Hetty Green: Haji Bakhil Versi Wanita Amerika?
Dalam dunia pelaburan, nama-nama seperti Warren Buffett dan Benjamin Graham sering menjadi rujukan.
Tapi, sebelum mereka, ada seorang wanita yang sudah lama menguasai pasaran Wall Street dengan strategi pelaburan yang mengagumkan iaitu Hetty Green.
Namun, malangnya, dunia lebih mengenali beliau sebagai “The Witch of Wall Street” atau dalam erti kata lain, Haji Bakhil versi wanita Amerika.
Tapi betulkah Hetty Green ini hanya seorang kedekut tahap dewa atau sebenarnya dia seorang genius kewangan yang disalah erti pada zamannya?
[Dari Waris Kapal Ikan Paus ke Jutawan Wall Street]
Hetty Green lahir pada tahun 1834 dalam sebuah keluarga Quaker yang kaya raya hasil perniagaan perkapalan ikan paus.
Sejak kecil, dia sudah terbiasa dengan dunia perniagaan dan pelaburan. Bapanya sering mengajarnya tentang nilai wang dan kepentingan berjimat cermat.
Pada usia 13 tahun, ketika rakan-rakan seusianya mungkin sedang bermain atau sibuk dengan hal-hal remeh, Hetty sudah menjadi akauntan keluarga.
Apabila bapanya meninggal dunia, dia mewarisi kekayaan yang melimpah, tetapi berbeza dengan pewaris kaya lain yang biasanya memilih kehidupan mewah dengan rumah agam dan kereta kuda mahal, Hetty memilih jalan yang lebih luar biasa iaitu dengan menjadi wanita paling berjimat cermat dalam sejarah Amerika.
[Sikap Kedekut atau Pelaburan Bijak?]
Orang yang kenal Hetty Green pasti tahu bahawa dia bukan sekadar berjimat, tapi dia terlalu berjimat!
Bayangkan, seorang jutawan yang hanya memakai pakaian hitam yang sama setiap hari dan hanya membasuh bahagian yang kotor sahaja untuk menjimatkan sabun.
Dia enggan menggunakan pemanas di rumahnya walaupun musim sejuk menggigit tulang.
Dan paling tragis, anak lelakinya, Ned Green mengalami kecederaan kaki tetapi Hetty enggan membayar kos rawatan.
Kaki Ned akhirnya terpaksa dipotong kerana ibunya lebih rela mencari klinik percuma daripada membayar bil hospital.
Dari sudut pandang masyarakat, Hetty Green ini boleh dikatakan kedekut tahap luar biasa.
Tapi adakah dia benar-benar sekadar seorang kedekut tahi hidung masin yang takut nak belanja duit? Sebenarnya tidak. Hetty bukan sekadar sorok duit di bawah bantal, tapi dia melabur dengan bijak!
[Strategi Pelaburan Genius]
Hetty Green bukan hanya seorang penjimat tegar, tetapi dia juga seorang pelabur yang berani dan berpandangan jauh.
Dia tidak sekadar menyimpan duit untuk duduk diam, tetapi tahu bagaimana menggandakan kekayaannya.
Ketika Perang Saudara Amerika berlaku, kerajaan menjual bon perang untuk membiayai pertempuran. Ramai takut nak beli kerana risikonya tinggi.
Tapi Hetty? Dia beli banyak-banyak dengan harga murah, kemudian jual semula apabila ekonomi stabil dan harga naik.
Bukan itu sahaja, dia juga melabur dalam saham syarikat kereta api ketika sektor itu sedang berkembang pesat.
Selain itu, dia menyimpan sejumlah besar mata wang “greenback” dan apabila kerajaan Amerika Syarikat menambat nilai mata wang tersebut kepada emas, Hetty menjadi lebih kaya daripada sebelumnya.
Dan ini yang paling menarik, ketika krisis kewangan 1907 melanda, ramai pelabur jatuh muflis kerana menggunakan pinjaman untuk membeli saham.
Tapi Hetty? Dia simpan banyak wang tunai, jadi ketika orang lain terpaksa menjual aset dengan harga murah, dia membeli segalanya dengan harga rendah.
Malah, kerajaan bandar New York sendiri meminjam wang daripadanya untuk menyelamatkan ekonomi mereka!
[Kaya Tapi Dibenci: Kenapa Hetty Green Difitnah?]
Zaman Hetty Green adalah zaman lelaki memegang kuasa dalam dunia kewangan. Seorang wanita yang berani melawan sistem dan berjaya dalam dunia lelaki? Itu sesuatu yang sukar diterima oleh masyarakat.
Disebabkan Hetty enggan tunduk kepada norma sosial seperti tidak berpakaian mewah, tidak bersikap lembut seperti wanita lain, maka media mula melabelnya sebagai “penyihir”, “wanita kedekut” dan “miser of Wall Street”.
Sedangkan jika dia seorang lelaki, mungkin kisahnya akan diceritakan seperti Warren Buffett sebagai seorang genius pelaburan yang berjimat cermat dan pintar mengurus kewangan.
Kisah hidupnya sering disensasikan. Kononnya, dia tinggal dalam rumah usang tanpa pemanas, memakai pakaian yang sama bertahun-tahun dan langsung tidak menggunakan air panas.
Namun, adakah ini benar atau sekadar cerita yang digembar-gemburkan untuk menjatuhkannya?
[Hetty Green: Iktibar dan Pengajaran]
Walaupun Hetty Green mungkin terlalu berjimat sampai ke tahap ekstrem, ada beberapa perkara yang kita boleh pelajari daripada beliau.
Pertama, jangan ikut trend, buat keputusan sendiri.
Hetty tak peduli apa yang orang lain buat. Dia hanya membeli saham yang dia betul-betul yakin dan memahami.
Dalam dunia pelaburan, ini adalah satu prinsip emas iaitu beli aset yang bernilai, bukan sekadar ikut-ikut orang lain.
Kedua, simpan wang tunai semasa krisis.
Ketika orang lain panik dan terpaksa menjual aset dengan harga murah, Hetty ada duit untuk membeli segalanya dengan harga yang lebih rendah.
Ketiga, berjimat cermat tapi jangan sampai kedekut melampau. Tidak salah berjimat, tapi jangan sampai anak sendiri kehilangan kaki seperti Ned Green!
[Haji Bakhil atau Warren Buffett Versi Wanita?]
Media pada zamannya lebih suka menggambarkan Hetty Green sebagai seorang kedekut tahap dewa.
Tetapi hakikatnya, beliau adalah seorang pelabur yang luar biasa, seorang wanita yang berani melawan sistem, berani bersuara, dan paling penting, seorang genius kewangan yang mengatasi lelaki-lelaki pada zamannya.
Jika Hetty Green hidup hari ini, mungkin dia akan dipandang seperti Warren Buffett atau Cathie Wood, seorang pelabur berdisiplin yang menekankan nilai pelaburan jangka panjang, kesabaran dan analisis yang mendalam.
Jadi, adakah Hetty Green benar-benar seorang Haji Bakhil versi wanita Amerika?
Atau sebenarnya dia adalah salah satu pelabur wanita terhebat dalam sejarah dunia yang hanya difitnah oleh zamannya sendiri?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source