turun padang dan menyelesaikan masalah tersebut.
Jadi, korang yang minat filem seram tunggu apa lagi? Jika ada yang tertanya bagaimana kesudahan akhir mangsa kejadian sebenar tahun 2016 yang masih bernafas sehingga hari ini, REMAJA memang rekomen sangat untuk anda tonton filem ‘Kemah Terlarang: Kesurupan Masal’ dan ia sudah pun mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 26 Disember ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Download seeNI sekarang!
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source