Pimpin solat Jumaat, imam sempat sedekah semua duit dalam dompet sebelum meninggal dunia
Seorang imam sempat sedekah semua duit di dalam dompetnya kepada anak-anak kecil di masjid sebelum meninggal dunia apabila kereta dipandunya terbabas dan bertembung dengan kenderaan lain.
Anak sulung Allahyarham Sulaiman Sutar, 75, yang maut berkata, kejadian tersebut berlaku selepas bapanya habis membaca khutbah dan memimpin Solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut, Kluang, di sini, kelmarin.
Imam sempat sedekah
Tambah Mohd Radzi Sulaiman, 48, bapanya yang bertugas sebagai Imam 1 juga sempat berpesan kepada ahli jawatankuasa yang sedang mengira duit tabung selepas solat Jumaat supaya menjaga amanah sebaik-baiknya.
“Biasanya arwah abah akan ikut kira sekali duit tabung bersama AJK masjid lain tetapi pada hari kejadian dia hanya memerhati mereka membuat kerja sebelum keluar dari masjid.
“Malah, arwah juga sempat memberikan sejumlah wang kepada emak dan adik lelaki sebelum keluar solat Jumaat selain meminta adik supaya pergi ke masjid berasingan dengan menunggang motosikal dan abah memandu Proton Iswara adik ,” katanya, hari ini.
Arwah bapa menangis ketika baca khutbah mengenai kematian
Beliau berkata, arwah bapanya yang sudah pencen sebagai Guru Besar di Sekolah Agama Dato’ Ibrahim Masjid merupakan seorang pemurah dan selalu membantu mereka dalam kesusahan.
Malah, ibunya juga pernah menegur sikap bapanya yang akan membantu sesiapa sahaja yang tidak dikenali datang ke rumah.
“Abah adalah pesara kerajaan. Jadi, pencen pesata ini tidaklah banyak mana tetapi jika ada orang datang berjumpanya untuk minta bantuan, dia akan usahakan sehabis baik.
“Kadang-kadang sampai emak saya tegur abah kerana tolong sesiapa sahaja yang datang ke rumah dan tak dikenali, walaupun abah sebenarnya kekurangan duit,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, ada jemaah memberitahu bahawa semasa bacaan khutbah, arwah bapanya terhenti dan menangis teresak-esak ketika bercakap mengenai bab kematian dan amalan.
Katanya, allahyarham bapanya juga disenangi dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan abah pada minggu lepas ketika pulang berziarah, memang rasa seronok sangat dapat berbual dengannya, abah tanya khabar, ceritakan masalah di kampung, walhal sebenarnya saya sebagai anak sulung sebenarnya ada perasaan takut padanya kerana dahulu abah tegas ketika membesarkan kami empat beradik,”ujar Mohd Radzi.
Artikel lain: Rempuh rider maut, pegawai kanan polis dipercayai microsleep
Walaupun sukar menerima berita berkenaan pada mulanya, namun kini mereka sekeluarga redha dengan takdir menimpa.
Katanya, allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung, Simpang Renggam kira-kira 11 malam kelmarin.
Allahyarham meninggalkan balu, Siti Mariam Hashim, 65 dan empat anak, iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Sumber: BH Online (Mohamad Fahd Rahmat)
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source